Musim haji sudah melabuhkan tirainya, kini umat Islam bertumpu kepada ibadah umrah secara umumnya boleh dilakukan pada bila-bila masa dan bulan apapun kecuali bulan musim haji.
Sebut sahaja mengenai ibadah rukun Islam kelima itu, pasti perkara utama yang berada dalam fikiran adalah bayangan lambaian kaabah dan seterusnya melakukan tawaf di sekelilingnya.
Mutawif Rarecation Umrah, Shauqi Hasan berkongsi di laman Facebooknya antara amalan yang lebih dituntut di depan Baitullah adalah memperbanyakkan tawaf.
Beliau sering bertanya kepada para jemaah, kenapa mesti tawaf dalam keadaan berlawanan arah jam? Kerana ramai yang hanya mengikut langkah Mutawif tetapi tidak ramai bertanya kenapa perlu berbuat demikian?
Jawapan yang sering diberikan kepada para tetamu baitullah adalah kita dituntut untuk memahami maksud tawaf secara MAQASID tidak sekadar pada MANASIK. Bukan hanya perbuatan (fi’li) tetapi melalui falsafah dan sains di sebalik tawaf.
Syaikhul Islam Ibn Taimiyah menyatakan “Tawaf mengelilingi Kaabah lebih utama daripada umrah bagi orang yang berada di Mekah, adalah perkara yang tidak diragui oleh orang yang memahami Sunah Nabi dan Sunah Khalifah yang menggantikannya dan para sahabatnya, serta generasi salaf dan akhlak.”
Alasannya ialah kerana tawaf di Baitullah adalah ibadah dan qurbah yang paling afdal (cara mendekatkan diri kepada Allah) yang telah ditetapkan Allah dalam kitab-NYA.
Tawaf merupakan salah satu ibadah yang paling utama bagi penduduk Mekah. Iaitu orang-orang yang berada di Mekah, baik penduduk tempatan mahupun pendatang.
Sejak zaman Rasulullah dan zaman khulafa, mereka sentiasa melaksanakan tawaf setiap masa, juga merupakan ibadah khusus yang tidak boleh dilakukan oleh orang di kota lain dan hanya orang berada di Mekah sahaja.
Rasulullah SAW juga memerintahkan kepada mereka yang bertugas di Baitullah agar tidak menghalang sesiapa yang ingin melakukan tawaf pada bila-bila masa sebagaimana hadis yang diriwayatkan oleh Jubair bin Mut’im RA, bahawa Nabi SAW bersabda: “Janganlah kamu melarang seseorang daripada melakukan tawaf di Kaabah dan solat pada bila-bila masa, baik malam mahupun siang.
Menelusuri sirah pembinaan Kaabah, Allah SWT memerintahkan Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail sebagaimana firman-NYA:
“…Dan bersihkanlah rumah-Ku untuk orang-orang yang tawaf, yang i’tikaf, yang rukuk dan yang sujud.” (Surah Al Baqarah, ayat 125)
Firman-NYA lagi dalam ayat lain:
“…Dan sucikanlah rumah-Ku untuk orang-orang yang tawaf, orang-orang yang beribadah, orang-orang yang rukuk dan sujud.” (Surah Al Hajj, ayat 26)
Dalam dua ayat di atas, Allah menyebut tiga ibadah di Baitullah iaitu:
1. Tawaf.
2. Iktikaf.
3. Rukuk dan sujud.
Dengan mengutamakan yang paling istimewa dahulu iaitu tawaf. Kerana sebenarnya tawaf tidak disyariatkan kecuali di Baitil ‘Atiq (rumah tua, Kaabah) berdasarkan kesepakatan para ulama. Begitu juga ulama bersepakat bahawa tawaf tidak boleh dilakukan di tempat selain Kaabah.
Adapun iktikaf boleh dilakukan di masjid-masjid lain. Begitu juga rukuk dan sujud boleh dilakukan di mana sahaja.
Selain itu, tawaf adalah rangkaian ibadah yang lebih kerap diulang. Tawaf Qudum disyariatkan kepada orang yang baru tiba di Mekah. Tawaf Wadak disyariatkan bagi orang yang akan keluar dari kota Mekah setelah melaksanakan ibadah haji. Selain adanya tawaf ifadhah yang merupakan salah satu rukun haji.
Kita dituntut untuk memperbanyakkan tawaf kerana ia adalah ibadah sunnah yang diperintahkan. Terutama bagi orang yang datang ke Mekah.
Ramai ulama berpendapat bahawa tawaf di Kaabah lebih utama daripada solat di Masjidil Haram, walaupun solat di sana itu amat penting.
Pendapat yang mengatakan tidak disyariatkan tawaf berulang-ulang, ini ditunjukkan oleh Sunnah Nabawiyah iaitu ‘amaliyah, dan disokong oleh fi’il (perbuatan) para sahabat.
Oleh itu, apabila kita berada di Mekah sebelum atau selepas haji, adalah lebih baik kita memperbanyakkan tawaf, daripada melakukan perkara yang tidak ada contoh selain daripada yang telah ditunjukkan oleh Rasulullah SAW.
Sumber Sinar Islam
Apa Pendapat Anda? Dah Baca, Jangan Lupa Komen, Like Dan Share Ya… Terima Kasih.
Jom! sertai kami di page terbaru kami, Sila Klik Disini –> Detik Ini Viral Press
Pihak Detik Ini Viral tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosiaI ini. Ianya adalah pandangan peribadi pemilik akaun, segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun itu sendiri.