“Rezeki saya kerana terpilih untuk membintangi iklan tersebut" - Halimah Alias

 

MUNGKIN nama Halimah Alias kedengaran asing, namun wajah pelakon veteran ini terlalu sinonim dengan masyarakat kita.

Mana tidaknya, Halimah adalah antara pelakon iklan yang kerap menghiasi kaca televisyen lebih-lebih lagi ketika musim perayaan.

Dari makanan segera, sehinggalah iklan Hari Raya Aidilfitri. Bak kata tuan punya badan, sudah beribu iklan dijayakannya.

Langkah ke dunia lakonan pada tahun 1985 ternyata membawa tuah. Sampai hari ini, dia masih diberi kepercayaan berlakon iklan meskipun umurnya sudah lanjut.

“Saya tak pernah bercita-cita jadi pelakon. Tapi mungkin inilah rezeki yang telah Tuhan tetapkan untuk saya.

“Iklan pertama yang saya lakonkan adalah untuk Bank Islam pada tahun 1985. Ketika itu, saya dipelawa pelakon, Kismah Johar ke sesi uji bakat di ibu negara.

“Rezeki saya kerana terpilih untuk membintangi iklan tersebut. Terpaksa saya bahagikan masa kerana ketika itu saya bekerja sebagai kerani,” kongsinya.

Pejam celik hampir 38 tahun Halimah bergelar pelakon iklan. Dia akui tawaran berlakon tidak putus meskipun tidak ‘semeriah’ dulu.

“Tidak dinafikan semakin kurang, tambahan lagi selepas pandemik. Saya pun tak banyak berlakon drama, akhir sekali sekitar Mac lepas.

“Tapi rezeki datang bila-bila masa. Kadang kala, tanpa saya jangka, tawaran berlakon tiba-tiba datang pada bulan puasa,” kongsinya.

JANDA ANAK 7 DAN LEMBU RAYA

IKLAN Hari Raya Aidilfitri Petronas, yang diarahkan Allahyarham Yasmin Ahmad itu menjadi antara pengalaman manis yang tidak dapat dilupakan pelakon ini.

Berkongsi lanjut, Halimah meluahkan rasa gembira kerana berpeluang bekerja di bawah pasukan produksi yang profesional dan komited.

“Penggambaran dibuat selama lima hari di Lenggong, Perak pada 2003. Kalau ikutkan, tidaklah selama itu. Tetapi keadaan cuaca tidak menentu membuatkan prosesnya menjadi lama.

“Kami berkampung di Lenggong, habiskan banyak masa bersama. Ikatan kami ibarat sebuah keluarga besar,” ceritanya.

Kata Halimah lagi, aspek keselamatan ketika iklan itu dirakam cukup terjaga dengan bantuan anggota bomba yang memantau keadaan semasa.

“Prosesnya amat mencabar, dengan keadaan licin akibat hujan. Ketika itu saya takut tergelincir jatuh ke dalam sungai disebabkan keadaan rakit yang bergoyang.

“Mujur ada anggota bomba yang memantau, keadaan menjadi tidak terlalu menakutkan,” katanya lagi.

SEDIH NASIB PELAKON LAMA

Dalam perkongsiannya, terselit luahan hati yang lama dipendam pelakon ini. Halimah kecewa dengan tindakan penerbit yang ‘sampai hati’ memberi bayaran terlalu rendah kepada pelakon veteran.

“Berbeza keadaan di negara luar, pelakon lama dibayar tinggi sesuai pengalaman dan kebolehan yang mereka miliki. Kalau di Malaysia, pelakon veteran ramai yang dibayar rendah.

“Perkara ini berlaku kepada saya, membuatkan saya terpaksa tolak cara baik tawaran berlakon yang bayarannya tak setimpal dengan kerja yang dibuat.

“Bukan saya sombong, tetapi saya mengenangkan apa akan berlaku kepada pelakon veteran lain kalau saya terima bayaran terlalu rendah.

“Ia tentu menjejaskan pendapat pelakon veteran lain, yang masih bergantung kepada kerja lakonan sebagai punca pendapatan,” katanya.

Halimah bagaimanapun bersyukur kerana punya anak-anak yang sentiasa menyokong dari segi kewangan buat dia dan suami.

“Saya bertuah kerana anak-anak selalu bagi duit untuk keperluan saya meskipun mereka berkeluarga. Sekurang-kurangnya, saya tidak terdesak untuk terima tawaran yang tak setimpal.

“Tapi saya simpati pada pelakon veteran lain yang tiada punca pendapatan selain berlakon. Saya harap penerbit di negara kita prihatin dan bayarlah pelakon lama sesuai pengalaman mereka,” kongsinya.

Dalam pada itu, Halimah turut memaklumkan anak-anaknya tidak pernah menghalangnya untuk berlakon meskipun usianya sudah lanjut.

“Cuma mereka ada nasihatkan saya berehat daripada dunia lakonan kerana khuatir terhadap keselamatan saya ketika di lokasi penggambaran.

“Kata anak-anak mereka lebih senang saya berehat di rumah. Tapi nak buat macam mana? Ini bidang yang saya sukai sejak dulu,” katanya lagi.

Sumber Panca Indera

Apa Pendapat Anda? Dah Baca, Jangan Lupa Komen, Like Dan Share Ya… Terima Kasih.

Jom! sertai kami di page terbaru kami, Sila Klik Disini –> Detik Ini Viral Press

Pihak Detik Ini Viral tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosiaI ini. Ianya adalah pandangan peribadi pemilik akaun, segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun itu sendiri.

Post a Comment (0)
Previous Post Next Post