Berapa lama anda bekerja di syarikat sekarang? Lima tahun? 10 tahun? Ada juga yang sudah bekerja di sesuatu tempat lebih 20 tahun, namun tidak ramai yang mampu mengekalkan jangka masa sebegitu lama hanya di sebuah tempat kerja.
Jika anda mampu bekerja 30 tahun di syarikat yang sama pun sudah menakjubkan, bayangkan jika ada orang yang bekerja lebih lapan dekad di tempat yang sama. Wow, biar betul?
Seorang lelaki Brazil bernama Walter Orthmann diisytiharkan sebagai pekerja paling lama bertahan di sebuah tempat kerja. Tahun lalu, Walter yang berusia 100 tahun disahkan oleh rekod dunia Guinness sebagai pekerja paling lama memegang rekod bekerja di syarikat yang sama iaitu selama 84 tahun. Hebat, bukan? Bagaimana Walter boleh bertahan selama itu?

Lahir di Santa Catarina, sebuah bandar kecil di Brazil, Walter merupakan anak sulung dari lima beradik dan dikenali sebagai seorang yang rajin sejak kecil. Ketika berusia 15 tahun, Walter mencari kerja untuk membantu kewangan keluarganya.
Pada Januari 1938 sebelum Perang Dunia Kedua meletus, Walter diterima bekerja di syarikat Industrias Renaux SA (kini dikenali sebagai RenauxView). Walter diterima bekerja kerana kepandaiannya berbahasa Jerman.
Jawatan pertamanya hanya sebagai pembantu perkapalan. Oleh kerana Walter menunjukkan kemahiran yang bagus, minat belajar perkara baru dan sentiasa melakukan lebih daripada yang dijangkakan, beliau dinaikkan pangkat sehingga akhirnya menjawat jawatan sebagai pengurus jualan.
Walter sangat sukakan kerjanya itu. Dengan kerjaya itu juga, dia berpeluang mengembara ke serata tempat dan pelbagai negara. Bukan sekadar pelanggan, dia juga menjalin hubungan baik sehingga menjadi kawan dengan pelanggannya. Sebab itu Walter disukai ramai.
Kerana seronok dengan pekerjaannya ini menyebabkan Walter mampu bertahan dan terus bekerja walaupun sebenarnya dia sudah boleh bersara sejak beberapa dekad yang lalu.
Menurut lelaki tua ini, apabila kita melakukan sesuatu yang disukai dan ia menyeronokkan, tanpa sedar masa rupanya juga pantas berlalu. Begitulah dia bertahan selama lebih 80 tahun dengan tempat kerjanya. Walter juga tidak menolak faktor mendapat majikan yang baik juga jadi penyebab dia terus bertahan bekerja di tempat yang sama.
Kebanyakan orang bukan saja sukar untuk mencapai usia sehingga 100 tahun, bahkan kebanyakannya tubuh sudah lemah dan menghidap pelbagai penyakit. Berbeza dengan lelaki ini. Di usia sudah menjengah ke satu abad, Walter mempunyai ingatan kuat, tajam berfikir dan masih kuat bergerak ke sana ke mari.
Rahsianya? Walter amat menjaga pemakanannya. Dia mengelakkan gula dan garam dalam makanan dan minumannya selain rajin melakukan senaman regangan.

Jom! sertai kami di page terbaru kami, Sila Klik Disini –> Detik Ini Viral Press
Pihak Detik Ini Viral tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosiaI ini. Ianya adalah pandangan peribadi pemilik akaun, segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun itu sendiri.