Kisah Juru Kunci Merapi Yang Akhirnya Tewas Dengan ‘kemarahan’ Gunung Yang Dijaganya

 

Gunung Merapi yang terletak di sempadan Jawa Tengah dan Yogyakarta meletus, memuntahkan abu berapinya setinggi 2,000 meter ke udara. Beberapa kawasan sekitarnya terkesan kerana dilanda hujan abu.

Sebagai langkah pencegahan, pihak berkuasa tempatan siap siaga dan sentiasa menjalankan pemantauan. Gunung yang paling aktif di pulau Jawa ini telah menunjukkan peningkatan aktivitinya sejak Mei 2018 dan diletakkan dalam status berjaga-jaga sejak November 2020. Malah, segala aktiviti pendakian juga tidak lagi dibenarkan.

Sebelum itu, kali terakhir Gunung Merapi mengganas hebat sehingga mengorbankan lebih 300 nyawa adalah pada tahun 2010. Pada Oktober 2010, Gunung Merapi telah memuntahkan laharnya yang turut memusnahkan kampung berhampiran, mengakibatkan ratusan ribu kediaman musnah. Ia antara letupan paling dahsyat yang pernah berlaku sejak 1872.

Walaupun ahli geologi sebelum itu pernah meramalkan gunung itu akan meletus pada 2006, namun ia tidak menjadi. Kemarahannya berjaya ditahan dan ‘dipujuk’ untuk ‘tidur’ semula buat sementara waktu.

Dari rekod sejarah, letusan Merapi yang dicatatkan pada tahun 1872 berlaku selama 120 jam atau lima hari. Merapi bukan sekadar gunung berapi yang paling aktif di dunia tapi punya cerita yang pelbagai melingkarinya. Di sebalik bahangnya awan dan debu panas yang dikeluarkan, ia ada kisah yang lebih panas.

Di universiti, ahli pengkaji gunung berapi dan ahli geologi tidak berhenti mencari rahsia di sebalik letusan itu. Mereka mengkaji aktiviti gunung itu agar dapat memberikan amaran awal jika berlaku lagi letusan yang besar. Malangnya, masih ada lagi segelintir manusia yang tinggal di kaki gunung Merapi percaya ada kuasa lain yang menyebabkan gunung itu ‘murka’.

Pada 8 November 2010,  satu upacara persembahan ritual untuk menolak bala diadakan. Sekumpulan penduduk kampung yang terletak di Yogyakartamempersembahkan seekor kerbau sebagai korban untuk diserahkan pada semangat alam.

Upacara itu dimulakan dengan tarian Serimpi yang diiringi dengan muzik gamelan. Acara bermula sekitar jam 8.30 malam waktu tempatan di tugu Yogyakarta yang disaksikan oleh orang kampung. Sebagai simbol persembahan kepada semangat alam, kepala, kaki dan ekor kerbau serta ayam yang telah disembelih ditanam di daerah Kaliurang yang terletak di bahagian selatan kawah Gunung Merapi. Manakala dagingnya disedekahkan ke rumah perlindungan mangsa Merapi untuk menjamu selera.

Kenapa tugu Yogyakarta di pilih sebagai tempat ritual itu berlangsung? Kerana tugu itu dianggap sebagai simbol mitologi, kosmologi dan teologi orang Jawa. Kedudukan tugu itu pun ada keistimewaan yang tersendiri iaitu terletak pada garis lurus selari dengan Gunung Merapi hingga ke Kraton dan Laut Kidul. Itulah kepercayaan orang Jawa yang masih berpegang kepada semangat alam yang murka, punca bencana berlaku.

Upacara itu mendapat tentangan hebat dari tokoh-tokoh agama Islam tempatan. Mereka kata ritual itu bukannya boleh menghalau bala sebaliknya menjemput bala (bencana) untuk datang lagi.

Kemudian pada satu sudut lain pula, Merapi juga ada penjaganya yang dilantik oleh Sultan Hamengkubuwono IX. Penjaga itulah yang dikatakan memegang kunci gunung Merapi. Ia bergelar ‘Juru Kunci Merapi’. Tugas berat itu dipikul oleh Mbah Maridjan atau nama sebenarnya Raden Mas Penewu Surakso Hargo sejak tahun 1982.

