Kisah Di Sebalik Briged AI-qassam, Sosok Yang Digeruni IsraeI

 

MASIH segar dalam ingatan saya kisah lebih sedekad yang lalu, sewaktu menjejakkan kaki di kem tentera latihan Briged Izzuddin al-Qassam di Gaza.

Sebenarnya, saya sudah biasa bertemu para tentera Allah ini setiap kali ke Palestin bagi tujuan misi kemanusiaan. Namun, belum pernah saya dapat peluang untuk melihat sendiri kem tentera mereka.

Hanya pada tahun 2010, saya mendapat pengalaman paling berharga. Menyaksikan kekuatan para pejuang sayap ketenteraan Harakatul Muqawwamah al-Islamiyyah (HAMAS). Kekuatan yang bukan terletak pada teknologi atau kemudahan, tetapi atas nama berjuang ke jalan Allah s.w.t.

Kebetulan tahun itu pihak Aman Palestin mengadakan rombongan membawa sukarelawan ke Palestin. Kami dijemput untuk mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri HAMAS, Ismail Haniyeh sebelum dibawa melihat latihan ketenteraan al-Qassam.

Pada masa itu, rombongan Malaysia dikira bertuah kerana dapat peluang tersebut. Berdasarkan pengalaman saya yang pernah menyertai rombongan bersama delegasi dari negara lain, hanya rombongan dari Malaysia dapat menjejak kaki ke kem tersebut.

Kami di bawa ke sebuah tempat. Tibanya di sana, beberapa orang pemuda lengkap berpakaian hitam menyambut ketibaan kami. Hanya mata mereka yang kelihatan. Wajah mereka ditutup dengan kain.

Lantas kami diarahkan masuk ke dalam kenderaan yang mereka sediakan untuk bergerak ke tempat lain. Selepas setengah jam, kami tiba di sebuah kawasan berpasir dikelilingi pagar besi.

Saya bagai tidak percaya kami sudah tiba di sebuah kem tentera. Hanya ada dalam tiga ke empat buah khemah kecil di situ yang dijadikan sebagai bilik operasi. Tiada bangunan besar, kenderaan perisai, peralatan hebat atau kemudahan lain. Yang ada hanya sebuah kawasan lembah yang dijadikan tempat menjalani latihan ketenteraan.

Kami dibawa ke dalam salah sebuah khemah. Seorang tentera menyambut ketibaan kami. Saat tangan kami berjabat, terasa bagai aliran elektrik mengalir ke tangan saya. Kemas. Kejap!

Lelaki bertopeng itu memberi penerangan tentang operasi ketenteraan. Katanya, tujuan utama penubuhan al-Qassam adalah untuk membangkitkan semangat jihad rakyat Palestin dan umat Islam keseluruhannya. Mereka ini merupakan barisan hadapan yang bertanggungjawab mempertahankan dan membebaskan bumi Palestin dari cengkaman rejim zionis.

Katanya, nama al-Qassam diambil sempena nama asy-Syahid Syeikh Izzudin al-Qasam, seorang pejuang Palestin yang memberi kesedaran kepada rakyat Palestin untuk  bangkit menyerang  musuh umat Islam. Beliau juga merupakan ulama mujahid dari Syria yang akhirnya syahid ketika berperang membebaskan Palestin pada tahun 1935.

Ketika HAMAS yang merupakan sebuah Gerakan Pembela Islam ditubuhkan secara rasmi pada Disember 1987 di Gaza oleh Syeikh Ahmad Yasin, beliau mula menubuhkan sayap ketenteraan.

Walaupun HAMAS merupakan pimpinan ‘rasmi’ di Palestin, tetapi ‘kerajaan’ mereka tidak diiktiraf oleh kuasa besar dunia, bahkan dilarang untuk menubuhkan kementerian pertahanan, apatah lagi pasukan tentera. Kerana itu Briged Izzuddin al-Qassam ditubuhkan. Kumpulan ini berjihad demi untuk mempertahankan Palestin.

Berusaha untuk menyertai al-Qassam

Dalam al-Qassam, mereka mempunyai beberapa peringkat. Ia terbahagi kepada tentera Asybal, Syabab, Qiyadah dan Rawahil. Setiap lapisan ini mempunyai peranan tersendiri.

Tentera Asybal terdiri daripada kanak-kanak lelaki berusia antara 9 hingga 12 tahun. Mereka belum dibenarkan turun ke medan perang. Ia bertindak sebagai pasukan simpanan untuk masa depan.

