Ya Tuhan, jangan ambil nyawa aku. Beri peluang untuk aku bertaubat - Anak FeIda


Saya berasal dari sebuah kawasan Felda di selatan tanah air. Semasa melalui zaman remaja sekitar awal tahun 2000-an dulu, kehidupan saya seperti remaja lain. Suka buat nakal. Bila nampak budak perempuan, mulalah mengurat sana sini.

Jika ada masa terluang, saya dan kawan-kawan lebih suka melepak di tepi jalan sekitar Felda kami. Apa yang kami buat? Kalau ada yang datang ‘bakar jalan’ (ajak merempit), kami akan berlumba. Kami suka buat bising.

Tamat persekolahan, saya bekerja di sebuah kilang di Johor. Saya tinggal menyewa bersama kawan-kawan. Sejak itu, bermulalah episod baru dalam hidup saya.

Saya mula terpengaruh. Hendak pula, ramai kawan-kawan kaki minum, ambil ganja, teguk ubat batuk dan kaki segala jenis pil khayal. Akibatnya, saya pun mula minum ubat batuk. Tidak cukup lagi, saya jadi penagih pula.

Bila pekena ubat itu, saya jadi syok, khayal. Semuanya terasa indah. Mulanya hanya untuk mencuba tapi lama-kelamaan saya jadi ketagih. Pernah kerana tiada duit untuk menagih, saya dan rakan nekad meragut atau merompak beberapa orang pekerja Nepal yang bekerja di kilang tersebut. Hasil duit itu, saya gunakan untuk membeli pil khayal dan ubat batuk.

Sejak itu, kehidupan saya semakin terpesong jauh. Bukan sekadar khayal, saya juga terjerumus ke lembah maksiat. Masa itu, saya tak fikirkan tentang dosa. Bagi saya yang penting enjoy. Halal haram kami tak peduli lagi.

Suatu hari, saya minum ubat batuk dalam kuantiti yang banyak. Akibatnya saya terkulai, khayal dan terbaring di dalam bilik. Sedang melayan khayal, saya rasa badan saya terlalu berat sehingga tak mampu bergerak lagi. Kemudian, saya terdengar bunyi ombak menghempas pantai.

Sedang asyik mendengar bunyi ombak itu, tiba-tiba saya dikejutkan dengan suatu suara. “Kehidupan engkau sampai di sini saja. Engkau mensia-siakan kehidupan yang ada,” kata suara itu dengan lantang.

Mendengarnya, saya jadi kecut perut. Saya begitu takut. Saya menjerit-jerit supaya diberikan peluang untuk terus hidup.

“Ya Tuhan! Tolong jangan ambil nyawa aku. Bagi aku peluang untuk hidup dan bertaubat,” kata saya dengan suara menggeletar. Selepas berkata begitu, saya terus tersedar. Suara tadi masih terngiang-ngiang di cuping telinga.

Benarkah nyawa saya sampai di sini saja? Soalan tersebut bermain-main dalam kepala saya. Malam itu, tidur saya tidak lena kerana amat takut. Saya terus terfikir tentang mimpi buruk semasa khayal tadi.

Malam itu juga, sekiranya diberikan peluang saya bertekad untuk berubah. Saya tak mahu lagi terus hanyut dalam keseronokan hidup. Tapi, itulah…. manusia macam saya ini lemah iman. Saya mudah lupa.

Beberapa hari selepas mendengar suara itu, saya kembali kepada tabiat lama. Saya fikir mungkin sebab khayal ubat batuk, maka saya bermimpi soal kematian.

Suatu hari, ada seorang lelaki tua datang menasihati saya dan kawan-kawan yang sedang melepak. Lelaki itu minta kami berubah. Dia juga mengajak kami sembahyang berjemaah.

Bila mendengar begitu, kami ketawa terbahak-bahak. Saya kata pada lelaki itu, kami masih muda. Banyak lagi masa hendak sembahyang. Bila tua nanti baru kami buat. Sekarang kami mahu enjoy puas-puas.

Peringatan lelaki tua itu langsung tidak memberi kesan, jauh sekali hendak menyesal. Kami hidupkan motor dan tinggalkan lelaki itu. Selepas bermotor sampai di satu persimpangan, tiba-tiba motosikal saya terbabas dan melanggar motosikal kawan saya di hadapan.

Waktu itu, ada sebuah lori yang datang dari arah bertentangan. Tapi saya dan kawan-kawan bernasib baik kerana lori tersebut sempat membrek. Kalau tidak, mati kataklah saya di situ. Pun begitu, kejadian tersebut masih tidak menginsafkan saya. Saya masih lalai.

