Ia dipanggil Dodo, sejenis burung namun tidak mampu terbang. Juga dikenali sebagai Raphus Cullucatus, Dodo dikategorikan sebagai burung purba. Namun, kita tidak lagi mampu melihat kewujudan burung ini kerana telah lenyap dari muka bumi. Kepupusan Dodo direkodkan pada pertengahan abad ke-17. Kali terakhir dikhabarkan burung Dodo dilihat adalah pada tahun 1663.
Penyelidikan mengenai burung ini menunjukkan ia tergolong dalam kelompok burung merpati. Burung Dodo merupakan burung terbesar dalam spesies merpati. Dodo dikatakan tinggal di kepulauan Mauritius sebelum manusia hidup di sana lagi. Mauritius yang terletak di Lautan Hindi kemudian berkembang pesat dan kini telah menjadi tempat pelancongan popular.
Rekod pertama menyatakan Dodo mula ditemui manusia pada tahun 1598 oleh pelayar Belanda. Ia adalah sejenis burung yang besar dengan beratnya boleh mencapai sehingga 23 kilogram.
Mempunyai paruh yang besar serta bermuncung, Dodo turut mempunyai segumpal bulu kerinting di kepalanya dan memiliki sepasang kaki yang kekuningan. Burung yang hidup di tanah ini menjadikan pulau Mauritius sebagai ekosistemnya.

Dikisahkan, pulau Mauritius menjadi habitat Dodo kerana ia tidak mempunyai haiwan pemangsa yang boleh mengancam keselamatannya. Namun, dipercayai kedatangan pelaut Portugis dan Belanda sekitar tahun 1500-an ke kepulauan tersebut telah memberi ancaman kepada ekosistem Dodo.
Pelaut Portugis dan Belanda yang datang ke pulau itu telah menjadikan Dodo sebagai makanan. Ini kerana, hanya burung itu saja yang banyak dijumpai di pulau berkenaan.
Banyak jurnal melaporkan rasa daging burung Dodo pahit dan keras. Disebabkan itu, orang Portugis menamakan burung ini sebagai Dodo yang bermakna bodoh. Mereka menamakannya sedemikian kerana burung tersebut tidak takut kepada manusia dan juga tidak pandai terbang sehinggakan ia begitu mudah ditangkap.
Sementara itu, orang-orang Belanda pula menamakannya sebagai Walgvogel yang bermaksud burung yang menjijikkan kerana rasa dagingnya yang tidak sedap.

Walaupun aktiviti manusia ketika itu memberi ancaman kepada spesies ini, kedatangan manusia ke kepulauan Mauritius telah membawa pelbagai haiwan pemangsa seperti anjing, babi, tikus dan sejenis kera pemakan ketam yang telah menghancurkan sarang Dodo. Kesan daripada kedatangan haiwan baru ini dianggap lebih berpengaruh dari pemburuan manusia itu sendiri.
Burung Dodo adalah haiwan yang hanya makan buah-buahan dari pokok-pokok renek sahaja. Oleh itu, ia tidak perlu terbang untuk mencari makan. Justeru ramai pengkaji percaya, haiwan ini telah lupa cara untuk terbang disebabkan makanan yang diperlukannya hanya ada di sekitarnya.
Secara umumnya, burung Dodo ini akan hidup secara berkelompok dan membina sebuah komuniti. Mereka akan bersama-sama mencari makan dan tinggal di tempat yang sama dalam kelompok yang besar. Burung Dodo jantan kelihatan lebih besar berbanding Dodo betina. Si jantan juga gemar menjaga kecantikan diri untuk memikat si betina.
Kedatangan haiwan yang dibawa pelaut Portugis dan Belanda telah menyebabkan ancaman kerana haiwan itu telah memusnahkan sarang dan makanan burung Dodo. Haiwan pemangsa juga turut memusnahkan telur burung Dodo. Inilah punca utama mengapa burung ini pupus daripada muka bumi.
Walau bagaimanapun, terdapat beberapa kontroversi tentang kepupusan haiwan ini. Pada awal abad ke-19, burung ini hanya dianggap sebagai makhluk aneh yang terdapat dalam cerita mitos.
Tetapi selepas penemuan tulang rangka Dodo di Mare aux Songes oleh George Clark pada tahun 1865, pengkaji mula percaya kewujudannya dan meneruskan kajian tentang haiwan yang dipercayai wujud sejak zaman dinosaur itu.
Malangnya sampai ke hari ini, semua pengkaji masih bingung dan tidak mendapat teori yang tepat bagaimana spesies burung ini boleh mendiami pulau Mauritius, sedangkan ia ini tidak boleh terbang.
Sumber Infiniti
Apa Pendapat Anda? Dah Baca, Jangan Lupa Komen, Like Dan Share Ya… Terima Kasih.
Jom! sertai kami di page terbaru kami, Sila Klik Disini –> Detik Ini Viral Press
Pihak Detik Ini Viral tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosiaI ini. Ianya adalah pandangan peribadi pemilik akaun, segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun itu sendiri.