"Dunia sekarang keras, tak cukup dengan gaji hakiki" - Eksekutif Bank Tak Malu Cari Duit Sampingan Jadi Badut

 

MELIHAT anak-anak kecil beratur panjang dan berebut untuk mendapatkan belon membuatkan seorang badut, Zufazli Zazali tersenyum puas.

Menamakan wataknya sebagai Mr Didy The Clown, Zufazli berkata, selain bersandarkan pada belon untuk menghiburkan khalayak, keupayaannya bermain dengan pelbagai silap mata juga perlu dikuasai.

Terlalu banyak pekerjaan yang wujud dalam dunia ini, mengapa badut yang menjadi pilihan hati? Memang mengetahui persoalan tersebut akan ditanya, lelaki berusia 34 tahun itu tersengih sebelum melontarkan jawapan.

“Semuanya disebabkan pengaruh rakan-rakan saya yang turut ‘terjebak’ sebagai badut dan memiliki pendapatan tambahan pada hujung minggu.

“Justeru, pada tahun 2015, saya menyertai clownbadut.com. Ya, sebenarnya saya memang sudah ada kerja hakiki, tetapi saya fikir perlu ada duit lebih untuk survival hidup,” katanya ketika ditemui pada sesi fotografi di Studio Sinar Karangkraf di Seksyen 15, Shah Alam, Selangor.

Setia menemani eksekutif bank itu ialah isteri tersayang, Nor Hadaina Mohd Radzi.

badut

Tidak seperti di luar negara, masyarakat kita sering memandang serong pekerjaan sebagai badut. Ada yang mencemuh dengan berkata, ia satu tugas yang memalukan keluarga.

Adakah Zufazli boleh menerima komentar negatif sebegitu? Jawabnya ringkas: “Saya buang rasa malu dan cuba untuk menjadi seorang pelawak dengan identiti tersendiri.”

 

Tegas lelaki berkenaan, kerja badut tidak mudah. Untuk menawan hati si kecil, ia bukan sesuatu yang boleh dipaksa-paksa. Beliau perlu mempunyai skil ke arah itu. Justeru, kerja keras amat didambakan.

“Saya akui memang agak susah dan segan pada mulanya sebab tak pasti sama ada diri sendiri mampu membuatkan orang ketawa atau sebaliknya. Saya harus faham, untuk berdepan dengan orang ramai yang miliki pelbagai latar belakang, kita kena pandai membaca pemikiran mereka,” katanya.

badut

Pada masa sama, anak kelahiran Shah Alam, Selangor itu memberitahu, kemahiran untuk membuat belon dengan bermacam reka bentuk pun mengambil masa setahun sebelum benar-benar mahir.

“Saya banyak belajar dengan kawan-kawan badut. Bagi kami, untuk membuatkan seseorang badut itu bagus adalah merujuk kepada kepantasan mereka membuat belon,” kongsinya.

Stigma negatif

Momentum perbualan kami pada petang itu sedikit serius. Tegas Zufazli, badut bukanlah satu kerjaya picisan.

Sebenarnya, rakan badut beliau yang lain adalah terdiri daripada mereka yang terpelajar dan masing-masing menuntut di menara gading.

badut

Beliau sendiri ialah graduan Universiti Teknologi MARA dalam jurusan kewangan.

“Saya tahu, masih ramai mengandaikan badut ini ialah individu setakat lulus SPM (Sijil Pelajaran Malaysia) saja ataupun yang tak pandai belajar. Masalahnya, kata-kata ini menjadi soroton dalam kalangan ibu bapa yang kemudiannya menjadi ikutan anak-anak muda.

“Sikap itu memang tidak bagus kerana akhirnya ia menjadi stigma yang berterusan daripada satu generasi ke generasi seterusnya,” ungkapnya yang pernah ada pengalaman diherdik.

badut

Sehubungan itu, ujar Zufazli, setiap kali diundang membuat persembahan atau pada bila-bila masa dan di mana jua dirinya berada, beliau tidak pernah lupa menitipkan pesanan kepada kanak-kanak dan golongan muda tentang peri penting menghormati orang tanpa mengira darjat atau pekerjaan.

“Saya selalu beri nasihat agar mereka menjaga adab, hormat menghormati dan saling menghargai. Walau dapat barang percuma sekalipun, kena ucapkan terima kasih kepada pemberinya,” ujarnya.

Kepada satu soalan, bapa kepada dua anak itu berkata, tidak salah jika seseorang bekerja keras demi mendapatkan pendapatan sampingan.

“Dunia sekarang ini ‘keras’, tak cukup dengan gaji hakiki sahaja. Nak kerja sebagai badut pun kena ada aturan diri yang ketat. Jangan fikir segalanya kena cincai termasuk soal solekan dan persembahan. Jika kita ada disiplin meski dari aspek kecil, insya-ALLAH kita bertahan lama dalam bidang yang kita ceburi,” katanya.

Tidak mahu mensia-siakan kehadiran permaisuri hati Zufazli, Nor Haidana turut ditanya pandangannya bersuamikan seorang badut?

“Tiada apa yang perlu dimalukan, sebaliknya saya bangga kerana suami gigih mencari rezeki dan pada masa sama, mampu menceriakan hari seseorang.

“Saya sendiri kerap menemankan suami pergi kerja (sebagai badut), waima sebelum kahwin pun saya dah bantunya untuk sesi foto dan video. Bila tengok anak kecil teruja, saya pun turut sama gembira,” katanya.

Selepas hampir lapan tahun ‘bergelumang’ dalam dunia badut yang penuh seni dan menghiburkan, Nor Haidana berkata, beliau sentiasa mendoakan agar suaminya terus kekal berada di posisi sekarang.

badut

“Satu perkara yang saya nak kongsi, anak saya masing-masing berusia enam dan tiga tahun suka bila melihat ayahnya menjadi badut sebab bila dalam karakter, memang perwatakan dia jauh berbeza,” ujarnya sambil tertawa.

Sumber SP

Apa Pendapat Anda? Dah Baca, Jangan Lupa Komen, Like Dan Share Ya… Terima Kasih.

Jom! sertai kami di page terbaru kami, Sila Klik Disini –> Detik Ini Viral Press

Pihak Detik Ini Viral tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosiaI ini. Ianya adalah pandangan peribadi pemilik akaun, segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun itu sendiri.

Post a Comment (0)
Previous Post Next Post