Tahun 1967, saya berkhidmat sebagai askar dalam Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD). Saya masih ingat, suatu hari pada tahun 1969, saya satu platun seramai 30 orang anggota ditugaskan dalam operasi Ops Ganyang di Gubir, Kedah. Kami ditugaskan memburu komunis di hutan tersebut.
Sudah minggu ketiga di dalam hutan, kami masih belum berjaya menjejaki komunis. Satu petang dalam hujan lebat, kami meredah hutan. Bila hujan juga keadaan hutan jadi gelap dan sukar mengesan jejak musuh.
Agak lama kami berjalan, tiba-tiba saya terdengar bunyi letupan kuat diikuti seorang sahabat di depan sekali, melayang ke udara dan jatuh terjelepok di atas tanah.
Saya yang melihat, terkejut. Semua anggota pantas mengambil tempat perlindungan. Tiga minit selepas itu barulah saya berani pergi mendapatkan kawan saya yang cedera itu. Namanya Kamaruddin. Kawan saya itu, terpijak jerangkap samar yang dipasang komunis.
Saya lihat Kamaruddin mengerang kesakitan. Darah memenuhi kakinya yang terkulai-kulai hampir putus. Kasut yang dipakai hancur. Mata Kamaruddin tertutup rapat menahan sakit.
Waktu itu, hati saya begitu marah. Saya menjerit, “Aku bunuh kau, komunis!!!”
Hari itu kami berjaya membawa Kamaruddin keluar dari hutan untuk menerima rawatan. Tapi sedihnya kaki Kamaruddin tidak dapat diselamatkan. Dia kudung sepanjang hayat.
Di masa yang lain, platun saya terlibat dengan perbarisan di Kuala Lumpur. Seingat saya perbarisan pertukaran Yang Dipertuan Agong. Jadi platun saya tidak ditugaskan masuk ke hutan.
Hari itu pihak markas hanya menghantar satu seksyen dalam operasi di Raub, Pahang. Mereka seramai 10 orang anggota. Bagaimanapun hinggalah hari kelima mereka di dalam hutan, pihak markas masih tidak terima sebarang berita dari mereka. Pegawai pemerintah mula risau dengan keselamatan mereka.
Esoknya pagi-pagi lagi, saya satu platun dihantar ke hutan tersebut untuk menjejaki mereka. Hampir separuh hari perjalanan, baru kami temui mereka. Tapi apa yang menyedihkan, kami jumpa pasukan mereka telah diserang komunis.
Waktu itu, saya lihat mayat beberapa orang kawan saya bergelimpangan di atas tanah. Baju dan seluar mereka dipenuhi darah. Saya lihat, ada yang ditembak di bahagian kepala hingga pecah, dada dan perut. Mayat mereka pula sudah dihurung lalat.
Tetapi pada masa itu, kami temui seorang anggota yang cedera parah di perut dan masih hidup. Kami terpaksa mengusung anggota itu keluar dari hutan sebelum dibantu oleh helikopter.
Semasa di hospital, anggota itu ceritakan bagaimana mereka diserang. Pada masa itu, mereka satu seksyen sedang mengekori jejak musuh. Mereka jumpa kesan tapak kasut komunis yang masih baru. Jadi mereka ikut tapak kasut tersebut hingga sampai di satu lurah bukit.
Sampai di situ, tiba-tiba mereka terdengar bunyi tembakan bertalu-talu. Mereka diserang oleh komunis. Masa itulah berlaku pertempuran sengit. Sebab komunis terlalu ramai mereka akhirnya tumpas. Semua kawannya mati di situ. Pada masa itu yang hidup hanya dia dan sarjannya yang cedera di kedua-dua belah kaki terkena peluru.
Dalam suasana genting itu, komunis terus menyerbu mereka. Kerana takut, anggota yang tercedera di perut itu pura-pura mati. Pada masa itulah, anggota tersebut lihat sarjannya diseksa komunis.
Anggota itu beritahu, dia lihat komunis menghentak kepala sarjannya dengan udi senjata berkali-kali. Tidak cukup lagi, sarjannya disepak terajang. Kemudian, seorang komunis mengeluarkan sebilah pisau. Tanpa rasa belas kasihan, tubuh sarjannya dikelar sedikit demi sedikit. Komunis kelar di bahagian muka dan perut.
Masa itu, sarjannya hanya mampu menjerit kesakitan. Agak lama diseksa, barulah sarjannya ditembak di kepala hingga mati. Tapi selepas tiga hari dimasukkan ke hospital, akhirnya anggota itu mati kerana kehilangan banyak darah.
