Dunia ketika ini sedang menyaksikan pertembungan Israel dan Palestin yang belum pernah dilihat dalam sejarah manusia moden. Serangan Hamas, mujahidin Gaza menunjukkan keupayaan luar biasa yang mengejutkan rejim zionis.
Serangan itu dilakukan untuk mendapatkan semula tanah Palestin yang telah diceroboh dan dijarah secara haram oleh zionis Yahudi. Sejak negara haram Israel ditubuhkan pada 1947, Palestin sentiasa ditindas dan dizalimi, malah cuba dipadamkan dari peta dunia.
Bahkan, orang Palestin dan umat Islam seluruhnya sentiasa dihalang Israel daripada mengunjungi Al-Aqsa. Saban tahun kita mendengar tentera Israel akan menceroboh Al-Aqsa terutamanya bila tiba bulan Ramadan. Setiap kali rejim zionis ini menceroboh, akan berlaku penentangan yang juga berakhir dengan kematian.
Bumi Baitul Muqaddis terkandung dalamnya Masjidil Aqsa, salah satu daripada tiga masjid paling mulia dalam Islam. Nabi Muhammad s.a.w. pernah bersabda; “Janganlah kamu bersusah payah bersiap kecuali untuk pergi ketiga tempat iaitu Masjid Ku (Masjid Nabawi, Masjidil Haram dan Masjidil Aqsa).”

Masih ingatkan anda pada peristiwa pembakaran Masjidil Aqsa? Pada 21 Ogos 1969, seorang pelampau Yahudi bernama Micheal Denise Rohan telah menyalakan api di dalam Masjid Al-Aqsa untuk membakar dan meruntuhkan masjid ini.
Dalam peristiwa itu, sebahagian masjid ini mengalami kerosakan. Banyak peralatan dalam masjid musnah. Dinding masjid, mimbar Salahudin Al Ayubi, Mihrab Zakaria, Masjid Umar Al Khattab dan sebahagian serambi musnah terbakar.
Malah atap masjid juga roboh dan hiasan-hiasan ayat Al Quran dalam masjid ini musnah sama sekali. Secara umumnya satu pertiga atau 1500 meter persegi kawasan masjid ini musnah dalam kebakaran tersebut.
Tindakan Yahudi Australia ini mendapat sokongan dari rejim zionis Israel yang mahu melihat Masjid al-Aqsa dihapuskan bagi memudahkan mereka membina Haikal Sulaiman di atas dataran suci itu.
Micheal Rohan ketika ditangkap telah berkata secara berterus-terang bahawa apa yang dilakukannya adalah satu kewajipan agama sebagaimana yang disebut dalam kitab Torah di sisi mereka. Dia juga mengaku telah berjaya dalam misinya yang menurutnya adalah merupakan perintah dari tuhan.

Walaupun ditangkap oleh pihak berkuasa Israel, namun akhirnya dia dibebaskan dengan alasan ‘gila’ tidak berakal ketika melakukan pembakaran tersebut. Namun tindakan ini tetap mendatangkan kemarahan kepada seluruh umat Islam. Tindakan biadab beliau ini hanyalah sebahagian tindakan jahat mereka ke atas rumah Allah kerana selepas daripada itu, berlaku berpuluh-puluh kejadian lagi pembunuhan umat Islam ketika sedang sembahyang seperti di masjid Ibrahim Hebron.
Bumi Bertuah Yang Jadi Rebutan
Harus diingat bahawa Masjid Al-Aqsa menjadi kiblat pertama umat Islam dan tempat bermulanya Mikraj nabi s.a.w. ke Sidratul Muntaha bertemu dengan Allah s.w.t. dalam peristiwa Israk dan Mikraj. Sebelum itu, nabi pernah dua kali ke Palestin. Pertamanya ketika mengikuti bapa saudaranya Abu talib berniaga di Syam dan keduanya ketiga berusia 25 tahun mengikuti rombongan dagang Khadijah bin Khuwailid.
Bumi bersejarah ini pernah menjadi tempat persinggahan dan hidupnya beberapa orang nabi seperti Nabi Ibrahim, Nabi Yaaqub, Nabi Yusuf, Nabi Musa dan Nabi Isa. Bumi bertuah ini menjadi rebutan tiga agama iaitu Islam, Yahudi dan Kristian.
