Kisah Misteri Lembu, Kerbau Dan Gembalanya Di Jalan Jerangau-jabor. Siapa Sebenarnya ‘mereka’?

Ini kisah pengalaman aneh yang pernah aku lalui lebih sepuluh tahun yang lalu. Bagi yang sudah biasa dari Kuala Lumpur ke Terengganu sejak dahulu pasti tahu Jalan Persekutuan no. 14 atau dikenali sebagai Jalan Jerangau-Jabor.  Suatu ketika dulu, ia adalah antara jalan utama ke Kuala Terengganu. Banyak kisah pelik yang berlaku di sini. Aku sendiri pernah mengalaminya.

Kisah ini berlaku semasa aku dan rakan sekerja, Lan dalam perjalanan ke Kuala Terengganu. Jalan tersebut sunyi. Semasa kami melalui jalan itu, jam sudah pukul 2.00 pagi. Sebab itu sepi.

Menurut Lan, ramai orang pernah terserempak dengan binatang liar ketika melalui jalan tersebut. Yang paling banyak adalah terserempak binatang liar pada waktu malam. Bagaimana dengan hantu? Menurut Lan, pernah dua ex-staff kami, iaitu Dollah dan Yatim terserempak ‘hantu’ sewaktu melalui jalan itu.

Cerita Lan lagi, waktu itu mulut Dollah agak celupar. Dollah mengatakan tak kisah pun kalau terserempak hantu. Takburnya!

“Entah-entah bukan bintang atau hantu saja yang melintas, silap-silap bos kita pun boleh melintas. Siapa tahu!” kata Dollah. Yatim hanya menggeleng kepala bila Dollah kata demikian. Memang mulut Dollah tak ada insuran langsung!

Sejurus selepas itu, mereka terpandang seperti ada orang hendak melintas. Dollah mula memperlahankan kereta. Susuk tubuh orang yang ingin melintas itu seperti mereka kenal. Namun, tidak nampak pun tanda-tanda seperti orang itu hendak melintas.

Apabila benar-benar berada di depan orang itu, Dollah memandang Yatim. Yatim senyap! Dollah juga senyap! Dollah terus menekan pedal minyak tanpa menoleh lagi ke arah susuk tubuh yang mereka tinggalkan.

Mereka sebenarnya ternampak bos kami, Encik Shay. Apa dibuat oleh Encik Shay malam-malam di tepi jalan yang sepi? Apakah rumah keluarganya di sini? Tidak mungkin! Encik Shay berasal dari Selangor, dan isterinya pula orang Kedah. Ketika mereka bertolak ke Kuala Terengganu, Encik Shay ada urusan di Johor. Sudah tentu dia ke Johor, bukannya ke Jerangau-Jabor! Itulah, lain kali mulut tu cabul lagi!

Aku boleh bayangkan bagaimana Yatim dan Dollah alami peristiwa itu, kerana kini kami sendiri berada di jalan yang sama. Susuk tubuh yang Yatim dan Dollah nampak itu sebenarnya bukan Encik Shay.

Malam itu, Lan lebih banyak bercerita berbanding aku. Sambil Lan bercerita, aku cuba Whatsapp kawan-kawan di Kuala Lumpur. Mesej asyik pending. Aku cuba call, tapi tak ada signal. Mungkin di area lain ada.

Tiba-tiba Lan mencuit aku. Aku menoleh ke arahnya. Lan hanya memuncungkan mulut memberi isyarat supaya aku memandang ke depan. Sebelum aku mengalihkan pandangan daripada handphone kepadanya, aku bertanya, apa yang dia nampak? Lan kata sekumpulan lembu sedang melintas. Fuhhh… lega! Aku ingat apalah tadi.

Aku mula on kamera video handphone. Lan memberhentikan kereta. Setelah selesai lembu-lembu itu melintas, ada seorang tua di belakang lembu-lembu tersebut.

Ada tuan punya rupanya! Aku ingat lembu-lembu tu melintas sendiri. Orang tua ni betullah! Pandanglah sini untuk ucapkan terima kasih! Lan rasa tak puas hati kerana orang tua itu melintas tanpa menghiraukan kami. Pedulikanlah dia. Apa ada hal, kata aku.

Setelah orang tua itu selesai melintas, aku off kamera video handphone. Kami meneruskan perjalanan. Aku menoleh ke arah lembu-lembu itu. Eh, mana tuan punya lembu-lembu tadi? Sekejap saja sudah hilang! Lan kata mungkin orang tua itu ada di celah kawanan lembu tu. Cuma aku saja yang tak nampak.

Aku yang tak nampak? Tak mungkin! Kalaupun berada di celah lembu-lembu tadi, takkanlah seluruh badannya hilang. Setidak-tidaknya, aku masih boleh nampak dari paras kepala hingga ke dadanya. Aku rasa pelik. Mungkin betul kata Lan. Tapi, kenapa dia bawa pulang lembu-lembunya pagi-pagi buta begitu?

