“Walaupun datuk telah meninggal dunia 35 tahun lalu, tetapi kes tanah berpindah milik ini cuma beberapa tahun lalu sahaja terbongkar" - Kerana Harta Pusaka, Adik Beradik Putus Saudara

 

“Rata rata orang Melayu sejak zaman dahulu lagi banyak harta, tetapi bukan macam harta kaum lain yang ada lebih banyak harta berlonggok longgok. Berbeza dengan kebanyakan orang Melayu, kita ada harta tetapi tidaklah banyak. Ada sikit sana, sikit sini. 

“Lebih menyulitkan bila pemiliknya mati, dia tidak beritahu di mana dia letakkan geran tanah atau surat menyurat tentang harta khususnya tanah yang dimilikinya. Masalahnya tentu lebih menyulitkan kepada waris yang tinggal. Dapat pulak si pewaris jenis tak mahu ambil tahu, selain sentiasa berbalah adik beradik, tuduh menuduh, akhirnya pembahagian pusaka menjadi lebih teruk lagi.’’ Itu cerita Najihah tentang tanah pusaka arwah datuknya. 

“Biarlah saya berterus terang untuk cerita masalah pusaka ini. Sepupu sendiri tuduh kami gila harta. Pada saya apa yang saya cuba terangkan bukan kerana saya gila harta, tetapi cuba nasihatkan golongan senior ini supaya kesilapan yang dilakukan oleh datuk kita dahulu tidak menyulitkan hidup kita sekarang. 

“Sebab kalau salah makan hasil harta pusaka yang bukan milik kita akan menyebabkan semua ahli keluarga terima balanya. Jadi kalau boleh cuba selesaikan masalah ini supaya hidup kita aman dan arwah lebih tenteram. 

“Kalau datuk, bapa dan ibu saudara kita telah lakukan kesalahan, cuba terangkan dan mungkin mereka boleh faham. Mungkin mereka terlepas dari kifarah yang mendatang.  Ramai ustaz dan orang alim berkata, jika sekaki tanah orang kita ambil, maka kita akan menerima balanya walaupun yang melakukan mungkin ayah dan ibu kita. Tetapi kerana kita makan hasilnya, maka balanya tetap terkena pada warisnya. 

“Apa lagi kalau tanah itu ada hasil seperti getah, durian, rambutan, nangka dan petai yang semuanya boleh dijual atau dipajak dan harta tersebut boleh dijadikan duit. Pendek kata berhasil. Dan hasilnya mereka makan sekeluarga. 

“Dipendekkan cerita, datuk saya dulu kononnya ada 10 ekar kebun getah, tak termasuk kebun buah yang mereka sendiri tak pasti jumlah keluasannya. Masalahnya datuk cuma beritahu kepada nenek dan nak jadikan cerita nenek pula meninggal lebih dahulu. 

“Bila datuk pula meninggal, hartanya diuruskan oleh anak perempuan sulung kerana dia duduk di kampung. Sementara lima anak yang lain merantau ke merata pelusuk negeri mencari rezeki masing-masing selain mengikut suami. 

“Masalahnya anak perempuan datuk cuma suri rumah dan tanah datuk diuruskan oleh suaminya. Beberapa tahun kemudian bila adik beradik minta buat pembahagian harta, mereka diberitahu datuk sudah serahkan tanahnya kepada anak perempuan sulung. Yang berbaki cuma lima ekar kebun getah sahaja. Apa dah jadi? 

“Sementara baki tanah yang lain seperti kebun buah-buahan tidak diketahui berapa banyak jumlahnya sebab tidak selonggok. Sana sikit, sini sikit. Dan keadaan menjadi lebih rumit bila mak long beritahu dia tak tahu dan tak jumpa geran tanah tersebut. 

“Kisah tanah tak jumpa geran ini akhirnya terbongkar bila orang kampung bercerita konon kerajaan nak ambil tanah nak buat lebuh raya. Alih-alih mak long dipanggil oleh pegawai pejabat tanah kerana tanah yang hendak diambil kerajaan itu sudah bertukar nama kepada nama mak long seorang. Kisah ini tentulah menimbulkan kecelaruan kalangan adik beradik mak long. Apa cerita? Bila ayah (datuk) berbagi harta? Lima ekar dah dapat ini lagi? 

“Anak-anak datuk bertanya bila geran tanah getah bertukar kepada mak long? Mengapa mereka tak dapat bahagian? Sedangkan dulu mak long kata tak tahu. Sekarang apa jadi? Rupanya dulu tanah getah tetapi suami maklong dah jadikan tanah sawit. 

“Bab tanah dusun hendak diambil kerajaan inilah yang membawa perbalahan adik beradik seramai enam orang itu. Nak jadikan cerita, dua orang bapa dan ibu saudara kami yang sudah bersara, mereka nak buat rumah di kampung dan mereka telah memilih tanah yang mereka tahu tanah itu milik datuk. Tetapi masalahnya satu keping tanah seluas dua ekar tak jumpa geran, sementara satu tanah lagi seluas tiga ekar telah diambil oleh kerajaan. Ok. Kalau betul kerajaan sudah ambil tanah tersebut, mana duitnya? Mesti ada pembahagian mengikut faraid, mengapa kakak bolot seorang? 

“Panjang juga perbalahan tanah yang kerajaan ambil itu. Masing-masing mahu pembahagian yang adil. Kisah tersenyap bila ada orang nasihatkan kalau tanah sudah berpindah milik semasa arwah hidup, cuma si mati sahaja yang tahu sebabnya. Kita tak boleh soal. Betul ke? 

