Sedar atau tidak, agak sukar untuk hidup tanpa berhutang. Lebih-lebih lagi jika melibatkan keperluan seperti rumah dan kereta. Ia menuntut wang yang banyak untuk memilikinya.
Tidak hairanlah ramai yang membuat pinjaman daripada institusi perbankan bagi tujuan tersebut jika melibatkan jumlah pembiayaan yang besar.
Andai kecil nilainya, barangkali ada yang suka mengambil pendekatan untuk berhutang dengan orang lain.
Meskipun hutang diharuskan dalam Islam, namun ada tanggungjawab yang perlu dilunaskan. Paling penting, ia wajib dibayar semula sekalipun roh sudah terpisah daripada jasad.
Namun begitu, terlalu banyak cerita kurang enak kita dengar jika melibatkan hutang sesama manusia. Bukan sahaja ada yang buat-buat lupa hendak bayar balik, tetapi langsung tidak dapat dihubungi dan hilang jejak begitu sahaja.
Malah, ada yang sanggup mencipta helah dan berboh0ng apabila wang dipinjam itu diminta semula oleh pemiutang.
Disebabkan itulah, menurut news.detik.com, terdapat anjuran yang menyuruh kita untuk menghindari diri daripada berhutang.
Salah satunya disebut dalam hadis yang menjelaskan bahawa Rasulullah SAW sentiasa berdoa kepada ALLAH SWT dan memohon perlindungan-NYA agar tidak dikelilingi hutang.
Daripada Aisyah RA bahawa Rasulullah SAW biasa berdoa di akhir solatnya: “Ya ALLAH, aku berlindung kepada-MU daripada berbuat d0sa dan banyak hutang.”
Lalu, ada yang berkata kepada baginda SAW: “Mengapa engkau sering meminta perlindungan daripada hutang, wahai Rasulullah?”
Baginda bersabda: “Jika orang yang berhutang apabila dia berkata, dia akan sering berdusta. Jika dia berjanji, dia akan mengingkari.” (Hadis Riwayat al-Bukhari)
Melihat ungkapan hadis berkenaan, jelaslah mengapa kita sering kali melihat bahawa orang yang berhutang cenderung untuk berb0hong dan tidak menepati janjinya.
Rupanya Rasulullah SAW sudah memberi amaran itu sebelum ini lagi menerusi as-Sunnah.
Malah, dalam satu riwayat lain, baginda juga pernah menolak ketika diminta untuk melakukan solat jenazah ke atas individu yang meninggal dunia, tetapi masih memiliki hutang yang belum dilunaskan.
Pahala kebaikan jadi ganti
Kepada mereka yang meminjam, lunaskanlah dengan kadar segera. Bukan apa, dikhuatiri jika kita mati dalam keadaan berhutang, begitu besar natijahnya.
Memetik artikel yang disiarkan dalam portal efaraid.mais.gov.my, orang yang mati dalam keadaan berhutang, pahala kebaikannya akan menjadi galang ganti jika warisnya juga tidak melangsaikannya menerusi harta pusaka si mati.
Abdullah bin Umar RA berkata bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Sesiapa yang mati dalam keadaan masih memiliki hutang, maka di hari akhirat tidak ada lagi urusan dinar dan dirham, yang ada hanyalah urusan berkaitan pahala kebaikan dan dosa kemaksiatan.” (Hadis Riwayat Abu Daud)
Justeru, apa sahaja pahala kebaikan yang pernah diraih oleh penghutang semasa hayatnya di dunia akan digantikan untuk membayar hutangnya yang belum sempat dilangsaikan.
Bayangkan jika amalan kita tidak sebanyak mana, tetapi ia telah diambil ketika di akhirat gara-gara perbuatan sendiri yang melengah-lengahkan dan mengambil mudah tentang soal hutang.
Jika ganjaran itu habis semuanya, tetapi masih ada lagi baki hutang, maka keburukan-keburukan daripada pemiutang tadi akan diberikan kepada orang yang berhutang. Na’uzubillah.
Kehidupan orang berhutang yang tidak melunaskannya bukan sahaja ‘tidak aman’ di dunia, tetapi juga apabila dirinya sudah tiada lagi di muka bumi ini.
Ia sebagaimana disebutkan dalam hadis diriwayatkan oleh Abu Hurairah RA bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Jiwa seorang Mukmin tergantung dengan hutangnya sehingga dia melunaskannya.” (Hadis Riwayat at-Tirmidzi)
Oleh sebab itu, jika kita tiada keperluan mendesak untuk berhutang, elakkan daripada meminjam. Semoga hidup kita tidak akan diselubungi dengan hutang yang tidak berkesudahan.
Sumber Sinar Islam
Apa Pendapat Anda? Dah Baca, Jangan Lupa Komen, Like Dan Share Ya… Terima Kasih.
Jom! sertai kami di page terbaru kami, Sila Klik Disini –> Detik Ini Viral Press
Pihak Detik Ini Viral tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosiaI ini. Ianya adalah pandangan peribadi pemilik akaun, segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun itu sendiri.