"Tiba-tiba saja ada kayu balak di tengah jalan. Dari mana ia datang?" - Kelibat Nenek Tua Dan Misteri Kayu Balak Di Atas Lebuh Raya

 

Dalam dunia yang penuh misteri dan keanehan ini sering kali terbit cerita-cerita yang ada kalanya tidak masuk akal diceritakan ramai. Penampakan kelibat aneh adalah salah satu daripada peristiwa pelik yang dialami ramai orang.

Kelibat adalah terma yang digunakan bagi menjelaskan kejadian aneh bayang susuk tubuh atau imbasan sesuatu yang berlaku pantas dalam masa beberapa detik dilihat oleh anak mata. Satu kejadian paranormal yang biasa namun kesannya besar pada mangsa terutama daripada sudut psikologi.

Satu kes pernah berlaku sekitar tahun 2007 di sebuah pekan kecil di selatan tanahair. Sebuah keluarga yang sedang dalam perjalanan ke Johor pada satu tengah malam ketika hujan renyai membasahi tar jalan raya. Waktu sudah menunjukkan pukul 2.15 pagi.

Si suami seorang pemandu yang cekap. Dia bekerja sebagai seorang penguatkuasa di sebuah jabatan kerajaan dan memang tugas hariannya memandu di lebuh raya berkenaan. Dia begitu mahir dengan selok-belok jalan di situ dan mampu memandu dalam apa jua kondisi pun.

Bosan dengan perjalanannya malam itu, dia pun menyanyi sendirian. Hendak dibuka radio nanti terjaga pula si kecil di pangkuan isterinya yang juga sudah hanyut dibuai mimpi.

Tiba-tiba dia merasakan kenderaannya bagaikan di’ekori’ daripada belakang. Terus sahaja dia melihat cermin pandang belakang dan menyedari sesuatu sedang melintasi lebuhraya dengan kelajuan yang amat pantas di belakang kenderaannya.

“Ah, mungkin burung agaknya..”, kata hati kecilnya.

Sebaik sahaja dia memandang semula ke hadapan, satu susuk tubuh kecil terbongkok-bongkok melintasi lebuhraya dengan perlahan. Susuk tubuh itu sengaja berhenti di tengah-tengah lebuh raya.

Sepantas kilat pemandu ini memutar stering kereta cuba mengelak kelibat ‘nenek tua’ itu. Sreeeetttt!!! Bunyi tayar berdecit meninggalkan kesan getah hitam sejauh lima meter!

Beberapa saat kemudian, tiga buah kereta di belakangnya juga mengalami nasib yang sama apabila bunyi brek kecemasan beberapa kali membingitkan suasana awal pagi itu.

Terus sahaja si suami ini memberhentikan kenderaannya di bahu jalan dan keluar dari kereta. Kelihatan sebatang balak sebesar tiga pemeluk, entah daripada mana merentangi laluan lebuh raya itu di belakang keretanya.

Di belakang pokok tumbang itu terdapat tiga buah kereta yang bertembung ketika mengelak balak tersebut. Nasib baik tiada kemalangan jiwa berlaku, hanyalah luka-luka kecil sahaja.

Penguatkuasa ini terkebil-kebil memikirkan apakah yang sebenarnya baru berlaku sebentar tadi. Dari manakah ‘nenek tua’ tadi muncul dan ke manakah dia menghilang? Bagaimana pula balak ‘tumbang’ itu boleh wujud di situ dan apakah sebenarnya yang melintasi belakang keretanya sejurus sebelum rentetan peristiwa pelik dan kemalangan tiga buah kereta itu? Persoalan itu tidak terjawab sehingga kini.

Dua pemandu tow-trak yang dipanggil mengalihkan pokok ‘tumbang’ itu pun senyap saja. Ini adalah antara peristiwa penampakan kelibat yang pernah diceritakan kepada saya. Kredibiliti pengadu yang berjawatan penguatkuasa adalah sukar untuk dinafikan mempunyai pengalaman yang banyak dan cekap tentang laluan itu. Malah kewujudan balak ‘tumbang’ yang entah daripada manaitu juga merupakan bukti nyata.

Sekiranya cerita ini tidak diselidiki, amat mudah untuk mereka yang skeptikal menuduh penguatkuasa itu mengantuk lantas terbayangkan yang bukan-bukan. Kemudian imbasan cahaya daripada lampu jalan juga boleh menyebabkan biasan pada kesan cap jari di cermin pandang belakang lalu menampakkan seolah-olah ‘sesuatu’ sedang melintasi belakang kereta ini. Tapi bagaimana pula dengan sebatang balak sebesar tiga pemeluk boleh melintang di lebuhraya ini?

