ANDALUS antara nama yang masyhur satu ketika dahulu dengan kemajuan tamadun Islam. Ia sebuah kawasan membangun dan termaju di Eropah ketika itu. Sekiranya orang-orang di London masih lagi kencing dan berak di tepi sungai, orang-orang di Andalusia sudah membina begitu banyak universiti dan perpustakaan.
Pembukaan Andalus atau Andalusia ini bermula dengan satu expedisi yang dibuat oleh panglima tentera Islam di bawah naungan kerajaan Islam Bani Umaiyah yang bernama Tariq bin Ziyad.
Ketika itu kehidupan di Andalusia tidak tenteram. Rakyat berhadapan dengan kezaliman raja mereka yang merampas hasil tanaman penduduk dan memaksa rakyat bekerja untuk kepentingan pemerintah. Keadaan ekonomi negara meruncing. Majoriti rakyat tidak tahu membaca dan menulis. Kebanyakan mereka bekerja di ladang atau menjadi tentera.
Tertekan dengan keadaan itu, sebahagian rakyat Andalusia termasuk salah seorang gabenornya bernama Julian memohon bantuan wakil pemerintah Islam di Afrika untuk menyelamatkan mereka daripada kezaliman raja.
Ketika itu gabenor kerajaan Bani Umaiyah di Afrika bernama Musa bin Nusair. Beliau menitahkan Tariq bin Ziyad ke Andalusia untuk melakukan pemantauan. Bahkan ada pembesar Andalusia turut membantu memberikan beberapa buah kapal untuk melakukan tugas penting ini.
Kedatangan Tariq bin Ziyad mendapat tentangan daripada tentera Raja Andalusia. Namun, majoriti rakyat Andalusia tidak melakukan penentangan bahkan ramai yang menyokong kehadiran Tariq.

Setelah berlakunya beberapa pertempuran, tentera Islam berjaya menumbangkan pemerintah zalim di Andalusia. Bermulalah Islam bertapak di kota-kota Eropah ini satu demi satu seperti Granada, Toledo, Cardova, Sellive, Velencia dan lain-lain.
Maka bermulalah satu pembinaan masyarakat yang membangun dan maju dalam semua aspek sama ada sains, ekonomi, politik, intelektual, perdagangan, kesenian dan muzik. Bertukar wajahlah rakyat Andalusia daripada buta huruf kepada masyarakat berilmu, daripada sebuah negara miskin dan mundur kepada negara termaju di Eropah ketika itu.
1000 Buah Institut Pengajian Tinggi Di Andalus
Pemerintahan Islam di Andalus telah menekankan aspek keilmuan dan intelektual. Pemerintah menggalakkan rakyatnya untuk melanjutkan pelajaran di Baghdad dan Mesir. Mereka mempelajari ilmu agama, sains, matematik dan kesenian.
Galakan juga diberikan kepada para ilmuwan luar negara untuk berkhidmat di Andalus dengan tawaran gaji yang lumayan. Pemerintah juga kerap mengumpul golongan intelek dari seluruh negara ke Andalus untuk pelbagai kegiatan keilmuan. Banyak sekolah, perpustakaan dan universiti dibina.
Kesannya dalam masa yang singkat, Andalus berjaya menghasilkan ulama dan pakar-pakar dalam bidang fiqh, tafsir, hadis, sastera, sains, matematik dan kejuruteraan. Rakyat juga semakin celik bahasa dan pengetahuan dan bijak mengurus sosial dan ekonomi sendiri tanpa kongkongan pemerintah.
Kemuncak keilmuan ini berlaku pada zaman pemerintahan Al Hakam dua apabila semua rakyat tahu membaca dan menulis. Universiti Cordova juga diperbesarkan dan dipertingkatkan kualitinya sehingga menjadi universiti terbaik dunia.

Aktiviti membawa masuk buku-buku dan sarjana-sarjana luar ditingkatkan sehinggalah Andalusia menjadi pusat ilmu pengetahuan dunia. Selain itu, rakyat juga diberi galakan untuk melakukan aktiviti menterjemah buku-buku dari negara luar ke bahasa mereka. Wanita juga tidak terkecuali bergiat cergas dalam kegiatan penterjemahan.
Pemerintah-pemerintah Islam Andalus memberi penghormatan tinggi kepada para sarjana dan mereka dianggap teras negara. Disebabkan itu lahir minat yang mendalam di kalangan rakyat Islam dan bukan Islam untuk menuntut ilmu dan menjadi manusia terpelajar.
Mereka akan merantau ke luar negara bagi membawa ilmu ke dalam negara mereka. Cardova pula dijadikan pusat jualan buku terbesar di Eropah. Menurut Ibnu Rush, salah seorang sarjana Andalus, sekiranya berlaku kematian mana-mana sarjana di lain-lain kota, bukunya akan dihantar ke Cardova untuk dijual.