Sebab itu saya tidak hairan jika melihat kanak-kanak di Palestin tidak pernah takut dengan zionis. Sejak kecil mereka telah dididik atas dasar kefahaman akidah. Mereka difahamkan mengenai tuntutan-tuntutan Islam yang patut mereka perjuangkan.

Anak-anak yang dipilih untuk menyertai tentera lapisan Asybal harus ada kriteria tertentu. Mereka adalah orang yang rajin ke masjid dan tidak pernah meninggalkan solat berjemaah, rajin qiamullail, membaca al-Quran sekurang-kurangnya satu juzuk sehari dan mempunyai akhlak yang baik. Malah, setiap masjid di Gaza diadakan halaqah buat kanak-kanak ini.

Sebab itu di Palestin, menjadi satu impian buat setiap keluarga agar anak lelaki mereka dipilih menjadi tentera al-Qassam. Namun, tiada paksaan. Sekiranya dipilih, mereka tetap wajib meminta kebenaran ibu bapa. Sekiranya tidak mendapat keizinan, mereka dilarang menyertai pasukan tentera jihad ini.

Itu kisah di peringkat kanak-kanak. Pemilihan di kalangan remaja dan pemuda pula lebih sukar. Tentera itu menjelaskan kepada kami, lapisan kedua al-Qassam adalah golongan Syabab, yakni yang berusia dari 15 hingga 30 tahun. Selepas melepasi ujian peringkat ruhi (rohani), Syabab ini akan diuji dari segi jasadi (fizikal).

Di sinilah segala-galanya mungkin berlaku kerana ada di kalangan Syabab ini tidak melepasi syarat ‘standard’ ketenteraan. Piawaian dari segi tubuh badan, kecergasan fizikal dan sebagainya.

Sekiranya mereka masih tegar mahu menyertai pasukan ini, mereka perlu berusaha sehingga berjaya. Pun begitu, ada juga yang diserap tetapi bukan di barisan hadapan, sebaliknya ke bahagian lain seperti pentadbiran.

Lapisan Qiyadah pula terdiri daripada pemimpin berumur antara 30 hingga 50 tahun. Mereka ini berperanan menerajui pimpinan HAMAS dan bertindak sebagai ketua komander. Contohnya seperti Ismail Haniyeh dan Muhammad Abu Dif yang menjadi orang buruan teratas pihak Israel.

Yang terakhir, lapisan Rawahil yang berusia 50 tahun ke atas. Mereka ini juga punya peranan tersendiri dan berada di kalangan masyarakat Palestin.

Walaupun bukan semua masyarakat bergelar al-Qassam, tetapi rakyat Palestin begitu menyokong kerana ini satu-satunya pertahanan yang mereka ada demi perjuangan Islam.

Di kem tersebut, saya menyaksikan lebih kurang 50 tentera al-Qassam  menunaikan solat sunat dua rakaat sebelum memulakan latihan. Ketika itu, tidak semua tentera dapat turun berlatih kerana kebanyakan mereka menjadi orang biasa di siang hari.

Rata-rata pemuda di sebalik topeng hitam ini mempunyai kerja sendiri. Di waktu siang, mereka mungkin seorang pelajar, bilal, doktor, jurutera dan sebagainya. Mereka menjalani kehidupan sebagai orang biasa tanpa ada yang tahu bahawa mereka adalah tentera al-Qassam. Pada waktu malam, barulah mereka mula ‘bertugas’ sebagai tentera Allah.

Selalunya tugas waktu malam bermula selepas Maghrib. Tentera-tentera ini tiada posisi kawalan tertentu. Mereka akan berjaga di rumah-rumah orang, bangunan dan tembok.

Semasa bertugas dan memegang senjata, para tentera ini diingatkan agar sentiasa membaca al-Quran atau berzikir. Memandangkan kesemua mereka memang sudah hafaz al-Quran, lidah mereka sentiasa basah untuk mengulang setiap juzuk kitab suci itu.

Tiada bualan kosong atau gelak ketawa ketika bertugas. Jauh sekali bergurau senda atau membicarakan hal-hal yang melekakan. Hati mereka sentiasa berzikir sambil anggota tubuh tetap berjalan. Setiap malam sambil bertugas, mereka akan qiamullail sambil menjaga tanah suci kiblat pertama umat Islam itu.

Setelah 30 minit mendengar taklimat ketenteraan dan usai mereka solat sunat, saya terasa gementar. Melihat susuk tubuh para tentera itu yang tegap, saya berkata sendiri, patutlah ramai tentera Israel takut bila berdepan dengan mereka. Bagai ada satu sumber tenaga dalaman yang terbit pada tentera al-Qassam ini.