Mbah kalau di dalam bahasa Melayu membawa maksud nenek atau datuk. Dia dibayar gaji oleh pihak istana atau keraton sebanyak Rp5,800 (kurang RM2) sebulan. Padahal jawatan yang disandangnya adalah jawatan yang penting. Malah bukan sembarangan orang boleh diberi kepercayaan oleh pihak istana untuk menjadi Juru Kunci Merapi.

Jika ada apa-apa berlaku berkaitan dengan gunung berapi itu, Mbah Maridjan yang akan dicari dahulu oleh penduduk kampung hingga untuk berpindah pun mereka akan meminta persetujuannya terlebih dahulu.

Letusan 2006 Membuatnya Popular

Pada tahun 2006, nama Mbah Maridjan menjadi terkenal kerana keengganannya berpindah. Ketika itu Gunung Merapi sedang mengamuk dan mula memuntahkan kemarahannya, namun Mbah Maridjan tetap dengan keputusannya untuk terus tinggal di kaki gunung itu yang jaraknya hanya 5 kilometer saja.

Desa Kinahrejo yang menjadi tempat tinggal Mbah Maridjan yang ketika itu adalah penempatan yang paling hampir dengan Merapi. Ketika itu dia tetap dengan keputusannya untuk tidak berpindah. Begitu juga dengan penduduk kampung yang mempercayai firasatnya bahawa tidak akan ada apa-apa yang berlaku.

Memang benar pada tahun itu Merapi hanya sekadar ‘batuk-batuk manja’ saja dan tidak jadi muntah. Sejak itulah media mula memberikan gambaran yang menarik tentang Mbah Maridjan. Dia dikatakan mempunyai kuasa sakti yang boleh membuat ramalan bila Merapi akan meletus.

Orang ramai pula percaya, lelaki tua itu memiliki kuasa yang luar biasa apabila boleh berhubung dengan penguasa Merapi dan mempunyai ilmu yang tinggi hingga boleh memerintah supaya gunung itu jangan meletus.

Dia menjadi popular dan terus diambil berlakon di dalam iklan minuman tenaga. Sejak itu semua orang mula mengenalinya dan ramai yang ingin berjumpanya untuk mendapatkan pandangan dan petua. Pendapatan yang diraih dari iklan itu digunakan untuk mendirikan masjid dan gereja di kampungnya. Manakala selebihnya disedekahkan kepada penduduk yang memerlukan. Kehidupan Mbah Maridjan cukup sederhana dan berpuas hati dengan apa yang ada.

Tetapi, tahun 2010 Gunung Merapi mengamuk lagi dengan kemarahan pada tahap yang paling maksimum. Mbah Maridjan yang berusia 83 tahun akhirnya tewas dengan kemarahan itu dan menjadi salah seorang mangsa yang terkorban pada ledakan hari kedua Merapi pada 27 Oktober 2010.

Walaupun telah dipujuk agar meninggalkan kediamannya, dia tetap dengan keputusannya untuk terus tinggal di situ. Dengan nada yang merendah diri Mbah Maridjan berkata, “saya akan tetap tinggal di sini. Jika saya berpindah, lalu siapa yang akan menguruskan tempat ini.”

Namun demikian, Mbah Maridjan tidak pernah melarang penduduk kampung dari berpindah, malah dia sendiri yang menggesa mereka agar segera menyelamatkan diri. Katanya, “saya mohon semua penduduk kampung agar mengikut arahan pemerintah dan sentiasa memanjatkan doa kepada Tuhan agar diberi keselamatan dan Merapi tidak ‘batuk’ lagi. Hanya Tuhan yang tahu bila Merapi akan meletus. Saya tidak punya kuasa apa-apa,” ujar Mbah Maridjan yang tetap dengan keputusannya.

Semasa letusan Merapi 2006 pun dia menolak untuk berpindah meskipun dipujuk sendiri oleh Raja Keraton Ngayogyakarta Hadiningrat Sri Sultan Hamengku Buwono X dan menghantar kereta mewah untuk menjemputnya.

