Daripada Majistret Kepada Penulis. Kisah Pak Sako, Hantu Raya Dan Penjara Pudu…

 

Dalam bidang penulisan dan kewartawanan, pasti ramai yang mengenali nama Pak Sako atau nama sebenarnya Ishak Haji Muhammad, melainkan mereka yang berada dalam golongan generasi baru.

Pak Sako perlu dikenali, dia tidak wajar dilupai. Dikenali bukan hanya namanya tapi sumbangan dan usaha yang telah dilakukan atas rasa tanggungjawabnya kepada bangsa.

Melalui perkongsian sasterawan negara Datuk A. Samad Said dahulu, Ishak menerima pendidikan awal di Sekolah Melayu Kampung Tengah, Temerloh pada tahun 1919 yang kemudiannya melanjutkan pelajaran di Sekolah Inggeris Clifford, Kuala Lipis dari tahun 1924 hingga tahun 1928.

Kemudian, pada tahun 1929, Pak Sako lulus dalam Sijil Persekolahan Cambridge di Sekolah Inggeris Raub. Sebelum anak kelahiran Kampung Bukit Siguntang, Temerloh, Pahang ini ‘terjun’ dalam bidang penulisan dan ditugaskan untuk menulis cerita-cerita mengghairahkan dalam sebuah majalah remaja, Ishak melanjutkan pelajarannya di Maktab Melayu, Kuala Kangsar dalam tahun 1930.

Dia kemudiannya dilantik menjadi Pegawai Tadbir Melayu di daerah Temerloh sebelum dilantik pula menjadi Timbalan Penolong Pegawai Daerah di daerah Bentong.

Selepas itu, Ishak diangkat menjadi Majistret Kelas III dan pemungut hasil tanah pada tahun 1931. Ishak menyandang jawatan tersebut sehingga akhirnya mengambil keputusan melepaskan jawatan itu pada tahun 1935 ketika ditugaskan di Kuala Lumpur.

Dari seorang Majistret Kelas III, Ishak beralih ke profesion perguruan. Barangkali, sudah tentu orang mengatakannya gila. Kehendaknya tiada siapa tahu. Kepuasan yang dicari entah apa agaknya.

Daripada Majistret Kepada Penulis

Kata A. Samad Said, Ishak tidak boleh jadi majistret kerana nilai perikemanusiaannya terlalu tinggi. Dia tidak tergamak jatuhkan hukum kepada pesalah. Selain itu Ishak juga aneh orangnya, dia tidak mementingkan pangkat mahupun darjat. Dia lebih selesa hidup secara sederhana daripada hidup kaya raya.

Ishak pun menjadi guru bahasa Melayu, mengajar pegawai-pegawai Inggeris di Polis Depot. Pun begitu dia masih belum puas hati. Ishak memang pelik, dia mengembara pula ke seluruh tanah air selama hampir tiga tahun. Entah apa yang sudah terjadi pada Ishak hanyalah misteri. Yang pasti Ishak masih waras, dia ada wawasan, akalnya bukan dangkal.

Melalui pengembaraannya, Ishak memperoleh sesuatu. Bagi mendapatkannya, Ishak ‘terjun’ dengan berani dalam satu dunia yang lain. Dunia itu dunia penulisan. Masa itu tahun 1937. Dia bertugas di Warta Malaya, akhbar Singapura.

Di sana dia bertugas sebagai pengarang. Ini titik permulaan Ishak, dia merasakan dia telah menemui satu ‘tune’. Ishak aktif dalam bidang barunya dan berjaya melahirkan sebuah novel berjudul Putera Gunung Tahan. Ini novel sulungnya yang telah dicetak oleh Jamaliah Press pada tahun 1938 di Muar, Johor.

Tidak lama Ishak di Warta Malaya, bahkan sekejap sahaja. Dia kemudiannya mencari pembaharuan, tapi masih lagi dalam bidang penulisan. Dia bercita-cita melahirkan sesuatu untuk bangsanya dan akhirnya lahirlah akhbar Utusan Melayu.

Besar dan tinggi Gunung Tahan, besar dan tinggi lagilah cita-cita dan harapan insan unik ini. Dari Pahang dia ke Terengganu dan Kelantan, berkempen sana sini dengan kudrat yang ada. Memberi penerangan tentang keinginannya untuk melahirkan sebuah akhbar kebangsaan yang diberi nama Utusan Melayu.

Berkat usaha dan niat murninya, cita-cita Pak Sako mendapat sokongan yang baik dari kalangan masyarakat Melayu. Oleh yang demikian pada 29 Mei 1939 lahirlah akhbar Utusan Melayu.