Kemudian, Masjidil Aqsa dijajah oleh Yahudi Israel. Penjajahan bermula tahun 1948 ini masih lagi dalam keadaan menyayatkan hati apabila umat Islam sebahagiannya dilarang untuk menunaikan solat di masjid ini. Sekeliling kawasan ini dikawal oleh tentera Yahudi Israel.

Jika kita lihat sejarah, sahabat-sahabat nabi telah berjuang bermati-matian untuk membuka kota Baitul Muqaddis. Bermula dengan peperangan Khaibar (7 hijrah), peperangan Muktah (8 hijrah), dan pengutusan pasukan Usamah bin Zaid pada tahun kesebelas hijrah membuktikan semangat mereka untuk menguasai Masjidil Aqsa.
Keadilan Pemerintahan Islam
Setelah kewafatan Rasulullah s.a.w., sahabat-sahabat meneruskan usaha dalam peperangan Ajnadain yang memberi kemenangan terhadap pasukan Islam ketika berhadapan dengan tentera Rom. Usaha ini diteruskan dalam peperangan Yarmuk. Tentera Islam yang berjumlah 36 ribu orang berjaya mengalahkan tentera Rom yang berjumlah 200 ribu orang. Kemenangan ini memberi perangsang kepada tentera Islam untuk mara ke Baitul Muqaddis.
Apabila sampai ke Baitul Muqaddis, tentera Islam tidak terus menyerang kawasan tersebut. Ini bagi mengelakkan kerosakan yang akan berlaku. Tentera Islam telah mengepung kota tersebut tanpa serangan selama beberapa bulan. Akhirnya tentera musuh bersetuju keluar dari kawasan tersebut dan menyerahkan kunci kepada Saidina Umar untuk membuka kota tersebut.
Sebelum penyerahan tersebut, pihak Rom memohon kepada Umar supaya tidak membenarkan orang-orang Yahudi untuk tinggal di kota tersebut. Manakala baki orang-orang Kristian terus tinggal dengan aman di Baitul Muqaddis. Islam memerintah dengan adil tanpa mengenepikan orang-orang Kristian. Orang Islam bebas bersembahyang di Masjidil Aqsa dan orang-orang Kristian juga bebas beragama.
Keadilan pemerintahan Umar ini menyebabkan sebahagian daripada Kristian ini memeluk Islam dan sebahagian lagi kekal dalam agama asal. Namun mereka tetap dilayan sama rata. Tidak ada sebarang kezaliman ditimpakan kepada mereka.
Kekejaman Tentera Salib
Namun pada tahun 492 Hijrah, tentera Salib (Kristian) menawan kembali Baitul Muqaddis. Mereka membalas dendam terhadap umat Islam. Tentera Inggeris telah pun melakukan pembunuhan selama seminggu.
Menurut Ibnu Athir, mereka telah membunuh 70 ribu umat Islam dalam Masjidil Aqsa. Antara yang dibunuh ialah imam, ulama, pelajar dan ahli ibadah. Tentera salib juga merampas harta-harta masjid Al Aqsa yang bernilai jutaan ringgit. Keadaannya berbeza sama sekali sewaktu umat Islam menawan Baitul Muqaddis.
Ada penulis barat yang mencatatkan bahawa tentera Salib telah menggantung beramai-ramai umat Islam dan membunuhnya. Darah-darah merah membanjiri kota Al Quds. Namun berbeza dengan Islam yang memerintah Baitul Muqaddis hampir 500 tahun, tentera Salib hanya menguasainya selama 91 tahun dengan penuh kezaliman.
Pada tahun 583 Hijrah, Salahudin Al Ayubi dan pasukan tenteranya yang berhadapan dengan tentera salib telah mengalahkan mereka di Hittin. Setelah kalah, tentera Salib melarikan diri ke Baitul Muqaddis. Tentera Salahudin telah mengepung Baitul Muqaddis yang di dalamnya berlindung lebih 60 ribu tentera Salib.
Setelah bertahan beberapa ketika, akhirnya Salahudin dan tentera Islam berjaya membuka kota tersebut. Ketika itu pasukan Salib berada dalam ketakutan dan menangis mohon tidak diapa-apakan. Mereka begitu takut dihukum atas kezaliman lampau.
Bagi membuktikan keadilan Islam, Salahudin tidak mengapa-apakan mereka. Mereka diberi masa 40 hari untuk meninggalkan kota Baitul Muqaddis. Mereka dibenarkan membawa semua harta mereka kecuali peralatan perang.

