Kisah Dr. Mustafa Siba’i, Mujahid Yang Sangat Pantang Dengan Penjajah

 

Dilahirkan pada tahun 1915 di kota Homs, Syria, pada usia 16 tahun Mustafa al-Siba’i tidak gentar berhadapan dengan tentera Perancis yang menjajah negaranya. Dia amat menentang penjajahan, malah membuat pakatan bersama dengan rakan-rakannya di sekolah untuk melakukan satu himpunan bagi membantah kehadiran tentera Perancis di kota Homs. Walaupun usianya baru 16 tahun, namun pengaruhnya sangat hebat ketika itu.

Berduyun-duyun anak muda dan tua keluar ke jalan raya dengan diketuai oleh Mustafa. Mereka berdemonstrasi di hadapan tentera Perancis. Mustafa berpidato dan menyebarkan risalah kepada peserta demonstrasi dan pemerhati-pemerhati mereka untuk menaikkan semangat dan kesedaran supaya bangkit melawan penjajah. Khuatir dengan penentangan yang dilakukan, penjajah Perancis telah menangkap Mustafa dan memenjarakannya atas kesalahan menghasut dengan menggunakan risalah.

Namun, Mustafa tidak pernah gentar. Baginya kewajipan mempertahankan negaranya daripada penjajahan kuasa asing adalah lebih penting dan menjadi matlamat utama dalam perjuangannya. Sikapnya itu tidak ubah seperti bapanya, Sheikh Husni al-Siba’I, seorang tokoh agama terkenal di kota Homs.

Bapanya itu bukan saja seorang ulama, tetapi juga perajurit melawan penjajah. Setiap minggu Sheikh Husni akan berkhutbah di masjid jamek bandar Homs dan menyeru kaum Muslimin Syria bangkit melawan Perancis.

Bukan itu saja, Mustafa dibesarkan dalam keturunan alim ulama sejak ratusan tahun lampau. Ayah dan datuk-datuknya merupakan golongan ulama dan khatib di masjid agung Homs. Daripada keturunan alim, mujahid dan para khatib itulah diri Mustafa dibentuk.

Khutbah ayahnya, Sheikh Husni sering memukau hadirin. Selain itu, Husni juga menubuhkan yayasan-yayasan kemasyarakatan bertujuan membantu masyarakat yang bermasalah dalam pelbagai aspek. Keperibadian Husni ini turut meresap ke jiwa anaknya Mustafa, untuk menjadi seorang yang berani.

Pada tahun 1931, Mustafa ditangkap buat kali pertama. Setelah dibebaskan, Mustafa giat berpidato dan menjalankan aktiviti ketenteraan menentang Perancis. Pidatonya sangat lantang dan berpengaruh. Kali terakhir dia berpidato di Masjid Homs, ia berjaya membangkitkan emosi rakyat Syria untuk melawan Perancis. Akibatnya pada tahun 1933 ketika berusia 18 tahun, sekali lagi dia disumbatkan ke dalam penjara oleh penjajah negaranya.

Apa pun tindakan Mustafa, dia tetap melihat pelajaran adalah segala-galanya dalam perjuangannya. Justeru, Mustafa mengambil keputusan berhijrah ke Mesir untuk belajar di Universiti Al Azhar. Ketika itu Mesir dijajah oleh tentera British. Oleh kerana dia diasuh daripada kecil supaya melawan penjajah, maka dia turut serta dalam demonstrasi bantahan yang dianjurkan oleh Ikhwanul Muslimin Mesir bagi menentang kehadiran tentera Bristish.

Kegiatannya diperhatikan oleh penjajah Inggeris. Oleh itu pada tahun 1941 dia telah ditangkap pemerintah Mesir atas arahan pihak Inggeris. Dia dipenjarakan di Mesir selama tiga bulan. Kemudian dipindahkan ke penjara Inggeris di Palestin selama empat bulan sebelum dibebaskan dengan jaminan. Mustafa meneruskan pengajiannya dan mencapai keputusan yang cemerlang.

