Dakwaan Didatangi Nabi Khidir A.S & Belajar IImu Laduni, Sejauh Mana Kebenarannya

 

Penulis pernah dimaklumkan ada hamba Allah di Pahang dan Negeri Sembilan yang mendakwa selalu dikunjungi oleh Nabi Khidir a.s. dalam pelbagai rupa untuk membantunya melakukan rawatan.

Di Terengganu pula, ada yang mendakwa diajar ilmu laduni oleh Nabi Khidir dan orang-orang tertentu. Mungkin ini adalah satu kelebihan yang Allah S.W.T. kurniakan kepada mereka dan ia tidak mustahil boleh terjadi. Namun, dari satu sudut, kita perlu merujuk kepada Al-Quran dan sunnah untuk menilai sama ada ianya sesuatu yang benar dari Allah, atau hanya tipu daya jin, sy4itan dan ibIis.

Dalam Al-Quran, terdapat satu kisah pertemuan antara Nabi Musa a.s. dengan Nabi Khidir a.s. untuk mempelajari ilmu laduni. Rasanya elok jika kisah ini dikupas sebagai pendedahan dan panduan dalam memahami perkara-perkara aneh dan luarbiasa ini.

Kisah ini diabadikan oleh Allah dalam surah Al-Kahfi bermula ayat 60-82. Menurut Imam al-Razi dalam tafsirnya, Nabi Musa a.s bertanya kepada Allah, adakah terdapat manusia yang lebih alim dari Baginda. Lalu Allah berfirman bahawa ada seorang hamba yang lebih alim iaitu Khidir.

Nabi Musa a.s. lalu memohon kepada Allah untuk bertemu dan belajar dari Khidir. Para ulama berselisih pendapat tentang siapakah Khidir ini. Ada yang mengatakan beliau adalah wali Allah. Namun, majoriti berpendapat bahawa beliau adalah salah seorang Nabi.

Perjalanan Musa yang jauh untuk bertemu Khidir

Kita mulakan kisah ini dengan meneliti firman Allah dalam surah Al-Kahfi: 60,

“Dan (ingatlah) ketika Musa berkata kepada muridnya: ‘Aku tidak akan berhenti (berjalan) sebelum sampai di pertemuan dua buah lautan; atau aku akan terus berjalan sampai bertahun-tahun.”

Ayat di atas menceritakan beberapa syarat penting untuk bertemu Khidir. Syarat yang pertama ialah kesungguhan dan kesabaran yang tinggi. Itulah yang dipamerkan oleh Nabi Musa a.s. Baginda berazam tidak akan berhenti berjalan walaupun terpaksa mengambil masa bertahun-tahun semata-mata untuk bertemu Khidir.

Syarat kedua, sifat merendah diri dan tawaddu’. Walaupun Musa sudah bergelar Rasul dan mempunyai murid dan pengikut yang ramai, Baginda tetap merendah diri untuk berguru dengan seorang nabi yang bukan bertaraf rasul.

Yang ketiga, masa dan lokasi pertemuan adalah rahsia dan tiada siapa boleh menentukannya kecuali Allah. Nabi Musa hanya diperintahkan membawa bekalan dan berjalan terus sehingga sampai pertemuan antara dua laut yang Baginda sendiri tidak tahu di mana dan bila.

Ketiga-tiga syarat di atas jelas menunjukkan bahawa untuk bertemu dengan Nabi Khidir bukan semudah yang disangka. Hatta Nabi Musa yang bergelar ulul azmi pun terpaksa menempuh perjalanan yang jauh dan sukar sebelum diizinkan Allah bertemu dengan Nabi Khidir.

Oleh itu, sekiranya ada yang mendakwa selalu dikunjungi Nabi Khidir, maka perhatikanlah tahap kesungguhan dan keazaman yang ada pada orang itu.

Jika ternyata dia seorang yang tiada kesungguhan dan tiada sifat mujahadah dalam melawan hawa nafsu sebagaimana nabi Musa a.s., maka dakwaan tersebut perlu dinilai semula adakah benar yang datang itu Nabi Khidir atau hanyalah heIah dari sy4itan.