Gerakan Yahudi
Sultan Salahudin memerintah dengan penuh keadilan dan keamanan. Namun ketenangan bumi Al Aqsa ini tidak selamanya. Pada zaman pemerintahan kerajaan Islam Othmaniah Turki, satu gerakan baru dibuat oleh orang-orang Yahudi untuk menubuhkan negara Yahudi di atas tanah Palestin.
Mereka mewujudkan satu perancangan dan mengumpul dana bagi membeli tanah-tanah di Palestin. Wakil zionis telah bertemu Sultan Abdul Hamid Turki yang mengetuai kerajaan Islam Othmaniah bagi membeli tanah Palestin dengan harga yang mahal. Namun Sultan menolaknya.
Mereka berusaha lagi dengan bantuan Britain, Amerika dan Rusia. Sehinggalah pada tahun 1923, British mula menjajah Palestin bagi membantu Yahudi menubuhkan negara Israel. Penjajahan ini mendatangkan kemarahan umat Islam. Namun pada tahun 1924 kerajaan Islam Othmaniah yang menjadi pelindung kepada bumi Palestin telah ditumbangkan oleh agen Barat, Mustafa Kamal Artatuk. Bermula saat inilah, penjajahan ketara dilakukan ke atas bumi Palestin.
Dengan bantuan yang diberikan oleh Amerika, Perancis dan British, bumi Palestin diratah satu persatu oleh rejim Zionis. Akhirnya pada 14 Mei 1948, British menghentikan penjajahannya dan mengisytiharkan berdirinya sebuah negara orang-orang Yahudi yang diberi nama Israel. Bermula daripada saat itulah berlakunya pembunuhan-pembunuhan ke atas umat Islam Palestin sehingga ke hari ini.
Jauh berbeza dengan pemerintahan Islam, tentera Israel melakukan kekejaman ke atas penduduk Islam Palestin. Rumah dan masjid mereka dibakar. Ladang-ladang dibakar, perempuan dirogol dan ramai anak-anak muda yang dipenjarakan. Malah tentera Israel bukan sekadar menguasai Palestin, mereka juga cuba menguasai sebahagian Lubnan, Syria dan Mesir.
Pada Oktober 1956, Israel bergabung dengan Perancis dan Britain menyerang Mesir. Mereka berusaha menguasai Terusan Suez di Mesir. Serangan ini mendapat tentangan hebat tentera Mesir dan pejuang Ikhwanul Muslimin Mesir. Kalangan pelajar Malaysia yang belajar di Mesir juga menghantar seramai 65 orang wakil mereka untuk menyertai pasukan tentera Mesir memerangi Israel.
Pada tahun 1982, Israel telah membunuh 3000 umat Islam Palestin yang terdiri daripada orang tua, wanita dan kanak-kanak yang berlindung di kem Syabra dan Syatila.
Selepas berjaya menguasai Palestin dan Baitul Muqaddis, mereka bukan terhenti setakat itu sahaja, malah mereka merancang untuk merobohkan Masjidil Aqsa. Di atas robohnya kiblat pertama umat Islam ini mereka akan dirikan Haikal Sulaiman yang akan menjadi kuil bagi orang Yahudi.
Pada pertengahan tahun 90-an, tentera Israel telah menggali terowong-terowong di bawah Masjidil Aqsa. Tujuannya ialah supaya suatu hari nanti masjid ini akan runtuh dengan sendirinya.
Dicampurkan dengan kesan pembakaran masjid ini lebih 50 tahun yang lalu, berkemungkinan struktur binaannya tidak lagi kukuh. Namun, apabila diajukan persoalan ini kepada anak-anak muda Hamas dan Jihad Islami yang berjuang menentang Israel, mereka optimis akan tiba waktu umat Islam kembali sujud di Masjidil Aqsa.
Justeru, marilah kita menyatakan solidariti gerakan penentangan terhadap zionis Yahudi ini dan berdoa agar Palestin akhirnya bebas dan kembali mendapat tanah mereka yang dirampas.
Sumber Utusan
Jom! sertai kami di page terbaru kami, Sila Klik Disini –> Detik Ini Viral Press
Pihak Detik Ini Viral tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosiaI ini. Ianya adalah pandangan peribadi pemilik akaun, segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun itu sendiri.