Diriwayatkan dari Muslim, al-Abbas menceritakan bahawa Nabi s.a.w. dalam keadaan yang sangat tegang menunggang keldai menuju ke arah musuh. Masa itu anak panah menyerang bagaikan hujan turun dari langit. Ramai tentera Islam lari lintang pukang sedangkan Rasulullah tetap mara. Ketika itu al-Abbas adalah orang yang memegang kendali keldai yang ditunggang oleh Rasulullah s.a.w.
Kata al-Abbas, ketika itu, dia berusaha untuk memperlahankan larian keldai supaya tidak terlalu laju. Kemudian, diriwayatkan dari Muslim, Salamah pula menceritakan keberanian Rasulullah s.a.w. dalam peperangan tersebut yakni peperangan Hunain.
Dia menceritakan Rasulullah s.a.w. kemudian turun daripada keldainya dan mengambil segenggam tanah lalu dilemparkan kepada musuh. Akhirnya kesemua musuh berundur secara beransur-ansur dan lari dari medan perang apabila kesemua mata mereka terkena debu pasir yang dilemparkan Nabi s.a.w.
Keberanian Nabi Muhammad s.a.w. turut diceritakan oleh Anas r.a. yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari dan Muslim. Kata Anas, Rasulullah s.a.w. adalah sebaik-baik manusia. Baginda seorang yang murah hati dan seorang yang paling berani.
Cerita Anas, pada suatu malam satu suara menakutkan telah mengejutkan kesemua penduduk Madinah. Penduduk Madinah berasa terlalu bimbang, mereka ke luar beramai-ramai menuju ke arah suara itu. Kemudian dengan tiba-tiba mereka menemui baginda Rasulullah s.a.w. sedang menunggang kuda sambil pedang disandangkan di belakangnya.
Melihatkan penduduk Madinah keluar beramai-ramai, Nabi s.a.w. berkata, “Jangan kamu takut, tiada apa yang mesti ditakuti.” Kemudian baginda menyuruh mereka semua pulang seolah-olah tidak ada apa yang berlaku.
Baginda rupanya telah lebih dahulu keluar seorang diri. Berikutan peristiwa itu penduduk Madinah begitu mengagumi baginda disebabkan keberaniannya itu.
Keberanian Nabi Muhammad s.a.w. turut diakui oleh Saidina Ali bin Abi Talib yang terkenal sebagai seorang pahlawan yang gagah dan berani. Cerita Ali, “ketika peperangan sedang berlaku dengan hebatnya sehinggakan semua mata-mata para sahabat telah kelihatan merah akibat memerah tenaga yang sangat banyak dalam peperangan, kami semua berlindung di belakang Rasulullah s.a.w. Pada saat yang sangat genting itu kelihatan baginda adalah orang yang paling dekat dengan pasukan musuh”. (alNasaie, Ahmad dan Al Tabrani).
Sementara itu, Imam Bukhari dan Muslim ada meriwayatkan, para sahabat telah berkata, “Kami bersama-sama Nabi s.a.w. ketika perang Zaatirriqaa berehat di bawah sebatang pohon yang rendang. Kami meninggalkan baginda seorang diri, tidak lama kemudian datang seorang musuh dan dengan pantas menyambar pedang Nabi s.a.w. yang digantung di dahan pohon itu.
Dengan pedang yang terhunus musuh mengancam dan berkata kepada Nabi s.a.w., “Siapakah yang akan membela engkau sekarang wahai Muhammad?” dengan tenang dan tegas baginda menjawab, “Allah..!”.
Mendengarkan kalimah Allah tiba-tiba tubuh musuh jadi menggeletar ketakutan. Nabi s.a.w. dengan tangkas merampas pedang di tangannya dan berkata kepada musuh itu, “Sekarang, siapakah pula yang dapat membela kamu?”
Demikianlah kisah keberanian Nabi Muhammad s.a.w., ternyata keberanian baginda tiada tandingan. Keberanian merupakan salah satu daripada mukjizat yang dikurniakan oleh Allah s.w.t kepada baginda pemimpin umat.
*Salam Maulidur Rasul buat pembaca sekalian. “Sesungguhnya orang yang paling dekat denganku pada hari kiamat adalah orang yang paling banyak berselawat kepadaku” -(Hadis riwayat At-Tarmidzi).
Sumber Pedoman
Jom! sertai kami di page terbaru kami, Sila Klik Disini –> Detik Ini Viral Press
Pihak Detik Ini Viral tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosiaI ini. Ianya adalah pandangan peribadi pemilik akaun, segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun itu sendiri.