Mbah Maridjan terus tinggal di rumahnya demi mempertahankan sebuah amanah yang telah diserahkan kepadanya oleh sultan terdahulu untuk menjaga kunci Merapi.

Takdir sudah menentukan, Merapi meletus juga pada 26 Oktober 2010 dengan memuntahkan lava panas (6000 darjah celsius). Ramai yang tidak sempat menyelamatkan diri menjadi korban.

Juru Kunci Merapi pun sama, menjadi korban. Dia tewas di tangan Merapi yang dijaganya. Ramai yang menyindir dengan kata-kata yang tajam, bagaimana si penjaga yang boleh memerintah Merapi boleh ditewaskan.

Mayat Mbah Maridjan berjaya dijumpai oleh sekumpulan anggota penyelamat di dalam bilik air rumahnya. Dikatakan juga kedudukannya ketika ditemui seakan sedang sujud. Sekali lagi timbul kontroversi tentang lelaki yang tidak pernah mahu dirinya dianggap sakti. Ramai yang mempercayai, dia adalah keramat kerana matinya di dalam keadaan yang elok iaitu ketika sedang sujud.

Lalu Menteri Agama Suryadharma Ali ketika itu memberikan penjelasan tentang keadaan Mbah Maridjan yang mati di dalam keadaan sujud. Katanya, posisi Mbah Maridjan ketika meninggal menunjukkan dia mati di dalam keadaan istiqamah. Dia memegang tugas dengan amanah dan keimanan. Malah dia yakin, Mbah Maridjan meninggal di dalam keadaan baik, mendapat keredaan dan keampunan Tuhan.

Siapakah Mbah Maridjan?

Adakah benar memang Mbah Mardjan boleh meramalkan bila Merapi akan meletus? Dari berita yang disebarkan nampak sangat lelaki tua itu mempunyai ilmu yang tinggi tentang gunung berapi hingga boleh menelaah bahaya yang bakal berlaku.

Pun begitu, bijaknya dia membaca petanda alam, mengapa tidak ambil kesempatan untuk menyelamatkan diri. Sebaliknya hanya bertahan di dalam rumah sedangkan amaran bahaya daripada pemerintah sudah dikeluarkan. Adakah dia memangnya mahu tunjuk kuat? Atau memang benar kerana memegang amanah Juru Kunci Merapi? Lihatlah gajinya yang terlalu kecil sebulan, apalah sangat yang perlu dipertahankan dengan duit sebanyak itu.

Di dalam persoalan memegang amanah dan menyelamatkan nyawa di dalam situasi berbahaya, menyelamatkan nyawa menjadi wajib. Nyawa perlu diselamatkan dahulu dan mencari tempat berlindung, kemudian apabila sudah selamat barulah difikirkan untuk kembali memegang amanah. Justeru, mesti ada sebab lain yang menyebabkan Mbah Maridjan terus bertahan di kaki gunung tersebut.

Kira-kira empat tahun sebelum itu, apabila ahli meteorologi, geofizik dan geologi mengumumkan bahawa gunung Merapi akan meletus dengan dahsyat, Mbah Maridjan mengatakan tidak. Malah seluruh kampung sudah diarahkan berpindah kecuali datuk tua itu saja yang menolak arahan itu. Di dalam kekalutan membuat persediaan untuk menghadapi bencana, Mbah Maridjan memanjat gunung itu hingga ke kawahnya.

Kemudian dia turun dengan kenyataan, Merapi tidak akan meletus hingga membahayakan penduduk sekitarnya. Hairan dengan kenyataan itu semuanya mengambil keputusan menanti dan akhirnya gunung itu hanya meletus sedikit saja. Sejak itulah orang kata Mbah Maridjan ada kekuasaan sakti yang boleh menahan Merapi dari meletup.

Sebenarnya, Mbah Maridjan bukanlah mempunyai kesaktian tetapi ilmunya tentang alam sangat mendalam. Firasatnya amat tajam dan boleh membaca tanda-tanda alam. Banyak sebab yang menjadikannya begitu.

Pertama, sejak kecil persekitaran kehidupannya adalah gunung Merapi. Jiwanya sudah bersatu dengan gunung seperti juga nelayan yang jiwanya adalah laut. Mereka tahu bila akan berlaku ribut.