Semangat Tidak Pernah Luntur

Selepas belajar di Mesir, Mustafa pergi ke Iraq kerana mempunyai urusan di sana. Apabila sampai di Iraq, dia melihat Iraq juga dijajah oleh Inggeris. Kerana dididik sejak kecil untuk berani melawan penjajah, dia menyertai kumpulan Rasyid Ali Kailani di Iraq untuk melakukan peperangan ke atas Inggeris. Penyertaannya kali ini, menunjukkan sudah tiga buah negara Arab yang dijajah, dibantu oleh Mustafa dalam usia yang sangat muda.

Pulang ke Syria, Mustafa menubuhkan jemaah Ikhwanul Muslimin bagi mewakili umat Islam Syria. Dia sendiri diangkat menjadi pemimpin utama Ikhwan cawangan Syria. Maka bermulalah kegiatan aktif kemasyarakatan, pendidikan dan politik.

Mustafa melakukan reformasi politik bagi menghapuskan kesan-kesan dan budaya penjajah di Syria. Dia juga mendirikan sekolah-sekolah bagi mendidik anak-anak Syria dengan didikan yang sempurna. Malah membantu petani dan pekerja yang susah, memperjuangkan hak-hak mereka. Di kampung-kampung, dia membuat khidmat masyarakat seperti pemeriksaan kesihatan, melawat kampung-kampung dan lain-lain.

Namun aktiviti kemasyarakatannya tidak pernah melupakan kegiatan asalnya melawan penjajah. Apabila mengetahui Palestin dijajah oleh Yahudi, tahun 1948 Mustafa memimpin perajurit Ikhwan Muslimin Syria menuju ke Palestin bertujuan melawan penjajah Israel yang hendak menawan bumi umat Islam.

Bersama Ikhwan Mesir pimpinan Hasan Al Banna dan Ikhwan Jordan, Mustafa bergerak ke bandar-bandar Palestin dan memerangi tentera-tentera Yahudi. Inilah keperibadian Mustafa Sibaíi yang tidak pernah duduk diam apabila mengetahui ada saudara seIslamnya yang dijajah walaupun di luar dari negaranya sendiri.

Walaupun sibuk dengan aktiviti perjuangan melawan penjajah, Mustafa tetap meletakkan ilmu sebagai satu keperluan. Buktinya pada tahun 1949 beliau memperoleh Phd dalam bidang perundangan Islam. Dia kemudiannya diangkat menjadi Dekan Fakuliti Undang-undang Universiti Syria. Kesempatan yang diberikan digunakan olehnya untuk mengubah kurikulum pendidikan Syria yang banyak terpengaruh dengan penjajah kepada sistem Islam.

Pada tahun 1957, Mustafa diserang penyakit strok tidak lama selepas pulang dari Soviet Union. Separuh badannya yang sebelah kiri lumpuh. Dia tidak mampu solat berdiri. Selama tujuh tahun penyakitnya tidak sembuh-sembuh. Namun usaha dakwahnya tidak terhenti. Walaupun tidak mampu ke medan melawan penjajah lagi, Mustafa menggunakan tangan kanannya untuk menulis puluhan buah kitab.

Dalam keadaan terlantar sakit itu, dia menghasilkan lebih 20 buah buku-buku yang merangkumi pelbagai bidang yang menjadi rujukan puluhan ribu pelajar di seluruh dunia sehingga ke hari ini. Demikianlah kehidupan seorang ulama dan pemimpin Islam ini yang keperibadiannya wajar diteladani bersama.

Dr. Mustafa Siba’i meninggal dunia di kota Homs pada 3 Oktober 1964. Jenazahnya dibawa ke masjid Umawi di Damsyik dan disembahyangkan oleh puluhan ribu umat Islam. Pemergiannya disifatkan sebagai suatu kehilangan besar yang sukar dicari ganti.

Sumber Utusan

Apa Pendapat Anda? Dah Baca, Jangan Lupa Komen, Like Dan Share Ya… Terima Kasih.

Jom! sertai kami di page terbaru kami, Sila Klik Disini –> Detik Ini Viral Press

Pihak Detik Ini Viral tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosiaI ini. Ianya adalah pandangan peribadi pemilik akaun, segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun itu sendiri.

Post a Comment (0)
Previous Post Next Post