Sementara kami berborak, aku cuba call kawan-kawan di Kuala Lumpur lagi. Tujuannya supaya mereka tahu yang aku dan Lan baru saja melalui kejadian pelik sebentar tadi. Tiba-tiba Lan memperlahankan kereta. Ada jalan yang tidak elok ke? Sangkaan aku meleset. Ini bukan pasal jalan. Ini pasal lain!

Kira-kira 20 meter di depan kami, ada sekumpulan lembu melintas jalan seperti tadi. Eh, ada lagi lembu melintas? Aku mula on kamera video handphone. Ishhh… ini bukan lembu. Iniii … ini kerbau!

Kerbau? Pelik tu! Ada sawah ke di kawasan ini? Lan kata tak ada. Kami musykil! Sangat musykil! Apa-apa pun, kami menunggu hingga habis kerbau-kerbau itu melintas.

Tahu apa yang kami nampak di belakang kawanan kerbau itu? Ada orang tua yang serupa seperti apa yang kami nampak sebelum ini. Sambil kamera video handphone merakam kerbau-kerbau dan orang tua itu, aku berpaling sebentar ke arah Lan. Aku tahu dia mula fikir yang bukan-bukan. Hah, lain kali, marahlah lagi orang tua tu!

Selesai kawanan kerbau dan gembalanya melintas, Lan tidak menoleh ke kiri atau ke kanan, apatah lagi menoleh ke arah gembala kerbau itu. Dia memecut laju. Aku off kemera video handphone.

Bagaimana gembala lembu dan kerbau itu boleh berada di dua kawasan yang berlainan? Kalau pun boleh, takkanlah orang tua itu boleh bergerak secepat kami? Memang betul-betul menduga akal, malah turut menduga perasaan kami. Takut dan menyeramkan!

Bau Harum

Setelah lama bergerak meninggalkan orang tua dan kerbau-kerbaunya, Lan membuka cermin tingkap kereta. Hendak hisap rokok katanya. Aku yang bukan perokok tegar, turut sama melayan Lan hisap rokok. Ketika Lan menurunkan cermin, kami terhidu sesuatu yang semerbak harum. Aku rasa itu haruman bunga atau bahan organik, bukannya harum minyak wangi.

Dari mana datangnya bau harum itu kalau tidak daripada luar! Namun jika diperhatikan di luar, di kiri dan kanan jalan adalah pokok-pokok sawit. Takkan bau tersebut datang daripada buah sawit?

Menyedari bau harum itu ‘semacam’, cepat-cepat kami padamkan api puntung rokok. Kami menutup cermin tingkap dan memasang penghawa dingin.

Walaupun cermin tingkap ditutup, bau harum tadi tetap berbekas di dalam kereta. Kali ini lebih harum. Mengapa bila sudah tutup cermin tingkap, bau tersebut semakin kuat? Seolah-olah puncanya adalah dari dalam kereta! Kami menurunkan cermin tingkap semula.

Bau wangi itu beransur-ansur hilang. Soalnya, siapa sebenarnya yang menghantar bau wangi tersebut? Entahlah.

Setelah agak lama melalui jalan yang baru memberikan pelbagai pengalaman ganjil, akhirnya kami sampai di Bandar Al-Muktafi Billah Shah. Kami berehat sebentar sementara menantikan waktu Subuh. Sempat juga kami melelapkan mata.

Setelah solat Subuh, kami pergi ke kedai makan berhampiran. Sementara minuman dan makanan yang kami pesan sampai, kami tengok semula apa yang aku rakam tadi.

Husss… ini pelik! Memang pelik! Klip video apa yang aku rakam ada, namun imej orang tua dan lembu-lembunya tak ada langsung! Yang ada hanya imej garisan tengah jalan yang putus-putus dan belukar di kiri kanan jalan. Tak mungkin!

Aku buka klip video kedua. Apa yang kami nampak? Pun serupa! Tak nampak apa-apa kecuali jalan dan kawasan sekitarnya. Mana pergi kerbau-kerbau dan gembalanya? Pelik!

Apakah lembu-lembu dan kerbau-kerbau, serta gembalanya yang juga orang yang sama yang kami nampak di dua tempat yang berlainan itu adalah ilusi kami? Kami percaya tidak! Cuma bagaimana orang tua dan haiwan-haiwan itu ‘tak lut’ dek kamera? Siapa sebenarnya mereka?

Sumber  Arizan Arif Hasnol Ramzi dari Sungai Besi, Kuala Lumpur.

Apa Pendapat Anda? Dah Baca, Jangan Lupa Komen, Like Dan Share Ya… Terima Kasih.

Jom! sertai kami di page terbaru kami, Sila Klik Disini –> Detik Ini Viral Press

Pihak Detik Ini Viral tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosiaI ini. Ianya adalah pandangan peribadi pemilik akaun, segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun itu sendiri.

Post a Comment (0)
Previous Post Next Post