Tok ini bekas guru. Tok mengajar dari tahun 1951 hingga Tok bersara pada tahun 1986. Lebih tiga dekad Tok jadi pendidik. Tok ingat lagi, semasa mengajar dulu, Tok selalu bercerita dengan anak-anak murid Tok.
Selalunya, Tok kisahkan tentang kekejaman Jepun dan komunis. Bukan kisah rekaan, tetapi berdasarkan apa yang Tok alami dan saksikan dahulu. Kekejaman mereka masih terbayang-bayang dalam ingatan Tok.
Jepun dan komunis si bintang tiga, dua pihak yang pernah menguasai Tanah Melayu satu ketika dulu. Tok hidup dan melalui zaman itu. Waktu itu, daerah Lenggong di Perak antara lokasi popular persembunyian komunis. Tok dan orang kampung hidup dalam ketakutan.
Rumah-rumah sering ditinggalkan bila kami lari bersembunyi di kawasan bukit-bukau. Ramai penduduk yang diseksa, ramai juga yang mati angkara kekejaman mereka. Ahli keluarga Tok pun ada yang kena.
Kami terpaksa ikut keadaan. Siang kami jadi Jepun, malam jadi komunis. Sebabnya? Waktu siang, Jepun memerintah. Paksa penduduk ikut fahaman mereka. Bila malam pula, komunis berleluasa. Kena patuh dengan ideologi mereka pula. Nak selamat, kenalah ikut cakap kedua-duanya. Kalau tidak, hilang nyawa jawabnya.
Arwah abang ipar Tok, Dollah namanya. Asal dari sini juga. Dia pernah sertai komunis. Masa itu, Dollah masuk kampung Tok untuk sama-sama sebarkan fahaman komunis. Selalunya mereka akan ke rumah tok imam sebab itu orang yang berpengaruh dalam kampung.
Kebetulan ayah Tok pun tok imam. Jadi, selalulah Dollah datang ke rumah. Dia berkenan dengan kakak Tok. Lalu dia masuk meminang. Ayah Tok terima. Kami pun buatlah kenduri untuk perkahwinan mereka. Tumbanglah dua ekor kambing. Ramai tetamu hadir.
Sewaktu semua sedang bergembira hendak meraikan majlis itu, tiba-tiba mereka semua bertempiaran lari tinggalkan rumah kami. Suasana yang tadi hiruk-pikuk berubah senyap.
Tok pun hairan. Masa tu Tok kat luar rumah. Datang seorang lelaki, dia suruh Tok lari juga. Katanya, Jepun nak datang ke rumah kami. Nak cari Dollah. Tok pun tak tunggu lama. Terus bawa mak dengan adik keluar, sembunyi di rumah jiran.
Kemudian, mak suruh Tok pulang ke rumah. Ambilkan nasi dan lauk sebab adik Tok yang berusia tujuh tahun lapar. Tok pun sembunyi pulang ke rumah. Sempat ambil semangkuk nasi dan sepaha daging kambing.
Masa itulah Tok dengar bunyi motor. Cepat-cepat Tok sembunyi di luar rumah. Tok intai. Nampak dua askar Jepun naik ke rumah kami. Prangggg! Habis pecah semua pinggan. Makanan yang siap terhidang atas lantai rumah habis ditendang, diterajang Jepun itu. Dipijaknya semua. Termasuk pelamin pun dirosakkannya.
Bila tak jumpa Dollah, mereka pun pergi. Mujurlah Dollah sempat bawa kakak Tok lari ke Kampung Beng, tidak jauh dari kampung kami. Di situlah mereka bernikah. Sebab masa kenduri di rumah Tok, mereka tak sempat dinikahkan kerana dapat tahu Jepun nak datang. Lepas nikah, mereka terus menetap di situ.
Lebih kurang seminggu ayah dalam lokap. Selama itu, tiap hari Tok akan datang ke penjara hantarkan nasi untuk ayah. Ketika itu, nasi dimasak bersama pisang dan jagung. Hari terakhir itu, ayah beritahu Tok, esok dia akan dibawa Jepun ke Gerik untuk dibicarakan dan dijatuhi hukuman sama ada kena bunuh ataupun tidak.
Tok balik beritahu keluarga. Esok pagi-pagi, kami semua sudah berdiri di tepi jalan. Nak tunggu lori yang bawa ayah. Bila lori itu melintas, kami nampak ayah di dalam bersama dengan tawanan Jepun yang lain. Ayah sempat melambai ke arah kami. Kami menangis hiba. Terasa bagai itu saat terakhir melihat ayah.
Mujurlah ayah dibebaskan. Tak lama kemudian, Jepun kalah dan berundur. Dan selepas itu, Dollah jadi buruan lagi. Bukan oleh Jepun, tapi oleh pihak komunis pula. Sebabnya, Dollah turut terlibat dalam kumpulan yang membunuh Mat Ali, ketua komunis daerah Hulu Perak yang berpengaruh. Jadi, ketua komunis yang lain memang marah dan dendam dengan Dollah sebab berpaling tadah.
Kebetulan suatu malam, komunis berjaya jejak Dollah. Di depan kami, komunis pelangkung Dollah dengan cangkul. Ayah sedih, lalu ayah kata pada Dollah: “Kami tak mampu buat apa. Mengucaplah Dollah!”
Dollah ikut cakap ayah. Sambil dihentak itu, dia mengucap. Air matanya mengalir. Kemudian, komunis nak bawa Dollah. Ayah rayu, minta dilepaskan anaknya, iaitu kakak Tok yang juga isteri Dollah. Komunis beri. Mereka cuma mahukan Dollah saja.