Mbah Maridjan mampu membaca tanda-tanda alam, yang mana membahayakan dan tidak. Caranya membaca alam itu bukan menerusi buku-buku ilmiah, kajian penyelidik mahupun dari sekolah tinggi atau belajar di universiti tetapi menerusi ‘perpustakaan’ kehidupannya.

Selain itu, dia memiliki rasa dan naluri yang istimewa terhadap alam sekitarnya. Ia mungkin juga kerana amalan zikirnya atau melalui pengalaman.

Ini adalah ungkapannya apabila ditanya oleh wartawan tentang bila gunung Merapi akan meletus lagi. “Jangan tanya saya, tanyakan kepada Allah. Dia yang mengatur semua, itu semua kehendak Allah.”

Kemudian wartawan pula yang dibidas – “kamu itu harus sering melihat ke bawah, jangan hanya mendongak ke langit. Lihat Mbah, hidup seperti ini. Beritahu pada teman-teman yang hidupnya penuh kemewahan, contohilah Mbah yang serba sederhana,” sambil menunjukkan slip gaji sebagai Juru Kunci Merapi yang diterima dari istana.

“Saya ini orang kecil, hanya berbahasa menggunakan bahasa orang kecil. Kerana itu percakapan saya pun hanya didengar oleh orang kecil. Bahasa Indonesia itu hanya dipakai oleh orang besar. Itu adalah bahasa yang sombong dan saya tidak mahu dibilang sombong,” jelas Mbah Maridjan yang lebih suka bertutur di dalam bahasa Jawa halus.

Demikianlah, sisi kehidupan seorang tua yang dianggap keramat oleh orang ramai namun sebenarnya dia adalah seorang manusia biasa yang suka berzikir di masjidnya. Sering merendah diri dan cukup sederhana. Sanggup memegang teguh amanah yang diberikan hingga ke akhir hayat meski pun upahnya tidak seberapa.

Orang yang amat faham betapa keterbatasan kemampuan dirinya dan takut pada sifat sombong. Sepenuh jiwanya yakin bahawa hanya Allah saja yang mengetahui perkara yang ghaib dan maha berkuasa.

Kini, rumah di mana Mbah Maridjan tinggal telah ditukar menjadi muzium peringatan. Bukan sekadar untuk mengingati jasa sang penjaga kunci gunung itu, namun secara tidak langsung membawa berkat kepada penduduk sekitarnya apabila mereka dapat menjana pendapatan dengan kedatangan pelawat ke situ.

Pengganti Mbah Maridjan

Selepas Mbah Maridjan meninggal dunia, peranan juru kunci Merapi diambil alih oleh Mbah Asih yang merupakan anak lelaki ketiga Mbah Maridjan. Mbah Asih atau nama sebenarnya Kliwon Suraksohargo Asihono telah ditabalkan oleh Istana Ngayogyakarta sebagai Juru Kunci Merapi pada 4 April 2011.

Namun, sejak pemergian Mbah Maridjan, sosok juru kunci gunung ini sudah kurang mendapat perhatian masyarakat. Orang tidak lagi begitu peduli dengan pemegang kunci gunung tersebut berbanding sewaktu keberadaan Mbah Maridjan dahulu.

Menurut Mbah Asih, tragedi  Merapi pada tahun 2010 telah banyak memberi kesedaran kepada masyarakat yang tinggal berdekatan gunung itu. Penduduk kini lebih arif dan percaya dengan informasi yang diberikan oleh pihak berkuasa yang lebih berpegang kepada hujah dan data-data saintifik.

Oleh sebab itu, masyarakat di situ lebih berhati-hati, mendengar arahan pemerintah dan siap siaga dengan segala kemungkinan dan amaran jika Merapi meletus lagi.

Sumber Utusan

Apa Pendapat Anda? Dah Baca, Jangan Lupa Komen, Like Dan Share Ya… Terima Kasih.

Jom! sertai kami di page terbaru kami, Sila Klik Disini –> Detik Ini Viral Press

Pihak Detik Ini Viral tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosiaI ini. Ianya adalah pandangan peribadi pemilik akaun, segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun itu sendiri.

Post a Comment (0)
Previous Post Next Post