“Kes yang timbul membuatkan anak cucu membuat carian di pejabat tanah, maka terbongkarlah tanah lima ekar getah sudah suami mak long ambil tanam sawit. Berbaki lima ekar tanah getah dan tujuh ekar tanah kebun yang jarak antara satu sama lain memang jauh. Ada yang seluas dua ekar, ada tiga ekar dan ada dua ekar sahaja tak masuk tanah pinggir. 

“Walaupun datuk telah meninggaI dunia 35 tahun lalu, tetapi kes tanah berpindah milik ini cuma beberapa tahun lalu sahaja terbongkar. Kalau kerajaan tak ambil tanah buat lebuh raya, mungkin hingga kini masalah tanah masih terpendam dan tidak selesai. Bila adik beradik tanya, alasannya geran tanah dah hilang. 

“Memang ada perbincangan enam beradik ini tetapi masalah menjadi tambah rumit bila suami mak long ikut campur. Alasannya konon mak long tak faham pasal tanah. Tetapi mereka enggan dengar cerita suami mak long. Amaran mereka jangan campur. Mereka tidak puas hati ada beberapa keping tanah lagi sudah bertukar milik atas nama mak long. 

“Mereka tambah kecewa bila ada beberapa keping tanah terletak dipinggir jalan juga sudah jadi milik mak long. Sedangkan adik beradik lain mendakwa tanah tersebut memang milik ayahnya, hanya dengan adanya geran semua boleh dibuktikan. Namun masalah tersebut menurut mereka boleh disiasat jika salah seorang dari mereka sanggup pergi bertanya dengan pejabat tanah buat carian. 

“Masalahnya untuk bertanya mereka terpaksa keluarkan duit. Bab inilah ramai yang rasa kecewa sebab ada yang enggan keluar duit buat carian. Sikap semua, benda mesti datang ke lutut dan terbentang depan mata. Inilah membuatkan apa juga masalah tidak dapat di selesaikan. 

“Di sini kami cucu-cucu cuba menyelesaikan masalah tetapi bila dituduh gila harta maka semua urusan terbantut. Tuduhan-tuduhan liar seperti inilah membuatkan kami yang ingin membantu tawar hati. Kami tak mahu dituduh gila harta dan nak berebut harta. 

“Kami bukan berebut harta tetapi cuba selesaikan masalah supaya semua pihak faham keadaan dan boleh diselesaikan dengan baik. Tetapi kalau masih ada yang kedekut, berkira dan suka tuduh menuduh, sampai bila-bila pun masalah tanah tak boleh selesai. 

“Masalahnya apabila Pak Lang dan adiknya ingin buat rumah tetapi tidak dapat diteruskan kerana masalah geran dan tidak ada pembahagian harta dibuat secara jujur. Masalah tambah meruncing bila pak lang berkeras hendak bina rumah sebab dia tahu sekeping tanah tepi jalan milik datuk dan dia tetap akan buat rumah, sementara yang lain mula kecil hati. 

“Pejabat tanah minta dan menasihatkan ahli waris datuk berunding dengan pejabat pemegang harta pusaka kecil tetapi ada yang bersikap tak mahu tahu dan tak ambil peduli. Masalahnya bila ahli waris sendiri tidak mahu berusaha, bermuafakat dan bertolak ansur sesama mereka, bagaimana kami waris lebih bawah boleh bertindak. Lagi pun semua waris masih hidup. Kalau ada yang sudah meninggal keadaan menjadi tambah gawat lagi. 

“Namun saya adik beradik nasihatkan ayah kami supaya berunding dengan keluarganya supaya kekusutan boleh di atasi. Tetapi kalau masing-masing keras kepala dan tuduh menuduh terjadi, semua masalah tidak boleh di atasi. 

“Masalah lebih gawat bila masing-masing tidak pernah bayar cukai tanah, memikirkan kakak sulung sudah uruskan. Apa kata kalau mereka dapat tahu jumlah hutang cukai tanah beribu riban, adakah sudah berbayar jika belum, siapa yang mahu bertanggungjawab untuk bayar? 

“Akhir kata saya ingin buat kesimpulan inilah akibatnya bila ada harta pewaris tidak beritahu pada ahli keluarga (anak-anak). Nak bagi tahu takut anak-anak minta pinjam untuk gadaikan. Tetapi jika keadaan seperti ini berlaku, akhirnya tanah terbengkalai bila adik beradik berkecil hati apabila mereka tahu ada yang berlaku tidak jujur. Siapa yang rugi? 

“Nasihat kami kepada ayah supaya berunding, pergi buat carian di pejabat tanah dan bawa kepada pejabat harta pusaka kecil. Mungkin sedikit sebanyak masalah boleh di atasi. Tetapi jika masih ada yang berdegil, mintalah nasihat kepada ustaz yang arif tentang pusaka, supaya arwah aman di sana.’’ Itu cerita Norjihah tentang masalah harta yang membelit keluarganya.

Sumber DCCK

Apa Pendapat Anda? Dah Baca, Jangan Lupa Komen, Like Dan Share Ya… Terima Kasih.

Jom! sertai kami di page terbaru kami, Sila Klik Disini –> Detik Ini Viral Press

Pihak Detik Ini Viral tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosiaI ini. Ianya adalah pandangan peribadi pemilik akaun, segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun itu sendiri.    

Post a Comment (0)
Previous Post Next Post