Di sebuah loteng rumah, tinggal satu keluarga tikus dengan lapan anaknya. Mereka akan keluar mencari sisa-sisa makanan manusia untuk kesinambungan hidup.
Suatu hari, dua ekor anak tikus itu keluar mencari makanan. Atas lantai di sudut dapur, mereka ternampak sepotong keju. Namun sebelum mengambil keju itu, timbul pertanyaan demi pertanyaan pada kedua-dua ekor anak tikus tersebut.
“Eh, kenapa keju tu terletak elok atas lantai? Selalu manusia simpan dalam almari,” ujar si abang.
“Entah-entah keju tu dah busuk. Mereka tak mahu lagi,” jawab si adik pula.
“Tak mungkin. Sebab dari jauh pun nampak keju itu masih elok dan segar lagi. Kita sudah dapat mencium baunya,” bidas si abang pula.
Si adik menjawab, “Ah, tak payah banyak tanya. Cepat kita ambil je keju tu.”
“Boleh, tapi keju tu kecik. Cukup untuk kita berdua makan je,” ujar si abang.
“Tapi ayah dah pesan, apa saja makanan kita dapat harus bawa pulang untuk dikongsi bersama,” kata si adik lagi.
“Hmmm… nak bahagi apa kalau banyak tu je? Secuit je tiap seorang kita dapat,” kata si abang masih tidak berpuas hati.
Si adik menjawab lagi, “Tak apa lah walaupun sikit sorang, yang penting semua boleh dapat dan perut pun terisi walau tak kenyang sangat.”
Rupa-rupanya tanpa mereka sedari, ayah tikus mendengar perbualan anak-anaknya itu. Lalu dia mendekati mereka berdua.
“Anak-anak ku, apa yang kamu katakan tadi semuanya benar. Kamu terlalu asyik membicarakan soal itu hingga tidak mampu melihat masalah yang berisiko terhadap hidup mati kamu,”ujar ayah tikus.
Anak-anak tikus itu kehairanan. Tidak faham maksud kata-kata itu.
“Apa yang kamu nampak dari keju itu?” tanya si ayah lagi.
“Keju, makanan!” jawab kedua-dua anaknya.
Lihat betul-betul,” arah si ayah lagi.
Anak-anak tikus itu memerhatikan lagi keju itu dari jauh. Tiada apa yang aneh, cuma keju yang mereka lihat.
Kemudian, si ayah mengajak anak-anaknya naik ke atas meja. Dari sudut atas, dia menyuruh anak-anaknya melihat semula ke arah keju itu. Apa yang mereka nampak?
“Ada sebuah alat dan keju itu terletak di dalamnya,” jawab anak tikus. Lalu mereka bertanya, apakah alat tersebut?
“Itu soalan yang bagus. Sekarang kamu tidak lagi hanya fokus pada keju itu semata-mata, tapi pada ruang yang lebih besar. Pertanyaan ini akan membantu menyelamatkan hidup kamu. Alat itu adalah perangkap. Sebaik kamu mengambil keju itu, ia akan memerangkap dan membunuh kamu,” beritahu ayah tikus kepada anak-anaknya.
Terperanjat lah anak-anak tikus itu. Barulah mereka sedar, hanya satu pandangan sebelum itu berisiko meragut nyawa mereka. Sebaliknya, apabila mereka membuka pandangan itu lebih luas dan melihatnya dari sisi yang berbeza, ternyata ia memberi input untuk mereka lebih berhati-hati dan tahu menilai sesuatu keadaan sebelum membuat keputusan.
Kisah tikus di atas sebenarnya sekadar tamsilan yang mengandungi banyak tafsiran untuk kita jadikan pengajaran.
Sumber Pedoman
Jom! sertai kami di page terbaru kami, Sila Klik Disini –> Detik Ini Viral Press
Pihak Detik Ini Viral tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosiaI ini. Ianya adalah pandangan peribadi pemilik akaun, segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun itu sendiri.