Tentera Syabab bertopeng hitam ini juga bercerita kepada kami tentang ketakutan Israel apabila tiba waktu malam. Tentera mereka takut walau hanya mendengar bunyi aneh sehingga melepaskan tembakan membuta-tuli ke arah Gaza. Bila hari siang, mereka lihat ada kawan-kawan mereka yang sudah tidak bernyawa bergelimpangan akibat terkena tembakan sesama sendiri.

Setelah habis bercerita, kami dipertontonkan aksi tentera al-Qassam berlatih. Bunyi letupan bom membingitkan telinga. Kelihatan pemuda-pemuda bertopeng itu yang awalnya di hadapan, kemudian lenyap di bawah terowong bawah tanah, sebelum keluar di tempat lain.

Pergerakan mereka tangkas, malah mata kami juga sukar mengecam kedudukan mereka walaupun sekadar latihan. Begitu juga bila menggunakan bom tangan dan menembak hendap. Cekap dan tangkas. Mengikut maklumat diberi, semua bahan api yang digunakan adalah buatan tentera al-Qassam sendiri.

Walaupun  tidak mempunyai kelengkapan moden berbanding Israel untuk mencipta alatan perang, tetapi mereka masih mampu berlawan. Barangkali dengan latihan ini membuatkan kumpulan gagasan Sheikh Salah Shehada, Sheikh Ahmad Yasin dan Dr. Ibrahim al-Maqadema ini digeruni pihak lawan sehingga ada di kalangan tentera Yahudi mengalami trauma.

Sambil melihat mereka berlatih, seorang ketua di situ menceritakan kisah tentera al-Qassam yang syahid semasa menjalani latihan. Walaupun sekadar latihan, namun mereka menggunakan bahan api sebenar.

Sewaktu mahu melancarkan roket, mereka terpaksa memeluk roket tersebut kerana ketiadaan pelancar. Kadangkala belum sempat berbuat apa-apa, roket sudah meluncur ke atas dan menarik sama cebisan-cebisan daging tentera al-Qassam itu. Terusik jiwa kami mendengarnya.

Selepas empat jam menyaksikan operasi latihan ketenteraan, mereka mengatur barisan lalu dahi menyembah bumi, sujud syukur tanda terima kasih pada yang Maha Esa. Kemudian, mereka sempat membuat baris hormat kepada kami sebagai tetamu. Terasa kerdil kami jadinya. Apalah sangat kami ini jika hendak dibandingkan dengan mereka.

Usai baris hormat, kami berpeluang berjabat tangan. Kami memeluk erat antara satu sama lain, tidak sangka dapat bertemu dengan bakal penghuni syurga.

Ketika itu, mata saya tidak lepas memandang seorang pemuda. Bila ditanya, rupa-rupanya usianya baru 15 tahun. Dalam usia begitu, dia sudah memegang senjata. Mati di jalan Allah adalah cita-citanya. Masya-Allah. Tumpah air mata saya. Jauh beza jika hendak dibandingkan dengan remaja sebaya di negara kita.

Di akhir pertemuan itu, saya bersalaman dengan seorang tentera al-Qassam. Dia menggenggam erat tangan saya sambil berkata, “Kami (pemuda-pemuda al-Qassam) sudah cukup berada di barisan hadapan melawan tentera laknatullah. Cuma yang kami perlukan adalah sokongan dan doa kamu umat Islam di Malaysia.”

Allah membantu mereka

Pengalaman menjejak kaki di kem tersebut meyakinkan saya tentang kehebatan para tentera yang sanggup syahid ini. Aura mereka kuat. Tidak hairan jika musuh gentar dengan mereka.

Mengimbas kisah ketika perang lapan hari pada tahun 2012, al-Qassam membalas serangan Israel dan menuntut bela atas kematian Ketua Komandernya, Syeikh Ahmad Al-ja’bari.

Dalam serang balas itu, al-Qassam melancarkan peluru berpandu M-75 yang meluncur masuk 75 kilometer ke tengah-tengah Israel. Ia jatuh tepat di sebelah bangunan parlimen Israel.  

Letupan itu bagai mimpi buruk. Rakyat Israel jadi tidak tentu arah, takut untuk keluar rumah dan ada yang tinggal di bawah terowong. Ekonomi Israel juga terjejas. Akibatnya, Israel setuju dengan syarat HAMAS untuk melakukan gencatan senjata, pintu Rafah dibuka dan nelayan dibenarkan keluar untuk menangkap ikan lebih daripada lima kilometer dari pantai. Ia merupakan kejayaan besar buat HAMAS waktu itu apabila Israel terpaksa tunduk.