Ini usaha Pak Sako untuk kepentingan bangsanya, bangsa Melayu. Mencacinya samalah seperti mencaci bangsa Melayu. Utusan Melayu warisan Pak Sako, tidak lekang dek panas tidak lapuk dek hujan. Utusan Melayu ‘kebal’ dicaci berbakul-bakul namanya tetap gah, pengaruhnya kian luas. Bermula dari tahun 1939 hingga tahun 1941 Pak Sako bertugas sebagai sidang pengarang Utusan Melayu di bawah kepimpinan Abdul Rahim Kajai. Tidak reti duduk diam, Pak Sako terlibat pula dengan kegiatan politik.

Dalam dunia penulisan ini Pak Sako memilih ‘Hantu Raya’, memang susah hendak jawab kenapa dipilihnya Hantu Raya. Entah apa yang ada pada Hantu Raya faktanya tidak dapat ditulis di sini. Kalau silap fakta, Hantu Raya dan Pak Sako yang teraniaya. Di sini bukanlah bermaksud Pak Sako memelihara atau membela Hantu Raya tetapi Pak Sako pernah menggunakan nama yang agak menyeramkan ini sebagai nama pena dalam penulisannya.

Selain menggunakan Hantu Raya sebagai nama pena, Pak Sako juga pernah menggunakan nama-nama lain. Antaranya Anwar, Isako San, Pak Pandir Moden dan Pak Sako.

Hantu Raya Di Penjara Pudu

Mungkin ramai yang tidak tahu bahawa pejuang sastera ini pernah ‘menjalinkan hubungan’ dengan Penjara Pudu. Masa itu tahun 1941, Ishak bergerak aktif dalam Kesatuan Melayu Muda (KMM). Masa itulah dia ke Penjara Pudu. Bukan melawat tetapi ditangkap oleh British yang menjajah Malaya pada ketika itu.

Tidak lama Ishak disumbat ke dalam Penjara Pudu, dia dibebaskan apabila Jepun berjaya menakluki Singapura dan Malaya. Selepas daripada peristiwa itu, Tokoh Wartawan Negara ini mula dilihat bertambah-tambah aktif apabila dia menyumbangkan tulisannya dalam Semangat Asia dan Fajar Asia.

Selepas perang, pergerakan Ishak dalam dunia kewartawanan dan politik semakin agresif. Ini terbukti apabila Ishak dilantik menjadi salah seorang anggota pucuk pimpinan Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM).

Di kala darurat diisytiharkan pada tahun 1948, Pak Sako sekali lagi terpaksa ‘menghuni’ Penjara Pudu buat kali yang kedua apabila pergerakan Ishak disifatkan boleh membahayakan keselamatan negara. Lima tahun di kurung di Penjara Pudu, Ishak akhirnya dibebaskan tanpa syarat pada tahun 1953.

Bermula dalam tahun 1966, Ishak menumpukan bidang penulisannya di Utusan Melayu apabila dia ditawar menjadi penulis khas di akhbar tersebut. Tulisannya yang paling popular di Utusan Melayu berjudul Di Simpang Jalan dan Kenangan Hidup Pak Sako.

Selain itu, Pak Sako turut dikenali dalam majalah Gila-gila menerusi ruangan Pepatah Petitih. Daripada 17 novel yang berjaya ditulisnya, dua novelnya mendapat sambutan yang begitu menggalakkan sehingga terpaksa diulang cetak. Novel berjudul Putera Gunung Tahan yang dilahirkan atas semangat kebangsaan yang tinggi wajar dimiliki. Di dalamnya terkandung berbagai teguran terhadap bangsa Melayu dan pemerintahnya. Selain itu, Anak Mat Lela Gila pula dengan beraninya menceritakan tentang keadaan masyarakat Melayu menerusi pengembaraannya.

Selain melontarkan kritikan dan sindiran yang ‘pedas’ terhadap penjajah Inggeris Pak Sako dengan lantang turut melontarkan perkara sama terhadap pembesar-pembesar tanah air yang bersikap zalim dan tidak adil.

Ishak Haji Muhammad, seorang pencinta kehidupan desa dan alam sekitar akhirnya menamatkan perjuangannya melalui tulisan apabila ditakdirkan menghembus nafasnya yang terakhir di rumahnya Kampung Bukit Raya, Jalan Hulu Langat, Selangor pada 7 November 1991 akibat serangan angin ahmar. Al-Fatihah untuk Allahyarham Ishak Haji Muhammad atau Pak Sako. Semoga rohnya dicucuri rahmat.

Sumber Utusan TV

Apa Pendapat Anda? Dah Baca, Jangan Lupa Komen, Like Dan Share Ya… Terima Kasih.

Jom! sertai kami di page terbaru kami, Sila Klik Disini –> Detik Ini Viral Press

Pihak Detik Ini Viral tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosiaI ini. Ianya adalah pandangan peribadi pemilik akaun, segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun itu sendiri.

Post a Comment (0)
Previous Post Next Post