Dollah dihumban, dikurung dalam kandang babi, milik orang Cina. Tangan kakinya diikat dengan dawai. Setiap hari dia akan dijirus dengan najis babi. Bukan hanya Dollah, tapi tawanan lain juga yang dianggap komunis sudah berpaling tadah.
Lebih kurang seminggu Dollah dalam kandang babi. Ayah Dollah kemudian cuba hendak dapatkan bantuan dari orang luar. Tapi, bila komunis tahu, mereka cepat tangkap ayahnya lalu dibunuh.
Begitu juga dengan Dollah. Tak lama lepas ayahnya dibunuh, dia dan tawanan lain disuruh gali lubang. Kemudian, komunis kapak leher mereka dan tendang mayat mereka ke dalam lubang yang digali sendiri. Kata mereka, Dollah sempat laungkan azan sebelum nyawanya melayang.
Berita itu sampai pada ayah Tok. Ayah dan orang kampung yang lain pergi dapatkan mayat-mayat mereka. Keadaan sukar ketika itu. Mana ada kain kapan. Terpaksa ayah ambil kain putih yang dijadikan alas tikar surau untuk membalut jenazah. Kain itu hanya dibalut selapis saja pada jenazah kerana tak cukup.
Berakhirlah riwayat abang ipar Tok itu. Tidak sampai setahun pun dia bernikah dengan kakak Tok sebelum nyawanya melayang di tangan komunis.
Nak tahu macam mana Jepun menyeksa? Jepun ni suka menampar. Tak tunduk hormat pada mereka, merahlah pipi kiri dan kanan. Kadangkala si pesalah digantung pada pokok. Kemudian mereka hayunkan sekuat hati untuk dilagakan. Sama ada dilagakan dengan pokok atau sesama pesalah yang mereka tangkap.
Tak pun Jepun suruh gali lubang. Kemudian berlutut tepi lubang tu dan… Zassssss…! Pedang Jepun sudah dilibas ke leher pesalah. Mayat kemudian ditendang masuk dalam lubang.
Lebih teruk kalau Jepun jumpa Cina komunis. Memang dia seksa sampai mati. Disuruh tawanan itu baring. Kaki, tangan dan kepala dipijak supaya tidak bergerak. Jepun ngangakan mulutnya, sumbat air sampai perut kembung. Kemudian, mereka lompat dan hentak atas perut yang sudah kembung air itu. Bersembur keluar air dari mulut, hidung, mata dan telinga pesalah. Dibuat berulang kali sampai mati.
Pernah juga kami saksikan, seorang komunis wanita Cina ditangkap Jepun. Mulutnya dingangakan dan disumbat dengan ratusan jarum. Dia dipaksa telan jarum-jarum itu sampai bersembur darah keluar hingga mati.
Itu seksaan Jepun. Kalau komunis pula, lebih kurang sama juga. Orang yang ditangkap disuruh gali lubang sendiri. Kemudian, belakang leher mereka ditetak dengan kapak kecil. Tak pun didera dan dikurung dalam kandang babi.
Tok ingat lagi, setelah Jepun kalah, komunis berkuasa. Mereka cari semua orang yang jadi tali barut Jepun. Salah seorang darinya yang digelar Yok Toko. Dia ini mata gelap Jepun.
Bila komunis berjaya menangkapnya, dia dibawa ke sebuah pohon. Komunis gantung dia di situ. Setiap hari, komunis akan menghiris sedikit demi sedikit daging tubuhnya. Cebisan daging itu dilempar untuk makanan anjing.
Apabila dagingnya disiat, menjerit sekuatnya Yok Toko. Satu kampung boleh dengar suaranya. Beberapa hari dia diseksa sebegitu oleh komunis sehingga mati.
Kejam! Bukan hanya Jepun dan komunis, tapi juga orang Melayu yang sanggup jadi tali barut Jepun ketika itu. Atas tiket itu, mereka ganggu anak-anak dara. Bila tak dapat, mereka buat aduan pada Jepun. Kononnya ayah si gadis itu ingkar arahan Jepun. Tak pasal-pasal kena seksa. Tak dapat anak, bapa tanggung akibat. Semuanya angkara tali barut yang sanggup mengkhianati bangsa sendiri.
Sebab itu Tok selalu pesan pada murid-murid Tok dulu, jangan gadaikan maruah khianati bangsa sendiri. Kerana pengkhianat bangsa itu sangat ‘busuk’ sifatnya. Golongan inilah yang mudah menghancurkan anak bangsa sendiri. Ingat tu!Haji Razali.
NOTA : Kisah di atas diceritakan oleh Haji Razali Mat Yusof ketika ditemubual wartawan Mastika beberapa tahun lalu di rumahnya di Hulu Lenggong, Perak. Haji Razali yang lebih mesra disapa Tok yang ketika itu sudah berusia lebih 80 tahun masih kuat ingatannya untuk bercerita tentang pengalaman pahit sewaktu Tanah Melayu dijajah dahulu. Kerana itu beliau sering bercerita kepada generasi muda agar dijadikan iktibar.
Sumber Masyarakat
Apa Pendapat Anda? Dah Baca, Jangan Lupa Komen, Like Dan Share Ya… Terima Kasih.
Jom! sertai kami di page terbaru kami, Sila Klik Disini –> Detik Ini Viral Press
Pihak Detik Ini Viral tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosiaI ini. Ianya adalah pandangan peribadi pemilik akaun, segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun itu sendiri.