Secara logiknya ada dua kemungkinan saja. Pertama ia tumbang dari bahu jalan dan kedua ia jatuh dari lori balak. Manakala ‘nenek tua’ yang berjalan terhincut-hincut dan berhenti di tengah jalan itu adalah hasil imaginasi si penguatkuasa yang terlalu mengantuk memandu. Nanti dulu, jika ini yang ada fikirkan!

Sewaktu laporan bersama (si penguatkuasa dan tiga orang pemandu kereta yang terlibat dalam kemalangan) dibuat atas kejadian itu kepada petugas lebuh raya, cerita mereka didapati sama. Cuma, kesemua tiga pemandu kereta di belakang penguatkuasa itu melaporkan ada kelibat ‘nenek tua’ di pembahagi lebuh raya beberapa detik sebelum mereka melintasi selekoh di situ.

Penampakan kelibat ‘nenek tua’ ini bagai memberikan petanda malang untuk mereka yang dapat menangkap maksud kemunculannya. Ia satu ‘amaran’ dari dunia lain?

Kelibat ini juga bukanlah cerita baru di lokasi tersebut. Cuma, itu kali pertama laporan rasmi dibuat atas penampakan ini. Itu pun sebab berlaku kes kemalangan membabitkan tiga buah kereta.

Sukar daripada sudut logikal menafikan kejadian ini. Tidak mungkin empat pemandu ini berimaginasi benda yang sama pada satu masa secara serentak. Ia tidak mungkin berlaku sama sekali.

‘Nenek’ itu pasti wujud dan sedang berkeliaran di lebuh raya ketika itu. Jika diperhalusi kejadian tersebut,  si penguatkuasa tadi melihat kelibat itu melintas dari bahu kiri ke hampir di tengah jalan, manakala tiga pemandu di belakangnya pula melihat kelibat itu berada di pembahagi lebuh raya. Ini bagai menunjukkan perilaku yang begitu konsisten sekali. Satu perbuatan melintas dari kiri ke kanan oleh kelibat itu. Mustahil untuk menafikan laporan ini.

Walau-bagaimanapun, harus diingatkan kepada semua pemandu agar lebih berhati-hati di lebuh raya terutama jika anda sedang memandu di lokasi-lokasi ‘panas’ seumpama ini. Bukan kita tidak pernah dengar cerita sebegini berlaku di beberapa lokasi di utara tanah air seperti lokasi kegemaran ‘gadis berkebaya merah’!

Anda boleh panggil kelibat-kelibat ini sebagai satu mitos atau cerita imaginasi pemandu yang khayal. Namun bahayanya tetap ada. Kelibat melintas dan memberikan amaran atas sebab-sebab tertentu. Satu bentuk paranormal yang menyelamatkan nyawa bagi yang berjaga-jaga dan satu bentuk gangguan yang mengundang malapetaka bagi yang cepat melatah dan terkejut melihatnya.

Oh ya, kelibat begini sering dilihat di sisi kiri atau kanan mata. Jarang sekali secara berhadapan. Mengapa? Mungkin pembaca boleh buat kajian sendiri dengan beberapa buku kajian psikologi di bawah tajuk (visual dan persepsi) untuk pemahaman anda sendiri. Nak lagi menarik, carilah teori-teori sains untuk membuat perbandingan bagi melengkapi cerita paranormal sebegini.

Hampir terlupa pula saya. Pada kejadian lebuh raya ini tadi, didapati tiada lori balak yang dilaporkan melintasi laluan itu. Rakaman semua plaza tol arah selatan tidak menemui sebarang lori balak yang keluar atau masuk ke lebuh raya dan tidak pernah ada kayu balak yang sebesar tiga pemeluk di bahu jalan.

Pemerhatian di tempat kejadian mendapati, tanah bahu jalan tempat kemalangan itu berlaku tidak ada kesan bongkas. Malah, saya sendiri sebenarnya pernah melihat ‘nenek’ itu di lokasi yang sama kira-kira enam bulan sebelum kemalangan itu.

*Pengalaman di atas ditulis sendiri oleh Lando Zawawi berdasarkan pengalamannya sendiri yang pernah disiarkan dalam Majalah Infiniti dahulu dalam ruangan ‘Zon Anomali’.

Sumber Lando Zawawi

Apa Pendapat Anda? Dah Baca, Jangan Lupa Komen, Like Dan Share Ya… Terima Kasih.

Jom! sertai kami di page terbaru kami, Sila Klik Disini –> Detik Ini Viral Press

Pihak Detik Ini Viral tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosiaI ini. Ianya adalah pandangan peribadi pemilik akaun, segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun itu sendiri.

Post a Comment (0)
Previous Post Next Post