Dengan rekod kutipan tiket mencecah RM34 juta selepas lima minggu tayangan, filem MALBATT: Misi Bakara sentuhan Adrian Teh, menjadi antara naskhah paling diperkatakan peminat filem Melayu, ketika industri kreatif kembali rancak selepas lumpuh akibat penularan pandemik COVID-19, tiga tahun lalu.
Namun, filem 'box office' yang mengangkat kisah perjuangan Battalion Malaysia (MALBATT) di Somalia itu didakwa tidak menggambarkan realiti yang berlaku di Pasar Bakara, Mogadishu, Somalia, pada misi 'Black Hawk Down', lebih tiga dekad lalu.
Perkara itu disuarakan mantan Komander MALBATT 1, Operasi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di Somalia II (UNOSOM II), Brig Jen (B) Datuk Abd Latif Ahmad yang terpanggil mempersoalkan kenyataan Teh sebelum ini yang mendakwa 90 peratus paparan filem berkenaan diangkat daripada kisah benar.
Memperincikan hujahnya, Abd Latif mendakwa filem MALBATT: Misi Bakara bukan sahaja mengelirukan penonton dengan babak rekaan, malah, mencalar reputasi anggota MALBATT yang mengendalikan operasi itu.
"Beberapa babak yang dipaparkan tidak berlaku dalam misi Bakara. Ada antara babak dipaparkan dianggap bertaraf silap cerita, tidak ada kena mengena dengan misi Bakara dan boleh dianggap dongengan.
"Penjelasan ini dibuat selepas penerbit menyatakan apa yang dipaparkan dalam filem itu adalah kisah benar dan 90 peratus daripada jalan cerita ini tepat.
"Saya tidak ada masalah jika mereka kata, filem ini mengambil inspirasi daripada kisah benar. Tetapi, apabila mereka katakan 90 peratus daripada filem ini adalah fakta, itu agak membimbangkan.
"Saya khuatir penonton terima bulat-bulat apa yang mereka tonjolkan dalam filem ini, lantas memberi gambaran tidak benar terhadap misi berkenaan.
"Bukan sahaja apa yang mereka paparkan itu tidak benar, malah memalukan anggota tentera yang beroperasi di Somalia ketika itu. Tak eloklah jatuhkan maruah atau air muka kita.
"Saya bersama mantan Timbalan Komander Malbatt 1, Mejar Jen (B) Datuk Mohd Rozi Baharom sangat kecewa dan terkilan dengan apa yang berlaku," katanya ditemui BH Online di kediamannya di Kuala Lumpur, Jumaat lalu.
Pada 8 Ogos lalu, Teh dilaporkan mendakwa filem MALBATT: Misi Bakara adalah 90 peratus berdasarkan kisah benar berkaitan askar Malaysia yang terperangkap di Pasar Bakara, Mogadishu, Somalia dalam kejadian Black Hawk Down.
Teh dilaporkan mendakwa mengambil inisiatif sendiri mengkaji dan menemu bual askar anggota 19 Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) Mekanis dari MALBATT yang terbabit dalam misi itu pada 1993.
Bagaimanapun, Teh yang ditemuramah pada sidang media selepas sesi previu filem berkenaan di Putrajaya, dilaporkan mengaku beberapa bahagian dimasukkan elemen hiburan untuk memastikan naskhah berkenaan lebih dekat dengan penonton, terutama watak Isa lakonan Safwan Nazri.
Filem MALBATT: Misi Bakara mula ditayangkan di pawagam tempatan sejak 24 Ogos lalu.

Abd Latif turut menghuraikan beberapa adegan dalam filem MALBATT: Misi Bakara yang didakwa tidak peka berikutan menyentuh sensitiviti agama dan mengundang salah tanggap terhadap imej, disiplin serta etika dalam dunia ketenteraan.
"Sebenarnya, tiada penembak hendap atau bom tangan dilempar. Selain itu, tiada askar kami yang tercampak keluar akibat perangkap samar atau letupan periuk api. Tiada sesiapa pun tercedera seperti yang digambarkan dalam filem berkenaan.
"Kami juga tidak pernah menggunakan jurubahasa Somali untuk berunding dengan pihak pemberontak militia.
"Watak Abdelle dipaparkan dalam filem hanyalah fiksyen dan babak itu ditayangkan semata-mata untuk mewujudkan kesan lebih dramatik supaya penonton teruja
"Selain itu, anggota kami tidak pernah berkelakuan sombong seperti babak yang menunjukkan askar kami menengking dan mencemuh anggota US Rangers dalam Armoured Personnel Carrier (APC)," katanya.
Abd Latif juga membangkitkan adegan di mana seorang anggota MALBATT menyuruh sekumpulan askar AS yang diselamatkan mengikutnya ke laluan selamat di kawasan Pasar Bakara atas alasan dirinya sudah biasa dan yakin mengenai selok-belok lokasi terbabit.