Di tengah kepesatan bidang pendidikan di Andalus, negara-negara sekelilingnya yang dikuasai Kristian masih lagi berada dalam zaman kegelapan atau disebut Dark Ages. Pada abad ke 8 masihi, Andalus sudah memiliki kesemua kemajuan yang dimiliki oleh Eropah pada abad ke 16. Cardova ketika itu disebut sebagai permata dunia. Bermakna kemajuan Eropah telah dibina lebih awal oleh kerajaan Islam Andalus.
1070 Buat Perpustakaan Di Andalus
Pemerintah Andalus yang bernama Abdur Rahman II telah mewujudkan perpustakaan Diraja di Cardova. Perpustakaan ini mengandungi 400 ribu hingga 600 ribu buah buku dalam pelbagai bidang. Pada zaman pemerintahan Al Hakam, kemuncaknya ada 70 buah perpustakaan awam dan 1000 buah perpustakaan milik 1000 buah institusi pengajian tinggi di sana.
Pemerintah juga menggalakkan rakyatnya belajar di Timur Tengah dalam bidang agama, matematik, perubatan, pertanian dan sains tulen. Mereka diminta membawa balik buku-buku pelajaran mereka setelah tamat pengajian untuk dijadikan rujukan di perpustakaan Andalus.
Pekerja-pekerja diupah untuk menyalin buku-buku dan dihadiahkan secara percuma kepada sarjana-sarjana Andalus. Terdapat lebih 500 penyalin buku yang bekerja di perpustakaan Diraja. Begitu juga di perpustakaan awam dan perpustakaan universiti, terdapat ratusan penterjemah yang menterjemah buku-buku ke bahasa mereka. Pemerintah juga menghantar wakil-wakil ke seluruh negara-negara Islam dan membeli buku untuk kegunaan negara.
Terdapat juga perpustakaan persendirian yang dibina oleh para sarjana dan juga golongan bangsawan. Antara yang terkenal, perpustakaan Ibnu Futais dan perpustakaan Yusuf bin Ismail di Granada. Wanita juga tidak ketinggalan dalam hal ini. Seorang sarjana wanita bernama Aisyah binti Ahmad Ibnu Qasim memiliki sebuah perpustakaan yang mempunyai antara koleksi buku terbanyak.
Keadaan perpustakaan yang banyak sudah cukup membuktikan masyarakat Andalus telah mencapai tahap ketamadunan yang tinggi berbanding negara-negara sekitarnya yang masih mundur.
Lahirnya Ulama & Ilmuwan Pelbagai Bidang
Kejayaan Islam dalam memberi cahaya kepada penduduk dunia sememangnya amat dikagumi. Kehebatan Islam di mata dunia bukan hanya tertumpu dalam bidang yang melibatkan agama bahkan setiap bidang yang melibatkan urusan sains kemanusiaan.
Di dalam bidang agama, Andalusia melahirkan pakar-pakar tafsir, hadis dan fiqh. Antara yang terkenal ialah Al Khusaini, Abu Ayman atau Muhammad bin Malik, Ibnu Waddah yang pakar dalam ilmu hadis.
Mereka menghafal beribu-ribu hadis dan menghasilkan kitab-kitab besar tentang ilmu hadis yang menjadi rujukan para pelajar. Ibnu Hazim, Ibnu Al Barr, Abu Amru dan ramai lagi yang terkenal dalam bidang fiqh, tafsir dan tasawuf. Mereka merupakan ulama-ulama besar yang menjadi rujukan masyarakat serata dunia khususnya di wilayah Andalus ketika itu.
Dalam bidang matematik pula, lahirnya tokoh seperti Abu Ayyub yang pakar dalam geometri, Ibnu As-Safar dan Abdul Rahman Ismail. Kemajuan bidang matematik ini menyebabkan lahirnya kerja-kerja yang lebih bermutu daripada zaman Yunani. Begitu juga dalam bidang perubatan, kimia, astronomi dan geografi. Kelahiran pakar-pakar ini menjadikan Andalus sebagai pusat rujukan dunia.
Kerajaan-kerajaan asing termasuk kerajaan Kristian di Eropah menghantar duta-duta mereka untuk menuntut ilmu pengetahuan di Andalus. Antara yang terawal menghantar utusan mencari ilmu ke Andalus ialah Raja Jerman. Dia telah menghantar menterinya untuk mempelajari kaedah-kaedah pembinaan ilmu pengetahuan.
Utusan Raja Jerman ini dilayan dengan baik oleh pemerintah Islam. Layanan baik ini heboh ke serata Eropah menyebabkan ramai raja-raja yang lain mula mengorak langkah yang sama. Antaranya Raja Itali, Raja Perancis dan lain-lain.
