"Tak sangka seluruh negara hargai khidmat kecil saya" - Akak Guard Hospital Tersenarai Penerima Darjah Kebesaran YDP Agong

 

RINGAN tulang dan seronok membantu pesakit di hospital di mana beliau berkhidmat, seorang pengawal keselamatan wanita, Yogeswary A/P Ramasamy , 44, menerima kejutan tersenarai sebagai penerima Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Persekutuan daripada Yang di-Pertuan Agong pada 19 Disember ini.

Memang benar kalau ikhlas melakukan kerja yang diamanahkan, tak berfikir panjang menghulur tangan membantu, pasti akan ada imbalan yang tidak diduga akan tiba.

Sama seperti Yogeswary ini, pernah viral membantu pengunjung Kompleks Wanita, Kanak-Kanak dan Kardiologi Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB), gelagat Yogeswary yang meraih perhatian Menteri Kesihatan, Dr Zaliha Mustafa.

Baik sungguh hati beliau. Ibu tunggal kepada dua cahaya mata itu tidak berkira tenaga membantu membukakan pintu kereta, mengangkat barang dan menjaga lalu lintas di parkir.

Sisi keibuan dan prihatin  menebal dalam diri Yogeswary membuatkan beliau tidak kekok menenangkan pesakit sedang cemas dan mengucapkan tahniah kepada ibu yang baharu bersalin.

Tidak pernah menduga akan menerima surat rasmi daripada pemimpin negara, ibu tunggal kepada dua cahaya mata itu juga mengakui ia seolah-olah satu mimpi.

Ujarnya, penghargaan diterima itu merupakan satu pengiktirafan tertinggi sepanjang lebih empat tahun bekerja sebagai pengawal keselamatan.

“Rasa syukur, gembira dan terharu bercampur baur membuatkan saya menitiskan air mata. Saya tak sangka, khidmat kecil saya dihargai seluruh negara.

“Sudah tentu penganugerahan ini melonjakkan semangat saya untuk terus mencurahkan bakti kepada masyarakat di sini,” katanya.

Biarpun tugasnya hanya perlu mengawasi dan memantau, beliau melakukan lebih daripada  itu. Sifat empati Yogeswary membuatkan ramai tersentuh.

Justeru, wanita kelahiran Ipoh itu bertekad memberikan perkhidmatan kepada mereka yang memerlukan tanpa mengira kaum, agama dan bangsa selagi diberikan kesihatan yang baik.

“Masalah hospital ini apabila susah nak dapatkan parkir.

“Jadi apa saya buat hanya bantu urusan mereka, bawakan barang dan dapatkan tempat letak kenderaan yang mudah dan dekat. Itu sahaja,” katanya.

Kurang dua minggu menjelang hari bersejarah pada 19 Disember ini, Yogeswary mula gementar.

“Belum ada persiapan lagi tetapi saya teringin nak pakai baju kebaya.

“Mungkin dalam dua atau tiga hari lagi saya cari baju kebaya yang bersesuaian,” katanya.

Beliau turut berkongsi kegembiraan itu dalam laman sosial Facebook.

Bagi Yogeswary kata-kata dan komen positif orang ramai terutama pesakit dan ibu mengandung yang pernah dibantunya, menjadi titik tolak kepada penganugerahan itu.

Beliau malah menzahirkan rasa terima kasih kepada orang ramai serta pengurusan HRPB yang banyak memberi sokongan kepadanya.

Tidak hanya Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Menteri Kesihatan, Dr Zaliha, syarikat kawalan keselamatan Yogeswary berkhidmat iaitu United Security Services Sdn Bhd turut memberi penghargaan atas komitmen tinggi ditunjukkan.

Tidak hanya watikah penghargaan, Yogeswary juga menerima wang sagu hati atas kecemerlangannya menjalan tugas dan memberikan contoh yang baik sepanjang perkhidmatan.

Beliau kini ditugaskan mengawal keselamatan di Kompleks Rawatan Harian HRPB bagi membantu warga emas dan orang kurang upaya (OKU) sejak enam bulan lalu.

Warga maya menitipkan ucapan tahniah buat Yogeswary dan menjadikan wanita itu sebagai inspirasi. Ujar mereka:

– “Tahniah Sis Yogeswary. Anda sememangnya layak diberikan penghargaan atas budi pekerti dan cara melaksanakan kewajipan sebagai pertugas keselamatan. Salute sis!

– “Tahniah puan. Teruskan berkhidmat dengan cemerlang.”

– “Tahniah Aunty, Aunty yang sangat baik sewaktu saya nak bersalin.”

– “Tahniah, Aunty yang sangat baik . Saya kenal Aunty sebab saya pernah datang HRPB kerana anak sakit. I miss you Aunty, semoga aunty sihat selalu ya .”

Sumber FB Yoges Wary

Apa Pendapat Anda? Dah Baca, Jangan Lupa Komen, Like Dan Share Ya… Terima Kasih.

Jom! sertai kami di page terbaru kami, Sila Klik Disini –> Detik Ini Viral Press

Pihak Detik Ini Viral tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosiaI ini. Ianya adalah pandangan peribadi pemilik akaun, segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun itu sendiri.

Post a Comment (0)
Previous Post Next Post