Lebih 10 Tahun Terlantar, Tragedi Lemas Ubah Hidup Adik Ini Selamanya. Sebak Bila Lihat Keadaan Si Kecil

 

ASMAH Pik tidak pernah membayangkan anak yang dilahirkan cukup sifat dan sihat seperti insan lain, kini hanya mampu terlantar.

Jujur penulis katakan, hanya menatap sekeping foto Nik Muhammad Faizul Izwan Nik Abdullah atau Ijul, sudah cukup bikin hati sesiapa menangis.

Masih segar dalam ingatan Asmah, tragedi hitam yang menimpa Ijul berlaku pada tahun 2013 ketika si kecil itu berusia tiga tahun.

Wanita berkenaan terperanjat besar apabila dimaklumkan Ijul terjatuh ke dalam tali air bersebelahan rumah neneknya dan ditemui lemas.

Pada awalnya, ibu berusia 37 tahun fikirkan, si anak sedang bermain dengan sepupu beliau, namun lain pula yang terjadi.

ijul terlantar

“Bila Ijul tak balik rumah, saya mula jerit namanya. Namun, tiada sahutan langsung. Itu membuatkan saya panik. Bimbang dengan keselamatannya, saya minta saudara mara bantu cari dia sampai jumpa.

“Alangkah sedihnya apabila mereka menemui Ijul yang sudah terapung atas air. Kami angkatnya, tetapi ketika itu badannya sudah kebiru-biruan,” imbaunya yang menetap di Kampung Machang, Ajil, Hulu Terengganu, Terengganu.

ijul terlantar

Percaya malaikat kecil itu masih boleh diselamatkan, bantuan pernafasan diberikan.

Meskipun Ijul sudah sedar semula, namun kondisinya dilaporkan kritikal dan terus dikejarkan ke Unit Rawatan Rapi, Hospital Kuala Terengganu.

 Ketika itu, kanak-kanak malang berkenaan tidak mampu bernafas sendiri.

Bagi menyelamatkannya, prosedur pembedahan menebuk tiub pernafasan pada bahagian tekak dilakukan.

Sedari awal, kata Asmah, doktor sudah memaklumkan keadaan Ijul tidak akan kembali normal seperti dahulu disebabkan kekurangan oksigen di dalam otaknya. Beberapa komplikasi dalaman turut dikesan.

“Saya juga terpaksa terima hakikat apabila doktor beritahu Ijul akan terlantar dengan keadaan tulang belakang yang membengkok, manakala kedua-dua tangan mengekot ke dalam sepanjang hayatnya.

“Ijul juga tidak boleh berjalan dan bercakap, waima makan makanan pepejal atau minum sekalipun. Jadi, tiub saluran makanan ditebuk terus pada bahagian perut untuk menyalurkan susu khas,” kata ibu kepada tiga anak itu.

Kos susu mahal

Meskipun kejadian menakutkan itu sudah berlalu selama 10 tahun, namun ia tetap menjadi igauan kepada Asmah sehingga pada saat ini.

ijul terlantar

Melihat Ijul yang kini sudah berusia 13 tahun dan masih lagi terbaring lemah tanpa sebarang respons positif membuatkan wanita tersebut reda dengan ketentuan ILAHI.

“Banyak perkara yang saya fikirkan. Saya tertanya bagaimana keadaannya bila dewasa kelak? Adakah dia panjang umur? Eh, macam-macam lagi. Saya akan terus beristiqamah. Saya juga bersandarkan sepenuhnya kepada ALLAH SWT.

“Siang malam saya tak pernah putus berdoa agar Ijul diberi kesembuhan, tubuh kembali kuat walau saya sedar, ia nampak seperti sukar, tapi tiada mustahil untuk ALLAH, kepada-NYA saya berserah,” ungkapnya penuh syahdu.

ijul terlantar

Beritahu Asma, apa yang membimbangkannya kini adalah Ijul kerap diserang sawan dan seringkali bergantung kepada ubat untuk meredakan kekejangan.

Justeru, untuk meninggalkan permata hati bersendirian merupakan satu hal yang perlu dielakkan.

“Baru-baru ini, Ijul tak sihat selepas dijangkiti kuman. Tiub pada perut kena tukar baharu supaya jangkitan tak berulang. Kemungkinan besar rutin ini akan berterusan. Jadi, saya kena fikir cara lain nak cari duit tambahan.

“Pendapatan suami yang berkerja sebagai petani pun tak menentu. Saya pun sebenarnya buntu bagaimana nak cari duit lebih untuk beli tiub baharu,” keluhnya.

ijul terlantar

Selain menanggung kos ulang-alik mengunjungi dua hospital berbeza setiap dua bulan, perbelanjaan untuk membeli susu khas dan lampin pakai buang pula mencecah lebih RM1,000 sebulan.

Hanya bergantung sepenuhnya kepada kudrat suami, Asma sudah pastinya tidak boleh keluar bekerja. Dua anaknya masing-masing berusia 16 dan lapan tahun masih bersekolah.

“Jika ada yang sudi membantu kami ketika ini, syukur alhamdulillah. Sekurang-kurangnya ada stok susu khas untuk Ijul. Hal-hal lain kami boleh usahakan, cuma kalau dapat ringankan beban kos perubatan Ijul sudah memadai.

ijul terlantar

“Apa yang paling penting, keperluan Ijul jangan sampai putus sebab dia hanya bergantung kepada susu khas sahaja untuk teruskan hidup selain ubat-ubatan,” kata Asmah penuh mengharap.

Sumber Sinar

Apa Pendapat Anda? Dah Baca, Jangan Lupa Komen, Like Dan Share Ya… Terima Kasih.

Jom! sertai kami di page terbaru kami, Sila Klik Disini –> Detik Ini Viral Press

Pihak Detik Ini Viral tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosiaI ini. Ianya adalah pandangan peribadi pemilik akaun, segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun itu sendiri.

Post a Comment (0)
Previous Post Next Post