Raja England juga pernah menghantar sembilan orang puteri ke Andalus untuk belajar di sana. Kerajaan Islam Andalus bersikap terbuka kepada semua negara Kristian yang berhasrat menghantar pelajar ke Andalus.
Kemajuan bidang pendidikan menjadikan Andalus maju dalam aspek ekonomi. Negara bertambah kaya tahun demi tahun. Pelbagai produk dalam negara dipasarkan di pasaran negara-negara Kristian di sekitarnya.
Malah barang dagangan kerajaan Islam Andalusia masuk ke pasaran Asia dan Afrika. Secara tidak langsung ia berjaya mengembangkan kebudayaan dan ajaran Islam yang dianuti oleh penduduk Andalusia ketika itu.
Manakala di bidang pembinaan, kemajuan ketara dapat dilihat setelah pembinaan masjid Cordova yang menjadi sejarah hari ini. Pembinaan institusi pengajian tinggi, masjid dan pejabat-pejabat kerajaan sangat pesat berlaku dan pembangunan fizikal ini antara yang termaju di Eropah ketika itu.
Ahli-ahli sejarah Eropah mengakui bahawa kemajuan Eropah hari ini dibina setelah mempelajari kemajuan yang diperkenalkan oleh kerajaan Islam Andalusia. Bermula abad ke-15, orang-orang Eropah mempelajari aspek-aspek keilmuan, sains dan teknologi dari Andalus dan membawa balik ke negara mereka untuk dibangunkan.
Selepas peperangan salib, usaha untuk mengubah Eropah daripada zaman kegelapan kepada pembaharuan dilakukan sehingga timbulnya zaman Renaisance yang memulakan kebebasan daripada segi agama, penulisan, kebudayaan dan pencapaian cemerlang dalam bidang sains dan sastera. Maka terjadilah Eropah sebagaimana yang kita lihat hari ini. Semuanya hasil daripada mereka yang mempelajari pembinaan tamadun Islam di Andalus.

APRIL FOOL DAN VALENTINE DAY – Perayaan kejatuhan Islam di Andalus
April Fool merupakan perayaan yang dimulakan sejak kejatuhan kerajaan Islam di Andalus atau Sepanyol. Setelah bertapak lebih 500 tahun, kerajaan Islam Andalus dijatuhkan oleh tentera-tentera Kristian.
Penduduk-penduduk Islam di Granada telah berlindung dalam rumah masing-masing. Namun tentera Kristian tidak berpuas hati dalam usaha menghapuskan Islam di Andalus. Mereka membuat tawaran kepada penduduk Islam untuk belayar keluar dari bumi Sepanyol, membawa barang-barang keperluan dengan menggunakan kapal-kapal yang disediakan.
Orang Islam yang kurang mempercayai janji tersebut keluar ke tepi laut untuk melihat sendiri kapal yang dimaksudkan. Setelah terbukti benar wujudnya kapal-kapal tersebut, mereka pun bersiaplah untuk keluar dari rumah masing-masing.
Pada keesokan harinya pada tarikh 1 April, mereka keluar beramai-ramai menuju ke pelabuhan. Setelah keluar dari rumah, pihak Kristian telah masuk ke rumah-rumah mereka menggeledah dan membakar rumah-rumah tersebut. Mereka juga tidak sempat menaiki kapal kerana kapal-kapal itu juga telah dibakar.
Tentera-tentera Kristian menyerang orang-orang Islam yang dalam perjalanan ke pelabuhan dan membunuh kesemua sekali termasuk wanita dan anak-anak kecil. Peristiwa berdarah ini kemudiannya dirayakan oleh tentera Kristian di Andalus. Malah sehingga ke hari ini setiap tahun mereka akan merayakan “April Fool” ini di seluruh dunia. Namun terdapat juga umat Islam yang jahil turut sama menyambutnya.
Selain itu ‘Valentine Day’ atau hari kekasih juga ada kaitan dengan kejatuhan kerajaan Islam Andalus. Tarikh 14 Februari 1492 adalah hari kejatuhan kerajaan Islam Andalus sepenuhnya apabila bandar terakhir yang dikuasai iaitu Granada jatuh ke tangan tentera Kristian.
Paderi Pedro St. Valentino mengisytiharkan hari tersebut sebagai ‘hari kasih sayang’ atau Valentine Day. Valentino dianggap kekasih rakyatnya apabila berjaya menumbangkan kerajaan Islam di Cardova. Juga sama, ramai orang Islam yang jahil turut seronok menyambutnya!
Sumber Infiniti
Apa Pendapat Anda? Dah Baca, Jangan Lupa Komen, Like Dan Share Ya… Terima Kasih.
Jom! sertai kami di page terbaru kami, Sila Klik Disini –> Detik Ini Viral Press
Pihak Detik Ini Viral tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosiaI ini. Ianya adalah pandangan peribadi pemilik akaun, segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun itu sendiri.