"Peristiwa ini tidak berlaku kerana askar kami belum pernah ditugaskan meronda Pasar Bakara sebelum itu.
"Ketika itu, semua askar di bawah UNOSOM II tidak dibenarkan masuk ke dalam zon larangan atau kawasan Pasar Bakara," katanya.
Abd Latif juga mempersoalkan satu adegan yang disifatkan cukup ganjil dalam filem MALBATT: Misi Bakara.
"Seperkara yang cukup ganjil dalam filem ini adalah paparan seorang askar kami yang berada dalam APC Condor mengucup 'dog tag' (tag pengenalan berantai yang dipakai mengikut peraturan ketenteraan).
"Tidak ada sebab seorang askar beragama Islam untuk mencium tag itu seolah-olah (menggambarkan) ia mampu memberi keselamatan kepada mereka dalam misi terbabit.
"Perlakuan ini secara tidak langsung menimbulkan tanda tanya kepada penonton adakah ini perlakuan fasik? Apakah ini dengan secara langsung dan senyap-senyap, (dianggap) suatu usaha untuk menerapkan budaya asing dalam tentera kita," dakwanya lagi.
Abd Latif juga menegur salah satu babak memaparkan wartawan wanita berkulit putih memasuki kem MALBATT yang dipaparkan dalam filem berkenaan.
"Wanita itu dipaparkan dengan wajah kecewa kerana tidak dapat berjumpa pegawai untuk ditemuramah. Ditunjukkan juga situasi di mana dua anggota kami menghampiri wanita terbabit dan cuba untuk mengurat.
"Apabila bunyi letupan dan tembakan kuat terdengar, kedua-dua askar terbabit berbaring ke tanah dalam posisi ke hadapan, di mana salah seorang daripada mereka dilihat memeluk bahu wanita muda itu. Apakah motif pengarah menayangkan babak ini?
"Perlu diingatkan bahawa tiada orang luar dibenar melawat atau masuk tanpa izin ke kawasan kem MALBATT, tanpa pengetahuan komander. Peraturan ini ketat dalam suasana peperangan. Anggota kami sentiasa mengamalkan disiplin tinggi agar tidak mencemar nama baik MALBATT 1.
"Justeru, tidak wajar bagi penerbit filem ini meremehkan perwatakan askar kami ketika menjalankan peranan dan tanggungjawab sebagai pasukan pengaman yang berdisiplin tinggi," katanya.

Lebih membuatkan Abd Latif terkilan apabila watak Kolonel Rahman lakonan Adlin Aman Ramlie sebagai komander misi, memberi persepsi negatif terhadap sisi peribadinya hingga memalukan dirinya.
"Walaupun tidak menggunakan nama sebenar saya, namun, watak Kolonel Rahman yang menengking seorang pegawai operasi dengan penuh emosi membuatkan ramai menyangka apa yang dipaparkan menggambarkan diri saya sebenar.
"Ramai rakan saya yang sudah menonton filem itu bertanya, apakah saya bersikap begitu kepada anggota tentera saya?
"Perwatakan Kolonel Rahman itu bukanlah perwatakan sebenar saya. Pegawai dan semua peringkat MALBATT merangkumi golongan profesional yang cukup terlatih dan berdisiplin.
"Memang sudah menjadi sifat semula jadi mereka mempunyai akhlak tinggi, setiakawan dan sehati serta sejiwa," katanya.
Ditanya apakah syarikat produksi pernah menghubunginya untuk mendapatkan maklumat lebih terperinci mengenai misi MALBATT di Somalia, Abd Latif berkata, beliau tidak dihubungi mana-mana individu daripada syarikat produksi sehinggalah naskhah berkenaan siap dibikin dan dipertontonkan di pawagam.
Abd Latif mengulangi pendirian bahawa tindakannya bersuara bukanlah bermaksud beliau mengkritik naskhah arahan Teh itu.
"Saya sekadar membangkitkan babak yang tidak berasaskan fakta merendahkan imej anggota MALBATT dan menjejaskan kredibiliti Angkatan Tentera Malaysia (ATM)," katanya.
Filem MALBATT: Misi Bakara berdasarkan kisah benar mengenai operasi anggota MALBATT menyelamatkan tentera AS yang terperangkap ketika perang saudara di Somalia pada 1993.
Operasi itu menyaksikan tindakan berani mati anggota 19 RAMD Mekanis daripada MALBATT 1 menyelamatkan 70 anggota tentera AS yang terperangkap di Pasar Bakara, Mogadishu, Somalia.
Mengikut rekod, Misi Bakara dilaksanakan dua hari iaitu pada 3 dan 4 Oktober 1993.
Sumber BH
Jom! sertai kami di page terbaru kami, Sila Klik Disini –> Detik Ini Viral Press
Pihak Detik Ini Viral tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosiaI ini. Ianya adalah pandangan peribadi pemilik akaun, segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun itu sendiri.