"Botak kan comel...botak kan comel. Kalau botak nanti cantik...kan daddy? Tapi nak botak kat salun".
Itulah antara ayat diulang-ulang pesakit kanser darah atau leukemia, Alexandria Marissa Abdul Malik, 4, sambil disahut bapanya yang turut setuju 'Botak kan comel' dan mengajak bersama botak.
Perkongsian gelagat Marissa di TikTok dimuat naik ibunya yang menggunakan akaun Mommy Shark dan meraih 304.6k likes serta mendapat banyak komen dan simpati netizen yang mendoakan kesembuhannya.
Menurut ibunya, Nor Shakila Mohd Shoki, 31, anaknya mesra disapa Marissa, mengulang perkataan itu bagi menyedapkan hatinya sendiri kerana perlu membotakkan kepala kerana rambutnya sudah mula gugur dalam kuantiti banyak selepas rawatan kemoterapi.
Katanya, sejak disahkan menghidap penyakit itu pada 15 Jun lalu, dia tidak mahu memaksa anak tunggalnya untuk membotakkan kepala.
"Dia memang anak yang kuat, saya terangkan kat dia, Marissa ada kanser, kanser tak baik untuk badan. Marissa kena kuat. Bulan lalu rambutnya sudah mula gugur yang banyak.
"Saya memang sudah niat tidak mahu memaksa Marissa botak sebab dia cakap botak tak cantik. Tetapi satu hari ketika dalam wad, depan katil Marissa ada seorang kanak-kanak lelaki dibotakkan.
"Ketika itu, suami saya (Abdul Malik Yahya, 32) yang jaga Marissa beritahu botak itu comel. Terus berulang-ulang kali Marissa cakap botak kan comel, dan dia mahu botakkan rambut, tetapi di salun, malangnya akibat komplikasi luka tulang sumsum itu, Marissa terpaksa dibotakkan atas katil hospital, pada bulan lalu," katanya.

Derita Marissa bermula apabila dia kerap demam sejak awal tahun ini, kemudian disahkan menghidap kanser darah selepas pemeriksaan tulang sumsum di Hospital Sultan Ismail (HSI).
"Saya memang rasa 'lain' apabila Marissa kerap sangat demam, saya terus buat pemeriksaan kesihatan secara menyeluruh di hospital dan mendapati bacaan darah Marissa tidak normal dan suspek kanser.
"Sepanjang tempoh itu saya tetap positif, tidak mungkin kanser. Sampai hari keputusan tulang sumsum Marissa di HSI, doktor sahkan Marrissa menghidap leukemia.
"Hanya Allah sahaja yang tahu perasaan saya dan suami. Kami menangis depan doktor kerana tidak menyangka Marissa yang kecil diuji dengan sakit yang besar," katanya.
Menurut Nor Shakila, dia dan suami tidak mengambil masa lama buat keputusan merawat puteri kesayangan mereka.
Ketika disahkan leukemia Marissa berada pada 74 peratus, agak besar.
"Selepas doktor sahkan, keadaan reda kami berbincang kaedah rawatan sesuai untuknya. Saya tidak mahu bertangguh kerana setiap saat sel kanser akan merebak cepat.
"Leukemia tidak babitkan organ, tetapi seluruh tubuh darah mengalir dan ketika itu dan sudah 74 peratus. Saya ada membuat bacaan sedikit dan selepas berbincang kami putuskan buat kemoterapi untuk.
"Sebenarnya, susah hendak terima kenyataan, pada permulaan saya selalu fikir keputusan darah itu salah, tetapi setiap kali rawatan pihak hospital akan ambil darah, mana mungkin setiap kali ambil tersilap. Jadi lama-lama saya dan suami reda dan mulakan langkah merawat Marissa," katanya.
22 kali buat kemoterapi
Kata Pegawai IT di sebuah syarikat di sini, memaklumkan Marissa anak yang kuat semangat.
Marissa akan menangis setiap kali rawatan tetapi akan bekerjasama dengan pasukan kesihatan kerana mahu cepat sihat.
"Marissa sudah 22 kali menjalani rawatan kemoterapi tulang sumsum akan diambil untuk mengetahui keberkesanan rawatan.
"Marissa ada masalah komplikasi kerana luka tulang sumsumnya tidak baik dan terpaksa dibersihkan dengan kaedah pembedahan. Kini hampir sebulan Marissa di wad," ujar mahu segera sembuh dan bersekolah seperti biasa.
Marissa tidak dapat ke sekolah kerana menjalani rawatan kanser selama dua tahun.
"Alhamdulillah Marissa dalam kategori risiko rendah, tapi ada komplikasi. Sekarang ini keputusan kansernya semakin menurun, tetapi sekiranya selepas rawatan sel kanser menunjukkan tanda menaik, ia akan dikategorikan kepada risiko tinggi," katanya yang aktif memuat naik perkembangan Marissa dalam TikTok.
Nor Shakila berkata, keadaan kesihatan Marissa menyebabkannya terpaksa mengehadkan dan memilih aktiviti luar anak kesayangannya itu.
Namun, ada ketika Marissa meminta berjalan-jalan di pusat beli-belah dan Zoo yang jadi lokasi kegemarannya.
"Kita bawa pada hari biasa untuk elakkan sesak dengan orang. Doktor juga galakkan aktiviti luar boleh bantu pulihkan pesakit kanser," katanya yang mahu ibu bapa cakna dengan kesihatan anak.
Sumber BH
Jom! sertai kami di page terbaru kami, Sila Klik Disini –> Detik Ini Viral Press
Pihak Detik Ini Viral tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosiaI ini. Ianya adalah pandangan peribadi pemilik akaun, segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun itu sendiri.