Saya juga teringat kisah Yahya Ayyash, seorang jurutera al-Qassam yang berjaya mencipta bahan letupan sehingga beliau menjadi orang paling dikehendaki oleh tentera Israel. Beliau juga digelar ‘The Engineer’ kerana kejayaannya menyerang balas segala operasi ketenteraan Israel dengan mencipta bom teknik syahid.

Kerana itu saya tidak hairan apabila mendapat tahu tentang serangan Israel ke atas Gaza awal Ramadan lalu, tentera Yahudi itu tidak berani melangkah masuk ke dalam Gaza. Mereka hanya berani berkampung di sempadan Gaza. Walaupun tentera Israel tahu di pos kawalan sempadan itu hanya dijaga dua orang tentera al-Qassam, mereka tidak berani masuk menyerang walaupun jumlah mereka sekitar 200 orang.

Walaupun ramai, tentera Israel hanya sekadar sampai di sempadan Gaza. Semakin lama mereka berkampung di situ, semakin ramai tentera mereka terbunuh. Setiap hari, al-Qassam berjaya membunuh 20 ke 25 orang tentera Israel sepanjang 30 hari peperangan.

Tidak hairanlah bila Israel mengumumkan penarikan tenteranya dari sempadan Gaza. Hakikatnya bukan mereka mahu berdiplomasi tetapi hendak melarikan diri. Mereka tidak dapat bertahan dengan serang balas tentera al-Qassam.

Mengikut sumber dari laman rasmi Israel, perang 2014 ini mereka terpaksa mengeluarkan belanja ribuan ringgit untuk memulihkan tentera-tentera Israel yang trauma.

Walaupun Israel melakukan serangan udara, tetapi pesawat mereka tidak berani terbang rendah kerana Briged al-Qassam telah berjaya mencipta peluru berpandu antipesawat yang boleh sampai ke jarak tertentu untuk menjatuhkan pesawat musuh.

Banyak lagi keajaiban lain dan bukti pertolongan Allah untuk para tentera Islam ini. Sebab itu rasa takut dan gerun bersarang dalam hati tentera-tentera zionis. Malah, tentera Israel sendiri bercerita mereka pernah melihat bayangan putih yang disangka tentera al-Qassam, sedangkan al-Qassan berpakaian serba hitam.

Tentera Israel juga pernah berkata kepada media Israel yang mereka berlawan dengan seorang lelaki berketinggian tiga meter dan tidak mati apabila ditembak.

Saya teringat pada komando al-Qassam, Muhamad Abu Dif yang memberi ucapan sehinggakan rakyat Palestin bersemangat dan sanggup menghadapi apa saja keadaan untuk bertahan.

“Kami akan tetap berjuang sehingga ke titisan darah terakhir untuk kebebasan Palestin dan masjid al-Aqsa.” Itu antara bait-bait katanya yang jadi peledak semangat penduduk Palestin.

Walaupun rumah mereka di bom, harta benda musnah dan nyawa keluarga melayang, tetapi ia tidak melunturkan semangat Palestin untuk menentang Yahudi.

Kami juga diberitahu, ejen perisik Israel yang masuk ke dalam Gaza biasanya berjaya ditangkap. Ada beberapa kes di mana perisik Israel menyusup masuk dan berpura-pura menjadi orang Palestin. Namun, penyamaran mereka dapat dikesan oleh penduduk Palestin. Sebab itu kebanyakan tentera Israel tidak berani menyusup masuk berseorangan ke dalam Gaza kerana tahu, hayat mereka tidak panjang di situ.

NOTA: Kisah pengalaman di atas diceritakan oleh Ustaz Awang Suffian Awang Piut sewaktu Mastika menemubual beliau sekitar tahun 2015. Ustaz Awang ketika itu merupakan Ketua Pegawai Eksekutif Aman Palestin.

Ketika ini, pertempuran lebih hebat sedang berlaku di antara para mujahidin ini dengan zionis Israel yang telah mengorbankan ribuan nyawa penduduk Palestin. Marilah kita sama-sama terus mendoakan saudara seagama kita di sana, semoga Allah S.W.T memberi kekuatan dan pertolongan buat mereka serta dimusnahkan rejim zionis.

Sumber Utusan

Apa Pendapat Anda? Dah Baca, Jangan Lupa Komen, Like Dan Share Ya… Terima Kasih.

Jom! sertai kami di page terbaru kami, Sila Klik Disini –> Detik Ini Viral Press

Pihak Detik Ini Viral tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosiaI ini. Ianya adalah pandangan peribadi pemilik akaun, segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun itu sendiri.

Post a Comment (0)
Previous Post Next Post