Tanggal 24 Disember 1971, sehari sebelum menjelangnya hari Natal, Juliane Koepcke bersama ibunya menaiki pesawat LANSA Flight 508 dari Lima menuju ke Pucallpa, bandar yang terletak di bahagian timur Peru untuk melawat bapanya yang bekerja di di kawasan tersebut.
Juliane ketika itu berusia 17 tahun dan baru saja tamat pengajian. Kedua ibu bapanya merupakan ahli zoologi dari Jerman yang menetap di Peru dan banyak menjalankan kajian berkaitan hidupan liar.
Sebelum itu, ibunya bercadang memilih tarikh 19 atau 20 haribulan untuk penerbangan mereka. Namun, kerana Juliane perlu menghadiri majlis graduasi pada 23 haribulan, maka penerbangan mereka ditempah pada 24 Disember.
Sebelum itu, ayahnya ada mengingatkan ibunya agar tidak memilih penerbangan LANSA kerana reputasi penerbangan itu yang tidak begitu bagus. Namun telah terlambat kerana ibunya sudah terlebih dahulu menempah tiket dengan syarikat penerbangan tersebut.

Pada tarikh itu, Juliane dan ibunya menaiki penerbangan yang mengambil masa lebih kurang sejam untuk sampai ke Pucallpa. Penerbangan berjalan lancar pada awalnya. Namun, 10 minit sebelum sampai ke destinasi, cuaca berubah menjadi gelap dan berlaku ribut petir.
Pesawat mula terumbang ambing dengan keadaan awan yang gelap dipenuhi kilat sabung menyabung. Dalam keadaan cuaca buruk, kilat telah menyambar motor pesawat itu menyebabkan ia pecah. Di sebalik suara hiruk pikuk penumpang, sekelip mata pesawat itu menjunam jatuh dari ketinggian 10,000 kaki, terhempas di kawasan hutan tebal.
Juliane yang ketika itu masih terikat pada tempat duduknya bernombor 19F pengsan. Dia hanya sedar keesokan paginya. Namun, kerana kecederaan teruk pada betis, tulang selangka dan kesan gegaran kuat pada kepalanya menyebabkan dia tidak sedarkan diri semula.

Apabila kembali sedar, dalam keadaan sukar Juliane cuba mencari ibunya, namun tidak ditemui. Dalam keadaan bingung itu, Juliane teringat pesan ayahnya apabila sesat di hutan, cari sungai dan ikut arah ke hilir kerana biasanya di bahagian hilir akan dekat dengan penempatan manusia.
Itulah yang dilakukan Juliane. Dia berjalan dalam keadaan sakit mengikut sungai yang ditemuinya menuju ke hilir. Dalam tempoh empat hari perjalanan, dia menemui tiga mayat penumpang pesawat itu yang masih terikat pada tempat duduk mereka. Juline memeriksa mayat-mayat itu dan menemui beberapa bungkusan gula-gula dan itulah yang menjadi sumber makanannya.
Juliane juga perasan ada helikopter penyelamat di ruang udara berdekatannya. Namun, mereka tidak dapat melihatnya walau Juliane telah cuba untuk menarik perhatian helikopter tersebut. Dalam pada itu, operasi pencarian mangsa dan bangkai pesawat dijalankan secara besar besaran. Namun, kerana keadaan hutan yang tebal telah menyukarkan usaha tersebut.
Tanpa sebarang bantuan, Juliane terpaksa akur dia harus berusaha untuk terus hidup. Dia terus berjalan dan pada hari kesepuluh, dia menemui sebuah pondok dan berhenti untuk berehat di situ. Nasibnya baik apabila datang tiga orang lelaki yang tinggal di pondok itu dan mereka telah membantu membawa Juliane menaiki bot untuk keluar dari hutan sebelum dihantar ke hospital berdekatan.


Juliane dipertemukan dengan bapanya, dan barulah dia mendapat tahu ibunya juga terkorban dalam insiden tersebut. Atas bantuan Juliane, lokasi pesawat itu terhempas dapat dikenal pasti dan kesemua mangsa berjaya ditemui.
Daripada 91 orang yang menaiki pesawat tersebut, 14 daripadanya didapati masih hidup selepas pesawat itu terhempas. Namun, kesemua mereka meninggal dunia ketika menunggu untuk diselamatkan, termasuklah ibu Juliane. Dan Juliene menjadi satu-satunya penumpang yang terselamat dalam tragedi itu. Disebabkan pengalaman ngeri itu menyebabkan Juliane menjadi trauma untuk menaiki pesawat dan sering mengalami mimpi buruk.
Pada tahun 1998, Juliane yang sudah menjadi seorang ahli zoologi seperti kedua orang tuanya telah dibawa kembali ke tapak pesawat itu terhempas untuk menceritakan pengalamannya dalam dokumentari berjudul Wings of Hope.


Pengarah dokumentari itu, Werner Herzog juga ada cerita tersendiri. Beliau sebenarnya telah menempah penerbangan yang sama dengan Juliane pada hari tragedi itu berlaku. Cuma, Werner terselamat kerana di saat akhir dia tidak jadi menaiki pesawat tersebut kerana pertukaran jadualnya.
Kisah Juliane ini turut diangkat ke layar perak melalui filem Miracles Still Happen (1974). Terdapat beberapa lagi dokumentari dan buku yang ditulis berdasarkan tragedi tersebut. Malah, Juliane turut menulis biografi berjudul When I Fell From Sky menceritakan pengalaman pahit yang dilaluinya itu.
Sumber Infiniti
Jom! sertai kami di page terbaru kami, Sila Klik Disini –> Detik Ini Viral Press
Pihak Detik Ini Viral tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosiaI ini. Ianya adalah pandangan peribadi pemilik akaun, segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun itu sendiri.