Kubur Misteri Dan Masjid Jame Kampung Dew. Banyak Kejadian Aneh Dan Sering Dikunjungi ‘makhluk’ Ghaib

 

Jika anda singgah bersolat di Masjid Jame Kampung Dew yang terletak di Gunung Semanggol, Perak, mungkin ada yang tertanya-tanya tentang dua buah kubur yang di dalam pekarangan masjid itu.

Sebuah kubur terletak bersebelahan pintu masuk ruang solat dan hanya tinggal sebiji batu nisan saja sebagai penanda. Sebuah lagi terletak di bahagian luar di hadapan masjid.

Tiada nama atau tarikh kematian yang tercatat pada batu nisan itu. Siapa pemilik kubur ini? Kenapa ia terletak di situ, sedangkan ada sebuah tanah perkuburan yang luas di belakang masjid?

Sewaktu berkunjung ke masjid ini beberapa tahun lalu, wartawan kami pernah bertanyakan tentang perihal kubur tersebut kepada orang-orang di masjid tersebut.

Menurut mereka, orang luar yang singgah solat buat pertama kali di masjid itu memang sering bertanya tentang kewujudan dua buah kubur tersebut. Rupa-rupanya, ada kisah di sebalik kubur itu.

Menurut Abdul Rahim yang merupakan siak masjid tersebut sewaktu kami temui dahulu, pada zaman dahulu terdapat banyak kubur-kubur lama di tepi masjid ini.

Apabila masjid hendak dibesarkan, kubur-kubur tersebut dialihkan ke tapak baru, kecuali dua buah kubur tersebut.

“Sebabnya, waris dua kubur ini tak bagi alih. Itu saja,” jawab Abdul Rahim ketika kami bertanya mengapa hanya dua kubur tersebut tidak dialih.

Ya, hanya sebab itu saja maka dua buah kubur itu kekal di tempat asalnya. Bukanlah kerana ia kubur keramat atau kubur para wali. Hanya kerana warisnya tidak memberi izin untuk dipindahkan.

Dalam perbualan kami itu juga, Abdul Rahim yang merupakan penduduk asal Kampung Dew turut menceritakan kisah masjid yang berusia ratusan tahun ini.

Ujarnya, masjid itu kerap didatangi makhluk dari alam lain yang tak dapat dilihat oleh mata kasar manusia, selalunya berlaku semasa solat Maghrib.

“Dulu masjid ni ada kolah. Masa tu, selalu sangat bila kita sedang baca tahiyat akhir, dengar air kolah berkocak macam orang ambil wuduk. Tapi sampai ke sudah tak ada sesiapa pun yang masuk sembahyang.

“Bila selalu jadi macam tu, satu hari saya terus bangun pergi tengok sebaik selesai solat. Peliknya, tak ada orang kat tempat wuduk tu. Tapi air kolah masih berkocak. Padahal saya sampai beberapa saat saja lepas bunyi air kolah tu berkocak. Kalau orang, mustahil boleh hilang sekelip mata saja,” cerita Abdul Rahim.

Menurut Abdul Rahim, orang-orang lama sering mengatakan bukan hanya manusia sebaliknya ada makhluk lain yang datang untuk bersolat atau ‘bertandang’ ke masjid tersebut.

Selain itu, pernah juga dia melihat kelibat seseorang bersolat di saf belakangnya melalui hujung mata. Ketika itu, hanya Abdul Rahim saja yang bersolat sunat kerana dia tiba lebih awal.

Selesai solat, dia terus berpaling ke belakang. Kosong. Tiada sesiapa di dalam masjid kecuali dirinya seorang.

“Tapi cerita yang satu ni memang saya ingat benar. Beberapa tahun lalu dalam bulan Ramadan, saya sampai awal di masjid. Lebih kurang pukul 5.00 pagi. Ketika hendak melangkah masuk selepas buka pintu masjid, tiba-tiba saya terdengar suatu suara menegur.

“Kata suara tu, masuk masjid pun tak nak bagi salam? Memang saya terkejut.  Saya berpaling cari sekitar masjid tapi tak nampak kelibat sesiapa. Hanya saya seorang di situ. Habis, suara siapa yang saya dengar? Mungkin ada jin Islam kut yang tak senang dengan cara kedatangan saya,” cerita Abdul Rahim.

Bukan hanya dirinya, malah jemaah lain juga mengakui tentang kewujudan kejadian-kejadian aneh di masjid tersebut. Seorang jemaah bernama Zainol yang kami turut menceritakan pengalamannya.

“Pernah masa tengah solat saya dengar bunyi budak-budak berlari. Rancak sungguh. Lari sana, lari sini. Tapi bila kita selesai solat bunyi tadi terus senyap. Bila tengok dalam dan luar masjid, tak ada seorang pun budak-budak,” cerita Zainol yang mengaku bunyi-bunyi aneh begitu kebiasaannya berlaku sewaktu solat Maghrib.

Menurut Zainol, banyak lagi kisah aneh tentang masjid itu yang diceritakan orang kepadanya. Pernah diceritakan satu ketika dahulu, seorang jemaah tabligh menumpang tidur di masjid ini. Sedang lena tiba-tiba jemaah tadi terjaga apabila dikejutkan dengan kehadiran empat orang lelaki misteri berjubah putih. Semua lelaki itu terus masuk ke dalam masjid dan bersolat.

“Habis solat, empat lelaki tu terus ghaib macam tu saja. Langsung tak ada bunyi atau kelibat mereka keluar tinggalkan masjid,” kata Zainol.

Manakala Ahmad, seorang lagi jemaah yang kami temui ketika itu juga pernah mengalami kejadian aneh.

Suatu malam, Ahmad buat keputusan untuk bermalam di masjid. Hendak balik, hujan terlalu lebat. Dia pula datang ke masjid dengan motosikal sahaja. Maka dia ambil keputusan tidur di masjid. Lagipun dia sudah biasa tidur di masjid itu.

Tapi entah mengapa pada malam tersebut, Ahmad buat keputusan untuk tidur di bahagian ruang solat. Sebelum itu, selalunya dia hanya tidur di ruang luar tepi masjid saja.

“Tengah tidur,  tiba-tiba saya rasa sesak nafas. Badan ni macam kena hempap dengan objek berat sangat. Masa tu saya dah bernafas tercungap-cungap. Sakitnya pula tak terkata. Lepas baca doa dan ayat Kursi, baru saya pulih.

“Silapnya, lepas tu saya sambung tidur di tempat sama. Apa lagi, saya kena kali kedua. Dah dua kali kena macam tu, baru saya tidur luar,” cerita Ahmad yang menganggap mungkin ada ‘seseorang’ yang marah dia tidur di dalam ruang solat.

Sumber Masyarakat

Apa Pendapat Anda? Dah Baca, Jangan Lupa Komen, Like Dan Share Ya… Terima Kasih.

Jom! sertai kami di page terbaru kami, Sila Klik Disini –> Detik Ini Viral Press

Pihak Detik Ini Viral tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosiaI ini. Ianya adalah pandangan peribadi pemilik akaun, segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun itu sendiri.



Post a Comment (0)
Previous Post Next Post