Ketika itu, hidup sebagai askar memang menakutkan. Bayangkan setiap kali operasi, kami terpaksa hidup di hutan selama tiga bulan. Saya masih ingat suatu hari ketika bulan Ramadan. Semua anggota ketika itu berpuasa. Setelah puas berjalan menjejaki musuh, ketua platun memberi arahan supaya berehat di tepi lereng bukit.
Ketika itu, jam menunjukkan pukul 6.00 petang. Masa itu juga, ketua platun memberi arahan supaya kami bersiap-siap untuk berbuka puasa. Tapi sedang menunggu waktu berbuka, tiba-tiba kami diserang anggota komunis.
Mereka melepaskan tembakan bertalu-talu. Kami yang sedang berehat terus bertempiaran cari tempat berlindung. Dalam keadaan perut lapar dan dahaga, kami terus berperang dengan komunis.
Kami mengejar mereka. Bayangkan ketika itu kami belum sempat berbuka lagi. Sedikit makan pun tidak dijamah. Kami bertempur hingga pukul sembilan malam.
Malam itu, kami terpaksa makan apa sahaja yang ada sebab hampir semua makanan telah ditinggalkan semasa diserang komunis. Malam itu, kami isi perut dengan baki biskut kering yang masih ada dalam simpanan.
Esoknya kami meneruskan perjalanan. Pada masa itu, kami juga habis bekalan air yang diisi dalam botol. Kami cari sungai, tapi tidak jumpa. Puas berjalan akhirnya kami jumpa kubang babi. Dalam kubang itu ada air bertakung.
Mulanya memang kami berbelah bagi, tapi kerana masing-masing sudah dahaga, kami terpaksa minum air kubang babi tersebut. Masa itu, saya rasa begitu loya. Bau hamis babi pada air tersebut mencucuk-cucuk hidung. Tapi untuk meneruskan hidup, kami terpaksa minum juga.
Bila tiba hari raya, orang lain beraya dengan keluarga. Tapi kami beraya di dalam hutan. Memang sedih. Bila teringat isteri dan anak-anak saya menangis. Tapi sebab hendak pertahankan negara kami gagahkan juga.
Masih saya ingat, selesai operasi di Raub, kami semua anggota diberi cuti dua hari. Sebelum itu, kami sudah tiga bulan di dalam hutan. Saya terus balik ke rumah saya di Tampin, Negeri Sembilan. Rindunya saya pada anak dan isteri hanya Tuhan yang tahu.
Saya sampai di rumah bila hari sudah malam. Saya tengok dua orang anak saya sedang tidur. Saya cium anak saya yang sedang tidur itu. Saya belai rambut dan saya usap kepala mereka. Saya terlalu rindukan mereka berdua. Saya bayangkan esok pagi-pagi lagi saya akan dukung anak bongsu saya itu yang baru berusia empat tahun.
Tapi, baru tiga jam saya di rumah, beberapa orang anggota lain datang ke rumah. Mereka kata, saya perlu masuk balik ke dalam hutan sambung operasi. Masuk hutan? Saya rasa macam hendak menangis.
Saya baru balik ke rumah, anak-anak pula tak sempat nak tengok muka saya. Saya tak boleh bayangkan, macam mana kalau ketika operasi saya terbunuh? Namun disebabkan tanggungjawab pertahankan negara, saya masuk lagi ke hutan selama tiga bulan.
Itu belum lagi saya jumpa macam-macam mayat rakan-rakan dalam keadaan yang menyedihkan. Ada yang dibakar dan digantung di atas pokok. Ada juga mayat yang tidak ada kepala, kaki atau tangan. Habis dipotong komunis. Pernah juga dalam operasi, saya jumpa mayat penduduk kampung yang diseksa sebelum dibunuh. Kejam sungguh!

Setelah pencen, saya hidup tenang menghabiskan sisa-sisa usia bersama ahli keluarga. Namun begitu, sejarah kekejaman komunis tidak pernah luput daripada ingatan saya. Jika sebut saja komunis, meluap-luap rasa kemarahan di hati.
Untuk generasi muda di luar sana, ingatlah perjuangan orang-orang terdahulu yang bermandi darah, berkorban nyawa demi untuk keamanan negara. Anda lahir di kala semuanya sudah sedia ada. Hargai pengorbanan orang terdahulu demi untuk ketenangan hidup yang kalian nikmati hari ini.
Jom! sertai kami di page terbaru kami, Sila Klik Disini –> Detik Ini Viral Press
Pihak Detik Ini Viral tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosiaI ini. Ianya adalah pandangan peribadi pemilik akaun, segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun itu sendiri.