"Dah boleh makan ayam" - Anak 5 Tahun Malu Diejek Rongak, Ibu Nekad Buat Gigi Palsu

GARA-GARA bahagian depan giginya rongak, seorang kanak-kanak berusia lima tahun berdepan dengan ejekan rakan-rakan.

Malah, menurut cerita ibunya, Datuk Puteh Hidayah A Rahman, ada kalanya anak lelakinya menangis apabila keadaan giginya dijadikan sebagai bahan gurauan.

Bersimpati dengan nasib yang menimpa anaknya, dia yang mesra disapa Puteh memutuskan untuk membawa anaknya bagi, Putera Tariq Ferhad mendapatkan rawatan gigi palsu.

"Budak-budak atau orang yang jumpa anak di pasar raya selalu ejek dia. Mereka selalu tegur mana gigi? Siapa ambil? Benda macam itulah yang membuatkan anak saya sedih sampai menangis.

"Terdetik hati saya nak buat gigi palsu anak kerana terlalu kasihan tengok dia kerap bersedih diejek. Jadi saya pun cadangkan untuk dia pakai gigi palsu. Anak terus cakap nak.

"Tambahan pula, saya mahu anak dapat makan dengan sempurna. Selama tak ada gigi di bahagian depan, anak terpaksa gigit menggunakan gigi tepi saja," katanya.

Puteh berkata, gigi anaknya mula terhakis dan menjadi rapuh seawal usia satu tahun setengah, disebabkan kerap menghisap susu botol pada waktu malam.

Malah, gusi anak lelakinya yang dipanggil Tariq hanya tinggal tunggul ketika usia memasuki dua tahun, namun ketika itu dia terbiasa menunjukkan bahagian gigi yang rosak.

"Masa kecil dia suka tunjuk gigi rongak kepada orang lain. Dia seronok apabila orang ketawakan dia, seolah-olah dia berjaya menghiburkan orang.

"Tapi sekarang dia tahu rasa malu dan tak suka diketawakan. Saya kasihankan dia yang kurang yakin bercakap di hadapan kamera dan bergaul dengan orang lain," ujar ibu kepada empat cahaya mata itu.

Mengulas lanjut, Puteh yang menetap di Putrajaya memberitahu, anaknya pernah menjalani pembedahan bagi membuang tujuh batang gigi susu yang rosak, membabitkan kos lebih RM9,000.

Dia kemudian membayar tambahan RM1,050 untuk rawatan gigi palsu termasuk caj konsultasi demi mengembalikan keyakinan anak kesayangannya.

Bagaimanapun, Puteh dan suami, Ahmad Rashezry Abdul Rahim tetap meluahkan kebimbangan sekiranya masalah tersebut tetap memberi kesan negatif kepada anak lelaki mereka.

Dapat gigi palsu baharu, anak tersenyum kegembiraan melihat wajahnya di hadapan cermin.

PUTEH HIDAYAH

"Harapnya selepas ada gigi palsu tu dapat menghentikan ejekan dan usikan gigi rongak anak. Saya sebak setiap kali dia cakap seronok boleh makan ayam kalau ada gigi palsu.

"Dapat gigi palsu baharu, anak tersenyum kegembiraan melihat wajahnya yang lain daripada lain di hadapan cermin.

"Mula-mula anak tak selesa nak pakai gigi palsu tapi sekarang dia sendiri cari macam dia perlukan cermin mata kerana rabun," katanya yang mendirikan rumah tangga selama lebih 16 tahun.

Video dikongsikan Puteh mengenai perjalanan Tariq menjalani rawatan gigi palsu meraih lebih 500,000 tontonan di TikTok.

Rata-rata netizen teruja dengan perkongsian si ibu sehingga tertarik dengan kecomelan anak yang mirip pelakon Harry Potter Malaysia, Daniel Radcliffe apabila mengenakan cermin mata berbingkai bulat.

"Ada yang tanya 'pakai gigi palsu tak ganggu pertumbuhan gigi kekal ke?. Saya sudah berunding dengan pakar pergigian, dan dijelaskan pemakaian gigi susu palsu tidak mengganggu pertumbuhan gigi kekalnya.

"Berdasarkan imbasan X-ray, gigi kekal anak akan keluar dalam masa dua tahun setengah akan datang. Tempoh itu agak panjang dan kami rasa sangat berbaloi untuk buatkan gigi palsu kepada anak sementara menunggu gigi kekalnya tumbuh," ujarnya.

Sumber mStar

Apa Pendapat Anda? Dah Baca, Jangan Lupa Komen, Like Dan Share Ya… Terima Kasih.

Jom! sertai kami di page terbaru kami, Sila Klik Disini –> Detik Ini Viral Press

Pihak Detik Ini Viral tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosiaI ini. Ianya adalah pandangan peribadi pemilik akaun, segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun itu sendiri.


Post a Comment (0)
Previous Post Next Post