Cabar Diri Ceburi Bidang Dipelopori Kaum Adam, Wanita Jadi Melayu Pertama Kendali Bisnes Minyak Masak

 

MEMASUKI bisnes barangan terkawal seperti minyak masak bukanlah semudah yang disangkakan.

Banyak langkah harus diambil dan disediakan, selain ilmu yang mendalam perlu diselami terlebih dahulu.

Pun begitu, Noor Harnani Buang tidak menjadikan hal tersebut sebagai penghalang untuk beliau berusaha memastikan jenama minyak masaknya, Kebarung dan Mayang Sari berjalan lancar.

Lebih membanggakan, Noor Harnani merupakan wanita Melayu pertama yang

mengendalikan kilang pembungkusan minyak masak bersubsidi di negara ini.

“Alhamdulillah, sudah lapan bulan saya menguruskan perniagaan minyak masak, kini saya sudah mula faham selok-beloknya.

“Insya-ALLAH dalam masa terdekat, saya akan membuka sebuah lagi kilang bagi mengeluarkan minyak masak dalam bentuk botol selain menguruskan hal eksport,” ujarnya ketika ditemu bual SinarPlus baru-baru ini.

Sedikit mukadimah mengenai latar belakang anak bongsu daripada 12 beradik yang berasal dari Johor itu, empunya diri memulakan kerjaya awal sebagai seorang jurulatih bebas.

minyak masak

Terkenal dengan panggilan Cikgu Nanie atau Coach Nanie, beliau juga seorang aktivis dan bergiat aktif dalam pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan kini menjawat jawatan sebagai Presiden Pertubuhan Wanita Bumiputra Kuala Lumpur & Selangor (PERNITA).

Mempunyai 18 tahun pengalaman dalam bidang korporat dan perniagaan, ibu kepada lima cahaya mata itu juga ialah seorang Pengarah Urusan di RH Global Empire yang memberi fokus perkhidmatan sebagai pengendali latihan.

Berbalik semula soal bisnes minyak masaknya, tuan punya badan awal-awal mengakui, urusan perniagaan berkenaan bukanlah semudah yang disangkakan.

Namun demikian, beliau sentiasa optimis.

“Cabaran dalam bidang ini sama sekali tidak melemahkan semangat, bahkan saya lihat ia dari sudut positif.

“Selain itu, doa, usaha, ikhtiar, tawakal dan yang paling penting jangan mudah putus asa serta terus belajar.

“Insya-ALLAH segala dugaan atau cabaran yang datang itu akan dihadapi dengan tenang,” ungkap wanita berumur 42 tahun itu.

minyak masak

ASAL USUL JENAMA

Bercerita lanjut jenama cap Kebarung (dalam paket 1 kilogram), nama tersebut merupakan gabungan baju kebaya dan kurung.

“Kebarung melambangkan wanita selaras dengan pemilik syarikat yang juga seorang wanita. Sementara untuk minyak masak komersil (botol), saya jenamakannya sebagai Mayang Sari,” katanya.

Ujar Coach Nanie, nama tersebut menjadi pilihan kerana asal usul Puteri Mayang Sari yang sentiasa membantu dan memberi yang terbaik untuk manusia walaupun diri sendiri telah dihalau oleh ayahanda kandung dari kayangan.

Ditanya kenapa barangan tersebut menjadi pilihan, ini jawapan tuan punya badan:

“Setiap produk mempunyai jalan ceritanya sendiri dan bisnes ini menjadi pilihan kerana bagi saya, wanita juga mampu dan berani menceburi bidang yang rata-ratanya dipelopori oleh kaum Adam.

“Sebagai pemilik syarikat, saya yang bertanggungjawab menguruskan segala lesen dan permit yang berkaitan. Bukan itu sahaja, saya turut turun padang membantu apa saja kelemahan yang perlu diperbaiki.”

Minyak masak

BANTU GOLONGAN SASAR

Akui pemegang Ijazah Sarjana Muda Pentadbiran Perniagaan itu lagi, memandangkan kilangnya mengeluarkan minyak subsidi, menjadi kesalahan jika beliau mempromosikan produk berkenaan

“Semua orang tahu bahawa minyak masak merupakan barangan terkawal, apatah lagi minyak yang saya hasilkan ini bersubsidi (paket). Justeru, saya wajib mengikut garis panduan yang telah ditetapkan. Seperkara, jualan hanya sekitar Lembah Klang.

“Namun begitu, ia masih belum cukup untuk menampung permintaan yang sangat tinggi. Sementara untuk minyak masak botol yang bakal dikeluarkan kelak, pihak kami akan berkolaboratif dengan NGO atau koperasi untuk dijual dengan harga yang berpatutan,” jelasnya.

Selain minyak masak, Coach Nanie turut mengeluarkan air mineral di bawah NGO PERNITA.

Jelas ahli perniagaan berdaya maju itu, selain air mineral sangat diperlukan oleh sesiapa pun, tujuan menghasilkan produk tersebut adalah untuk mengisi tabung PERNITA bagi menggerakkan misi mereka membantu golongan sasar.

minyak masak

Dalam perkembangan berkaitan, berkongsi perancangan pada masa akan datang, Coach Nanie sangat teruja untuk mengulas nya.

“Alhamdulillah, kami sudah mendapat permintaan untuk mengeksport minyak masak kelapa sawit ke luar negara.

“Perkembangan ini amat mengujakan. Saya juga memasang impian untuk memperluaskan lagi bisnes bukan sahaja minyak masak tetapi juga gula dan produk lain kelak.

“Saya mahu membuktikan wanita Bumiputera juga mampu ke hadapan dan bersama-sama meningkatkan ekonomi keluarga seterusnya negara,” ungkap beliau bersemangat sebelum menutup bicara.

Sumber SP

Apa Pendapat Anda? Dah Baca, Jangan Lupa Komen, Like Dan Share Ya… Terima Kasih.

Jom! sertai kami di page terbaru kami, Sila Klik Disini –> Detik Ini Viral Press

Pihak Detik Ini Viral tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosiaI ini. Ianya adalah pandangan peribadi pemilik akaun, segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun itu sendiri.

Post a Comment (0)
Previous Post Next Post