Hinggalah suatu hari, saya berbual-bual dengan seorang guru agama. Dalam perbualan itu, guru itu banyak nasihatkan saya. Tengah rancak berbual, guru itu bertanya tarikh lahir saya.

“Tahu tak bila tarikh kamu lahir?” soalnya.

Saya yang mendengar hanya tersenyum. Tentulah saya tahu. Dalam hati saya berkata, soalan bodoh macam itu pun hendak ditanya. Saya pun menjawab pertanyaan guru agama tersebut.

Kemudian, guru itu bertanya lagi: “Tahu tak bila tarikh kamu akan mati?”

Bila disoal begitu, saya terus terkedu. Apa jawapan yang harus saya berikan? Benar saya tahu tarikh lahir saya, tapi tarikh kematian saya? Bila?

Saya sendiri tidak tahu. Mungkin hari ini, esok, lusa atau tulat. Sejak itu, saya sentiasa teringat kata-kata guru agama tersebut. Kalaulah saya mati esok, berapa banyak dosa saya tanggung?

Sejak itu juga saya mula tersedar. Saya berusaha untuk berubah. Alhamdulillah, mungkin disebabkan Allah masih sayangkan saya, saya dapat buang jauh-jauh perangai buruk yang suka merempit, meragut, minum ubat batuk, pil khayal dan macam-macam lagi.

Sejak itu juga saya banyak belajar agama di masjid berdekatan rumah. Sehinggalah suatu malam, saya bersama seorang sahabat bermalam di masjid tersebut. Selesai solat Isyak, saya berbaring di saf paling belakang hinggalah saya terlelap.

Dalam lena itu saya bermimpi. Saya terdengar suara orang riuh-rendah yang datang ke masjid ini. Saya lihat begitu ramai orang yang datang ke masjid. Tapi saya berasa pelik. Ramai jemaah yang datang hanya rancak berbual-bual di dalam dan luar masjid. Semuanya bercerita tentang hal duniawi. Saya lihat hanya beberapa orang jemaah sahaja yang mengisi masa terluang dengan bersembahyang dan mengaji.

Di satu sudut lain pula, saya lihat ada lelaki dan perempuan bergaul bebas sambil bergurau senda tanpa memikirkan batas agama. Tidak lama selepas itu, saya lihat kepulan asap keluar dari tanah berhampiran masjid. Asapnya berkepul-kepul dan bergulung-gulung hingga keluar api merah seperti lahar gunung berapi.

Seketika kemudian saya terdengar bunyi dentuman guruh diikuti angin kencang. Entah dari mana, tiba-tiba muncul ombak laut yang mengganas sedang bergerak menuju ke masjid. Semakin lama, ombak tersebut semakin besar dan terus menghempas semua jemaah di masjid.

Saya terus menjerit-jerit hingga tersedar dari tidur. Ya Allah! Rupa-rupanya saya bermimpi lagi…

Pengalaman mimpi itulah yang membuatkan saya jadi lebih takut dengan Tuhan. Saya sedar selama ini Allah masih sayangkan saya. Allah selamatkan saya dari maut dalam kemalangan. Allah utuskan hamba-Nya yang soleh untuk menyedarkan saya hanya dengan bertanyakan soalan tentang tarikh lahir dan hari kematian.

Saya teringat kejadian yang menimpa tiga orang sahabat saya. Seorang meninggal dunia akibat kemalangan ketika berlumba. Dua orang lagi maut ketika usia belum pun mencecah 20 tahun, juga akibat berlumba. Mereka meninggal pada usia muda dalam keadaan sia-sia. Paling menyedihkan, ketiga-tiga sahabat saya ini minum arak sebelum berlumba dan menemui ajal.

Kepada pembaca di luar sana terutama golongan muda yang suka merempit, ambil dadah, kaki perempuan, bertaubatlah sebelum Tuhan mengambil nyawa kita. Benarlah kata guru agama tersebut, tarikh lahir kita semua tahu, tapi tarikh kematian kita? Bertaubatlah selagi masih diberi peluang.

Sumber Razif

Apa Pendapat Anda? Dah Baca, Jangan Lupa Komen, Like Dan Share Ya… Terima Kasih.

Jom! sertai kami di page terbaru kami, Sila Klik Disini –> Detik Ini Viral Press

Pihak Detik Ini Viral tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosiaI ini. Ianya adalah pandangan peribadi pemilik akaun, segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun itu sendiri.



Post a Comment (0)
Previous Post Next Post