Rahsia mencapai ilmu Laduni

Firman Allah S.W.T. dalam ayat 61-65 menceritakan,

“Maka ketika mereka berdua sampai di pertemuan dua buah laut itu, maka mereka berdua terlupa akan hal ikannya, lalu ikan itu melompat mengambil jalannya ke laut itu. Tatkala mereka berjalan melampaui tempat itu, berkatalah Musa kepada muridnya,

‘Bawalah ke mari makanan tengahari kita; sesungguhnya kita merasa letih kerana perjalanan kita ini.’ Muridnya menjawab,

‘Tahukah kamu tatkala kita mencari tempat berlindung di batu tadi, maka sesungguhnya aku lupa (menceritakan tentang) ikan itu dan tidak adalah yang melupakan aku untuk menceritakannya kecuali syaitan dan ikan itu mengambil jalannya ke laut dengan cara yang aneh sekali.’ Musa berkata,

‘Itulah (tempat) yang kita cari; lalu keduanya kembali, mengikuti jejak mereka semula. Lalu mereka bertemu dengan seorang hamba di antara hamba-hamba Kami, yang telah Kami berikan kepadanya rahmat dari sisi Kami, dan yang telah Kami ajarkan kepadanya ilmu dari sisi Kami.”

Ayat di atas mengisahkan dugaan-dugaan dihadapi oleh Nabi Musa dalam perjalanannya untuk bertemu nabi Khidir. Yang pertama ialah keletihan yang dialaminya setelah menempuh perjalanan yang amat jauh. Ketika tertidur akibat kepenatan, berlaku satu peristiwa aneh. Ikan yang dibawa mereka sebagai bekalan tiba-tiba hidup dan melompat berenang ke laut.

Peristiwa ini disaksikan oleh muridnya Yusya’ bin Nun. Malangnya, syaitan telah menjadikan beliau lupa untuk menceritakan hal tersebut kepada Nabi Musa. Lalu mereka meneruskan perjalanan yang jauh sehingga Nabi Musa sekali lagi keletihan.

Kejadian ini menunjukkan bahawa pertemuan dengan Nabi Khidir bukan sahaja akan diuji dengan kesusahan dan kepayahan, malah syaitan akan turut datang untuk mengagalkannya. Oleh itu, sekiranya seseorang mendakwa sering bertemu dengan Nabi Khidir tanpa melalui sebarang ujian dan dugaan, maka kita perlu bertanya adakah yang datang itu benar-benar Nabi Khidir atau syait4n yang cuba memesongkan kita? Sama-sama kita fikirkan.

Syarat untuk belajar dari Khidir

Kisah ini diteruskan dengan firman Allah S.W.T. dalam ayat 66-70:

“Musa berkata kepada hamba Allah itu, “Bolehkah aku mengikutimu supaya kamu mengajarkan kepadaku ilmu dari apa yang telah Allah ajarkan pada kamu?” Jawab hamba Allah itu:” Sesungguhnya kamu Musa sekali-kali tidak sanggup sabar bersamaku. Dan bagaimana kamu dapat bersabar atas sesuatu yang kamu belum mempunyai pengetahuan yang cukup tentang hal itu.” Musa pun menjawab,

“Insya Allah kamu akan mendapati aku seorang yang sabar dan tidak akan menentang kamu dalam sesuatu urusan pun.” Hamba Allah itu berkata, “Jika kamu mengikutiku maka janganlah kamu menanyakan kepadaku tentang sesuatu apapun, sampai aku sendiri menerangkannya kepadamu.”

Dari ayat di atas, terdapat perbezaan antara permintaan Musa yang penuh dengan kesopanan dengan jawapan Khidir yang tegas menyatakan bahawa Musa tidak akan mampu bersabar dengannya. Dialog ini membuka satu rahsia besar yang menjadi syarat utama untuk seseorang dikurniakan ilmu laduni iaitu sifat kesabaran yang tinggi dan sifat redha dengan apa yang terjadi.

Sejak awal lagi, Khidir telah mengingatkan Musa akan hal ini. Jika Nabi Musa yang dikurniakan ilmu dari kitab Taurat dan mukjizat yang hebat pun tidak mampu bersabar, inikan pula kita manusia biasa yang sangat cetek ilmu.

Jika Nabi Musa yang dikurniakan kelebihan dapat berdialog secara terus dengan Allah pun dikenakan syarat supaya jangan bertanya, bagaimana pula dengan kita yang sering mempersoalkan ketentuan dan takdir Allah.

Oleh itu, sekiranya seseorang mendakwa mempelajari ilmu laduni tanpa dilengkapi sabar dan redha, maka kita perlu menyiasat adakah yang mengajar itu benar-benar Nabi Khidir atau pun tidak. Wallahu a’lam

Kredit Dr. Mahyuddin bin Ismail, Pensyarah Kanan, Universiti Malaysia Pahang

Apa Pendapat Anda? Dah Baca, Jangan Lupa Komen, Like Dan Share Ya… Terima Kasih.

Jom! sertai kami di page terbaru kami, Sila Klik Disini –> Detik Ini Viral Press

Pihak Detik Ini Viral tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosiaI ini. Ianya adalah pandangan peribadi pemilik akaun, segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun itu sendiri.


Post a Comment (0)
Previous Post Next Post